1099632
1099632

Latihan berterusan rahsia kejayaan Muhammad Shah

Mariatul Qatiah Zakaria
22 Jun 2021 03:31pm
A
A
A

Keputusannya memilih untuk berlatih di Melbourne, Australia kini mula menampakkan hasil buat Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Terbaharu, Mac lalu, memenangi pingat emas di Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia dalam acara keirin, Muhammad Shah dilihat mampu melakarkan kejayaan setanding Azizulhasni Awang satu hari nanti.

Bagaimanapun, kejayaan Muhammad Shah hari ini tidak datang bergolek, malah anak kelahiran Muar, Johor, ini berjaya buktikan, dengan komitmen, disiplin, dan kesungguhan yang tinggi, hasilnya pasti berbaloi.

Bercerita penglibatan awalnya di dalam sukan berbasikal ini, anak kedua daripada empat beradik ini memberitahu, dia bermula dengan mengikut kawan-kawan berkayuh bersama kelab basikal di Muar.

Katanya lagi, ketika itu salah seorang jurulatih berbasikal Johor nampak potensi yang ada di dalam dirinya setelah dia memenangi perlumbaan pertama dalam acara Critirium Yayasan Sime Darby di Putrajaya bersama Kelab Berbasikal Johor.

“Rentetan daripada kejayaan tersebut, jurulatih itu kemudiannya menyerap saya ke dalam program berbasikal Johor.

“Alhamdulillah dari situlah segala-galanya bermula dan kejayaan hari ini juga berkat doa dan sokongan kedua ibu bapa saya.

“Pastinya selepas ini saya akan terus memberi tumpuan untuk memberikan yang terbaik buat semua,” ujarnya ketika dihubungi GPSBestari, baru-baru ini.

Tambah pemuda berusia 26 tahun ini lagi, dia tidak pernah mengikuti mana-mana kursus ataupun kelas untuk mendalami sukan berbasikal ini malah katanya selain Sekolah Sukan, mereka yang ingin mengetahui dan mendalami sukan berbasikal hanya perlu menyertai mana-mana kelab berbasikal yang aktif di negara ini.

Begitupun untuk mereka yang ingin mendapatkan pendidikan formal boleh memohon ke Sekolah Sukan yang ada menawarkan kursus Lumba Basikal (dalam negara) ataupun World Cycling Centre (WCC) di Switzerland.

Latihan harian

Hari ini berada di bawah bimbingan jurulatih John Beasley, Muhammad Shah menjalani latihan rutin yang cukup ‘ketat’ dalam usaha ‘menajamkan’ lagi kemahiran dalam kayuhan.

Memberitahu kehidupan hariannya sama sahaja dengan orang lain, bagaimanapun jadual Muhammad Shah bermula seawal 4.30 pagi dan dia perlu menjalani dua sesi latihan pagi dan petang.

“Komitmen dan disiplin amat penting dalam sukan berbasikal kerana selain perlu memastikan fizikal sentiasa bersedia, sukan berbasikal ini juga berkisarkan mengenai kemahiran.

“Sekiranya kita melakukan latihan tanpa henti, kemahiran sedia ada dapat dipertingkatkan dan pada masa yang sama dapat mencari dan memperbetulkan kelemahan diri.

“Untuk itu setiap hari kecuali Rabu saya bermula dengan latihan di gim, 6 hingga 7.30 pagi kemudian 1 hingga 4 petang latihan di trek. Hari Rabu pula saya ada fisio, urutan, dan latihan teras manakala Sabtu dan Ahad recovery road ride,” ujarnya lagi.

Jadual ini membuktikan latihan berterusan rahsia kejayaan.

Kelab berbasikal

Turut berkongsi ilmu dengan mereka yang baru ‘berjinak’ dan ingin serius dalam sukan ini , Muhammad Shah memberitahu sebagai permulaan platform terbaik adalah dengan menyertai kelab-kelab berbasikal dikawasan masing-masing.

Jelasnya lagi, walaupun tanpa kemahiran asas dalam berbasikal, dengan latihan yang betul dan dedikasi yang tinggi pastinya akan berjaya.

Ulas Muhammad Shah, setiap kategori dalam sukan berbasikal menuntut kemahiran yang berbeza seperti acara sprinting (pecut) memerlukan explosive power (tenaga yang banyak) dan quick reaction time (masa yang pantas).

Manakala acara indurace pula memerlukan ketahanan kardio respiratori dan otot yang tinggi.

Bercakap mengenai basikal pula, menurut Muhammad Shah, sebagai permulaan selalunya bermula dengan kayuhan indurance dan antara basikal yang baik adalah basikal jenis moutain bike kerana harganya yang berpatutan, mudah didapati, dan mudah untuk dijaga dan diselenggara.

Jika sudah mahir untuk mengendalikan basikal tersebut barulah boleh menaik taraf kepada road bike.

Akhir sekali, Muhammad Shah menasihati orang ramai yang ingin aktif dalam sukan berbasikal ini agar sentiasa mengamalkan cara kayuhan yang lebih selamat dan menghormati pengguna jalan raya yang lain.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan