pexels-photo-4047151
pexels-photo-4047151

Kesedaran derma darah, pensyarah dan pelajar UiTM kongsi pengalaman berharga

webadmin
13 Jul 2021 10:39pm
A
A
A

Sejarah pendermaan darah bermula pada tahun 1665 di England oleh seorang ahli perubatan bernama Dr Richard Lower.

Beliau telah berjaya melakukan percubaan pertama transfusi darah ke atas haiwan iaitu anjing.

Ahli perubatan kedua yang memperkenalkan transfusi darah ialah Dr James Blundell yang merupakan seorang doktor pakar sakit puan di British, pada tahun 1818. Beliau telah mengendalikan transfusi darah pertama yang berjaya ke atas pesakit yang mengalami postpartum hemorrhage.

Perkhidmatan tabung darah di Malaysia telah dirintis oleh sekumpulan sukarelawan wanita Palang Merah British pada tahun 1955.

Pada peringkat awal, ia telah dijalankan di bangunan Hospital Umum Kuala Lumpur. Bermula 1975 sehingga kini , semua urusan transfusi darah telah dijalankan oleh Pusat Darah Negara.

Tarikh 14 Jun setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Derma Darah Sedunia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bersempena dengan hari bersejarah berkenaan, Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan, (MELTECH), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Puncak Alam, Selangor, telah menganjurkan forum ‘Hari Derma Darah Sedunia 2021: Kempen Kesedaran Derma Darah’.

Forum ini telah disiarkan secara virtual pada 17 Jun lalu melalui media sosial Facebook Live ‘MELTECH UiTM Puncak Alam’.

Panel jemputan terdiri daripada Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan, UiTM, Dr Mazura Bahari dan pelajar Semester 6 program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makmal Perubatan (Kepujian), Nurfatima Maisarah Dzarfan.

Dr Mazura mempunyai kepakaran dalam bidang transfusi darah dengan pengalaman luas di makmal bank darah selama 12 tahun di Hospital Kuala Lumpur (1990 – 1993) dan Pusat Darah Negara (1993 – 2002).

Gambar hiasan daripada Pexels.

Nurfatima pula merupakan penderma darah berulang di mana sehingga kini dia telah menderma darah sebanyak lima kali. Pelajar ini mula menderma darah semenjak berumur 18 tahun ketika menuntut di Pusat Asasi, UiTM.

Dahului alunan Asmaul-Husna

Majlis forum yang bermula jam 2.30 petang dimulakan dengan alunan Asmaul-Husna diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin pelajar Semester 4, Muhammad Faris Hamdan sebagai memberkati majlis.

Manakala, moderator forum ialah pelajar Semester 2, Nur Sofiya Sukandar.

Pengisian forum merangkumi beberapa perkara termasuk penerangan mengenai syarat-syarat yang melayakkansebagai penderma darah dan juga keistimewaan yang boleh diperolehi oleh mereka terutama penderma darah berulang.

Dr Mazura juga telah berkongsi pengalaman kritikal semasa bertugas di makmal bank darah di samping menjawab soalan-soalan yang telah dikemukakan oleh peserta. Nurfatima turut berkongsi pengalaman dan faktor-faktor yang mendorong dia menderma darah berulang kali.

Dr Mazura berkata, antara syarat penting untuk menderma darah ialah penderma mestilah bebas daripada amalan hidup tidak baik seperti homoseksual, biseksual dan pengambilan dadah intra-venus.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Bagi wanita pula, penderma mestilah tidak mengandung, menyusukan anak dan tidak di dalam haid.

Manakala keistimewaan sebagai penderma darah termasuklah kemudahan mendapat rawatan perubatan tertentu secara percuma dan kemudahan wad kelas 1 atau 2 di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia, mengikut kekerapan menderma darah.

Nurfatima kongsi pengalaman

Melalui perkongsian Nurfatima pula, dia pada mulanya menderma darah di atas sebab ingin tahu dan ingin mengumpul merit tetapi kemudian timbul kesedaran mengenai kepentingan pendermaan darah sebagai suatu tanggungjawab sosial kepada insan yang memerlukan.

