WhatsApp Image 2021-07-12 at 4.16.24 PM (3)
WhatsApp Image 2021-07-12 at 4.16.24 PM (3)

Lesu di musim pandemik, amalkan pemakanan yang seimbang

A
A
A

Penjanaan minda anak-anak bermula daripada pemakanan yang sihat. Tanpa pemilihan dan pengambilan makanan yang betul, otak mereka tidak mampu bekerja dengan baik.

Keadaan ini akan memberi kesan kepada diri anak-anak di mana mereka akan cepat berasa letih dan lesu terutamanya semasa sesi pembelajaran.

Keadaan semasa yang menuntut proses pembelajaran berlaku secara dalam talian, mengharuskan ibu bapa lebih peka terhadap pemakanan anak-anak.

Gaya hidup yang telah berubah ini, menyebabkan proses perkembangan otak dan diri anak-anak terganggu. Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam menyediakan makanan yang berkhasiat dan seimbang untuk perkembangan minda dan kesihatan diri mereka.

Guru mata pelajaran bahasa Melayu, Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Uda, Johor Bahru, Johor, Suliazliza Zulkipli, berbesar hati berkongsi kepentingan pemilihan makanan seimbang untuk anak-anak di rumah.

Gambar hiasan daripada Pexels.

“Bagi membantu proses pembelajaran anak-anak berjalan lancar, pengambilan vitamin melalui sayur-sayuran dan buah-buahan perlu diberi perhatian kerana bekalan vitamin dalam badan sangat penting bagi menguatkan antibodi dan kecerdasan minda murid-murid,” ujarnya.

Menurut Cikgu Suliazlina, pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam kuantiti yang banyak juga sangat penting kerana vitamin merupakan serat mineral yang paling tinggi khasiatnya dalam membantu proses penghadaman.

Sehubungan itu, ibu bapa juga perlu membekalkan karbohidrat yang secukupnya untuk membantu tubuh badan anak-anak kekal aktif semasa menjalani proses pembelajaran.

“Pengambilan karbohidrat seperti nasi, pasta, roti dan sebagainya sangat penting kerana karbohidrat merupakan sumber tenaga yang utama untuk seseorang individu melakukan aktiviti seharian,” jelasnya.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Oleh itu, ibu bapa perlu lebih peka dalam penyediaan karbohidrat mengikut kuantiti yang sederhana dan diperlukan bagi menjamin kesihatan anak-anak sentiasa terkawal.

“Selain itu, bekalan protein dalam kuantiti yang sederhana sangat penting bagi tumbesaran individu khususnya murid-murid yang masih berada di sekolah rendah,” tambahnya lagi.

Cikgu Suliazlina turut berkata, pemakanan yang sihat perlu diseimbangkan dengan pengambilan makanan seperti keju, kek, santan, minyak, gula, garam dan sebagainya bagi membekalkan lemak dalam badan.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Bagaimanapun, pengambilan lemak ini mestilah dalam kuantiti yang sedikit bagi mengelakkan penyakit-penyakit tidak diingini.

Diharapkan perkongsian ini mampu membantu anak-anak untuk terus bersemangat dan kekal aktif semasa proses pembelajaran berlangsung di musim pandemik Covid-19 ini.

Sumber: DidikTV

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan