Kewangan tertekan, perlukah melabur?
Kewangan tertekan, perlukah melabur?

Kewangan tertekan, perlukah melabur?

webadminwebadmin
12 Aug 2022 11:04am

Kesukaran menguruskan kewangan untuk meneruskan kelangsungan hidup memang amat dirasai ketika Covid-19.

Namun, cabarannya dilihat masih belum berpenghujung apabila kita berdepan pula dengan kadar inflasi atau kenaikan harga barang yang begitu ketara selepas aktiviti ekonomi dibuka semula.

Ketika pandemik, memberi pengajaran mengenai peri pentingnya mempunyai simpanan atau tabung kecemasan sebagai pemampan dalam menangani perkara luar dugaan.

Keinginan untuk bangkit menyusun semula kewangan nampaknya masih menjadi cabaran untuk sebahagian besar daripada kita.

Walaupun ramai yang menarik nafas lega selepas sekatan Covid-19 dilonggarkan, namun kejutan kenaikan harga barangan seperti minyak masak botol, ayam mentah dan telur ayam hingga menyebabkan peruntukan untuk perbelanjaan asas semakin meningkat, sedikit sebanyak menimbulkan panik dalam kalangan pengguna.

Jadi, bagaimana untuk meneruskan hasrat membina tabungan sedangkan duit yang tinggal dalam poket pun cukup-cukup makan untuk sampai ke hujung bulan? Cukupkah dengan hanya melabur RM10 atau RM50 setiap bulan sedangkan wang sekecil itu boleh habis dengan sekali kunjungan ke pusat membeli-belah atau restoran makanan segera!

Jika soalan ini ditujukan kepada perunding kewangan bertauliah, jawapannya pastilah kita perlu terus melabur. Ini kerana asas kepada tabiat melabur sebenarnya bukanlah kepada berapa banyak jumlah yang boleh dilaburkan, tetapi disiplin untuk melabur secara konsisten dan hanya mengeluarkan pelaburan apabila benar-benar perlu.

Jika matlamat yang ditetapkan ialah membina tabungan kecemasan yang menyamai sekurang-kurangnya enam bulan gaji semasa, tetapkan fokus dan berikan sepenuh disiplin serta komitmen untuk melaksanakannya.

Sebagai contoh, pelaburan RM50 setiap bulan yang dibuat untuk tempoh lima tahun dan menerima dividen purata tahunan sebanyak lima peratus, boleh mengumpul sehingga RM3,400 dalam tabungan dengan syarat modal termasuk dividen tidak dikeluarkan.

Disiplin dan komitmen merupakan bahan paling penting untuk membina tabungan. Justeru, apabila melabur tetapkan matlamat bahawa kita memerlukan wang berkenaan untuk masa depan.

Jangan berfikir bahawa apa gunanya menyimpan jika kita mungkin tidak berkesempatan menggunakannya. Fikirkan bahawa jika berlaku kecemasan kita mempunyai sumber kewangan sebagai sandaran.

Memang penting untuk menguruskan kehidupan hari ini dengan pendapatan yang diterima, tetapi tidak salah jika sentiasa menyediakan payung dengan mengetepikan sedikit wang sebagai persediaan jika berlakunya bencana luar dugaan seperti pandemik Covid-19 ini.

Kesukaran kewangan ketika pandemik sewajarnya dijadikan sebagai satu pengajaran paling berharga untuk kita mula belajar mengurus kewangan dengan lebih baik.

Tiada istilah terlewat untuk memulakan pelaburan dan sebaiknya pilih untuk melabur dalam instrumen pelaburan berisiko rendah yang mampu memberi pulangan konsisten seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau deposit tetap di bank.

Oleh kerana tabungan ini merupakan satu talian hayat, instrumen pelaburan yang dipilih mestilah berisiko rendah. Jadi, pengguna tidak berdepan kemungkinan kerugian atau kehilangan modal malah boleh mengharapkan dividen yang konsisten setiap tahun.

Ketika berdepan kenaikan harga barangan yang menyebabkan kadar inflasi terus meningkat, pilihlah untuk melabur dalam instrumen pelaburan berisiko rendah yang mampu memberi pulangan setara atau lebih tinggi berbanding inflasi untuk memastikan nilai wang tidak mengecil.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp
Artikel Disyorkan