Menurutnya lagi, darah adalah suatu komponen yang tidak boleh dihasilkan secara tiruan atau diklon. Oleh itu, pendermaan darah terutama daripada individu kumpulan darah O, yang bersifat universal seperti yang dimiliki oleh Nurfatima adalah sangat digalakkan.

Dia juga berkesempatan menceritakan pengalaman cemas sewaktu menderma darah kali ketiga di mana dia pitam semasa pendermaan darah sedang berlangsung.

Setelah mendapat rawatan lanjut di Unit Kesihatan, UiTM Puncak Alam, Nurfatima kembali pulih pada hari yang sama. Walaupun Nurfatima pernah melalui pengalaman yang mencemaskan namun ia tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus menderma darah dan ia telah dijadikan sebagai satu amal jariah.

Dalam pada itu, para peserta yang mengikuti siaran forum melalui Facebook Live ‘MELTECH UiTM Puncak Alam’ juga berpeluang mengemukakan soalan kepada panel jemputan.

Di antara soalan peserta yang telah di beri maklum balas oleh Dr Mazura ialah mengenai individu yang mempunyai masalah genetik ‘thalassemia carrier/trait’ tidak digalakkan untuk menderma darah.

Ini kerana individu berkenaan mempunyai paras hemoglobin yang rendah.

“Biasanya individu thalassemia carrier berada dalam keadaan anemia dan mudah berlaku pitam. Paras hemoglobin normal merupakan syarat utama yang membolehkan seseorang melakukan pendermaan darah.

“Paras minimum hemoglobin adalah di antara 12.5 – 13.0 g/dl semasa pendermaan darah hendak dilakukan. Jadi saya menyarankan pengambilan tablet zat besi dan mengamalkan pemakanan bernutrisi untuk membantu menambahkan paras hemoglobin,” katanya.

Soalan lain yang agak menarik diajukan daripada peserta adalah mengenai seorang penderma darah aktif selepas dijangkiti Covid-19 (dan telah sembuh), adakah masih boleh menderma darah?

Gambar hiasan daripada Pexels.

Untuk persoalan ini, Dr Mazura menyatakan bahawa pihak tabung darah sangat menghargai niat mereka yang suci walaupun telah disahkan positif Covid-19 namun masih bersedia menderma darah.

“Setiap pesakit Covid-19 yang telah sembuh sepenuhnya dan semasa menjalani pemeriksaan fizikal dan perubatan oleh doktor menunjukkan tanda-tanda normal, maka invidu berkenaan boleh terus menderma.

“Begitu juga dengan penerima vaksin Covid-19, boleh menderma darah selepas beberapa minggu dan tiada simptom demam,” ujarnya.

Dr Mazura juga menegaskan, budaya pendermaan darah dalam kalangan masyarakat mestilah dilakukan secara berterusan.

Penglibatan masyarakat secara aktif dalam pendermaan darah adalah sangat penting untuk mengekalkan stok darah adalah mencukupi di dalam tabung darah seluruh negara bagi memenuhi keperluan pemindahan darah semasa pembedahan dan lain-lain rawatan yang memerlukan darah.

Bak kata Dr Mazura, ‘Perlulah ada penderma untuk menerima’.

Sekalung tahniah diucapkan kepada semua biro forum ‘Derma Darah Sedunia 2021: Kempen Kesedaran Derma Darah’ yang diterajui pengarah program, Khairunnisa Irdina Rosewan dan penasihat program Cik Salina Shafie.

Video siaran forum boleh ditonton melalui https://www.facebook.com/meltechuitmpuncakalam

Maklumat penulis 

Dr Maimunah Mustakim

Pensyarah Kanan dan Penasihat MELTECH

Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan

Fakulti Sains Kesihatan

Universiti Teknologi MARA

Cawangan Selangor

Kampus Puncak Alam, Selangor

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan