1124915
1124915

Kuasai asas keusahawanan

Mariatul Qatiah Zakaria
13 Jul 2021 01:23pm
A
A
A

Aspek pembelajaran dan penerapan ilmu keusahawanan terutamanya perniagaan dalam talian perlu bermula dari peringkat sekolah rendah, menengah dan universiti.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Peribahasa ini menggambarkan pendedahan perlulah diberikan kepada anak-anak sejak mereka masih kecil.

Pendedahan ini bertujuan membina generasi masa hadapan yang bukan sahaja berdaya saing malah terkehadapan.

Menurut usahawan dan penulis buku, Wan Nong Muzafar, tidak salah sekiranya pelajar peringkat sekolah menengah dan ke atas menjadi usahawan tetapi mereka perlulah mempunyai asas dalam perniagaan.

Ini kerana katanya, kebanyakan mereka yang aktif dalam pasaran hari ini adalah mereka yang menjual dan bukannya berniaga.

“Dalam konteks ini, kita perlu memahami apa itu berniaga kerana hari ini ramai orang di luar sana yang menjual.

“Menjual dan berniaga adalah dua perkara yang berbeza. Disebabkan ramai yang menjual, pelbagai produk boleh didapati di pasaran tetapi ia tidak bertahan lama.

“Begitupun tidak salah sekiranya pelajar-pelajar sekolah hendak menceburkan diri dalam dunia perniagaan kerana sekurang-kurangnya memberi mereka pengalaman dan lama-kelamaan pastinya jualan mereka akan bertukar menjadi perniagaan,” ujarnya kepada GPSBestari ketika dihubungi baru-baru ini.

Tambah Wan Nong, untuk mula berniaga memerlukan modal yang besar, oleh itu pelajar-pelajar digalakkan menggunakan platform media sosial di mana ia adalah percuma, tanpa perlu mengeluarkan sebarang kos.

Platform media sosial

Selain dapat memudahkan promosi produk jualan, media sosial juga merupakan platform yang dilihat amat bersesuaian dengan generasi hari ini.

“Bagi generasi Z hari ini, media sosial seperti Instagram (IG) dan TikTok medium yang sesuai jika dibandingkan dengan Facebook.

“Ini kerana generasi hari ini tidak gemar membaca selain mereka mempunyai pengikut yang sebaya, cara mereka mengendalikan kedua-dua medium ini juga ringkas, mudah dan kandungannya adalah video,“ katanya.

Ulas Wan Nong lagi, ini tidak bermakna pemasaran menggunakan gambar tidak sesuai tetapi hari ini generasi Z lebih gemar kepada sesuatu yang ‘bergerak’ seperti video.

Pendidikan keusahawanan

Tidak dinafikan, mata pelajaran keusahawanan telah diajar di peringkat sekolah rendah seterusnya sekolah menengah dan juga di peringkat universiti.

Mata pelajaran tersebut mendedahkan murid tentang asas-asas keusahawanan dan kemahiran yang pastinya berguna pada masa hadapan.

Mengulas lanjut perihal tersebut, Wan Nong menjelaskan, hari ini dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat, anak-anak perlu didedahkan dengan pelbagai ilmu terutamanya ilmu kemahiran.

Perniagaan secara dalam talian hari ini memerlukan peralatan dan sistem digital yang baharu.

“Sebenarnya hari ini kebanyakan mata pelajaran yang diajar di sekolah secara tidak langsung mendedahkan anak-anak dengan ilmu kemahiran.

“Ini adalah bekalan kepada mereka sekiranya terjadi apa-apa pada masa hadapan, sekurang-kurangnya mereka mempunyai asas dan kemahiran yang boleh digunakan dan dipraktikkan.

“Sebagai contoh, bidang perniagaan.  Ia bukanlah satu bidang yang mudah, banyak perkara perlu dilakukan, dari situ berlakunya proses transaksi keluar masuk wang walaupun kita sekadar menjual atau berniaga melalui media sosial,” tuturnya lanjut.

Di samping itu, guru-guru juga perlu memainkan peranan dengan memperbanyak lagi sesi praktikal dalam usaha memberi lebih kefahaman kepada pelajar-pelajar.

Wan Nong turut berkongsi ilmu dengan menyarankan agar pelajar sekolah menengah yang ingin berniaga tetapi tidak mempunyai produk boleh memulakannya dengan menjual produk-produk orang yang popular.

Dari situ mula bina kemahiran bagaimana hendak berkomunikasi, berurus niaga dengan pelanggan dan menguruskan keluar masuk duit.

Pada akhir bicara, Wan Nong turut menyatakan, perniagaan yang ingin kekal relevan perlu meningkatkan kefahaman dan pelaksanaan, pemprosesan dan teknologi yang berhubung dengan peralatan dan sistem digital yang baharu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan