
Kesihatan mental dalam kalangan pelajar, perlu diberi perhatian
Kesihatan mental seseorang merupakan satu perkara yang perlu diberi perhatian lebih-lebih lagi semasa pandemik Covid-19 ini.
Di Malaysia, penyakit mental merupakan masalah kesihatan kedua yang mencetuskan kebimbangan masyarakat selepas penyakit jantung.
Difahamkan, setiap tiga daripada 10 orang dalam kalangan remaja berusia 16 tahun dan ke atas mengalami tekanan emosi yang melampau.
Kenyataan ini dikeluarkan oleh Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) sebagai satu peringatan kepada masyarakat bahawa penyakit mental ini boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur.
Hari ini disebabkan pandemik Covid-19, seluruh dunia dilihat semakin kacau bilau dan ini menambahkan lagi tekanan yang dihadapi mereka.
Mungkin ramai yang mempertikaikan, mengapa remaja seusia mereka perlu berasa tertekan, sedangkan mereka bukan daripada golongan yang terpaksa mengerah keringat, mencari rezeki dalam keadaan ekonomi yang semakin merundum ini.
Ramai yang terlepas pandang, bahawa usia seperti merekalah yang berisiko diserang penyakit mental kerana pada fasa ini darah muda mula menguasai diri. Ini kerana, pada usia sebegini, emosi mereka mudah terdedah dengan pelbagai masalah.
Desakan sekeliling menjadikan mereka tidak mampu mengawal diri dengan baik. Keadaan dunia yang dilanda virus Covid-19 ini secara tidak langsung turut mengekang perkembangan diri mereka.
Susulan itu, penyakit mental ini boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor. Masalah kewangan, kesukaran belajar, konflik keluarga, masalah cinta, dan perselisihan dengan kawan-kawan adalah antara faktor tercetusnya tekanan emosi yang kronik dalam diri pelajar.
Sehubungan itu, tahap kesihatan mental yang kronik mampu mendorong seseorang melakukan sesuatu di luar jangkaan. Maka, tidak hairanlah sekiranya terjadinya kes-kes bunuh diri pada usia muda.
Paling mengecewakan, apabila terjadinya kes sebegini, ramai masyarakat mula campur tangan dengan melemparkan kecaman dan tohmahan kepada mangsa. Cacian dan makian mula membanjiri ruangan laman sosial dan meniti di bibir-bibir masyarakat, kononnya individu ini terlalu mengikut perasaan.
Lebih ramai yang memilih untuk mengeji daripada memahami. Sikap ini perlu dibuang agar negara mampu mengurangkan angka kenaikan kes penyakit mental ini.
Tanpa kerjasama masyarakat, negara kita akan menerima lebih banyak kes-kes penyakit mental yang melibatkan para pelajar.
Oleh itu masyarakat perlu membuka mata dan memainkan peranan penting sebagai individu yang bertanggungjawab. Sikap mengambil peduli dan bertanya khabar adalah salah satu langkah bagi mengelakkan golongan ini berasa tersisih daripada pandangan orang tersayang.
Ini kerana, golongan ini perlu diberi perhatian yang secukupnya agar emosi mereka tidak terbuai dengan masalah yang dihadapi lebih-lebih lagi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak berpenghujung ini.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok