New Project
New Project

‘Little Free Library (LFL)’ Semarakkan budaya membaca sambil berwakaf

webadmin
26 Oct 2021 09:36am
A
A
A

‘Little Free Library (LFL)’ merupakan satu usaha murni dalam usaha ke arah melahirkan masyarakat berilmu melalui pembudayaan membaca dan konsep pembelajaran sepanjang hayat merentasi sempadan perpustakaan sebagai gedung pengetahuan yang cukup berharga.

Ini adalah salah satu usaha untuk menjayakan ‘Program Galakan Membaca’ secara berterusan di samping merupakan kesinambungan terhadap pemilihan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku bagi tahun 2020.

Selain itu, projek ini turut berhasrat untuk mempromosikan konsep literasi membaca dan memupuk budaya suka membaca dengan tersergamnya sebuah kotak/ pondok kecil yang memuatkan pelbagai jenis bahan bacaan ilmiah yang boleh dikongsi secara meluas dengan sesiapa sahaja.

Usaha murni ini turut diinspirasikan sebagai wadah jalinan kerjasama pintar sesama ahli komuniti menerusi perkongsian kreativiti, kepercayaan dan percambahan minda merentasi lapisan generasi secara keseluruhan.

Projek ini juga turut mengajak masyarakat setempat untuk memperkasakan konsep waqaf menerusi sumbangan buku – buku dan segala bahan bacaan ilmiah yang boleh dikongsikan bersama dengan orang lain.

Jika ditinjau dari lipatan sejarah, projek yang berpaksikan kepada khidmat masyarakat ini adalah hasil cetusan idea Todd Bo; seorang tukang kayu dari Hudson, Wisconsin, Amerika Syarikat yang telah membina sebuah model kecil bilik darjah di sekolah sebagai hadiah kepada ibunya (pesara guru) yang suka membaca pada tahun 2009.

Model bilik darjah ini seterusnya telah dipenuhi dengan pelbagai buku yang meliputi pelbagai kategori dan genre untuk bacaan umum. Lokasi model ini adalah di halaman rumahnya dengan papan tanda ‘Free Library’ dan mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan dalam kalangan warga setempat.

Projek ini seterusnya dilaksanakan dengan lebih kemas dan sistematik apabila Rick Brooks; seorang pendidik dalam pembangunan belia dan komuniti dari University of Wisconsin – Madison (UW – Madison Division of Continuing Studies) mula menjalinkan kerjasama membentuk ‘Little Free Library Organization’.

Lebih menarik, terdapat sejumlah 40, 000 buah LFL telah dibangunkan di 70 buah negara di seluruh dunia; termasuklah empat buah di Malaysia sehingga Disember 2016.

Antara lokasi bagi LFL ini di Malaysia termasuklah di Nilai Impian (Charter Number #22925), LFL Kampung Pulau Rusa, Terengganu (Nombor Charter #26441) iaitu sebuah rumah tradisional Terengganu yang turut berjaya menarik minat kanak –kanak, LFL Kajang Central, di Kajang, Selangor (Nombor Charter #27583) yang terletak dalam kawasan premis kedai milik seorang pengusaha Mobile Book Café, LFL yang didaftarkan di Jalan Permas 13, Johor (Nombor Charter #29738 serta LFL USIM (Nombor Charter #31743) yang telah ditubuhkan pada 16 April 2015.

Konsep bagi LFL yang berteraskan kepada ‘sedekah dan waqaf’ ini adalah seperti berikut:

- Take a book – Ambil sebuah buku

- Leave a book – Tinggalkan sebuah buku (sumbangan/ sedekah)

- No due dates – Tiada tarikh pulang

- No late fees – Tiada denda lewat pemulangan

- No membership library cards required – Tiada kad keahlian perpustakaan diperlukan

- The doors are open every day of the week, ‘24 hours a day’ – Dibuka setiap hari seminggu dan 24 jam sehari.

Secara dasarnya, idea penubuhan LFL UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya bermula pada 27 Januari 2016. Ini hasil daripada sesi lawatan penandaarasan oleh pihak staf Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) ke Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi mendapatkan maklumat berkaitan dengan ‘rumah kecil’ atau perpustakaan mini mereka dan kaedah pelaksanaannya.

Ini akhirnya telah membawa kepada penubuhan LFL UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya dengan kelulusan pembiayaan sebanyak RM5000. Upacara perasmian projek ini telah disempurnakan mantan Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ir Hj Idris bin Hj Haron sempena Sambutan 10 Tahun Kampus Bandaraya Melaka pada 19 Mei 2016.

Upacara peletakan Charter Number #39921 pula telah dilaksanakan oleh Yang Berbahagia Profesor Emeritus Dato' Dr. Hassan bin Said, mantan Naib Canselor UiTM.

Secara tuntasnya, projek ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan warga kampus; para pelajar, masyarakat setempat termasuklah para pelancong tempatan dan asing; samada sebagai penyumbang mahupun mengoptimumkan penggunaan terhadap segala bahan bacaan LFL tersebut yang mengandungi 200 buah buku bebas sedari awal pelaksanaan projek tersebut hingga kini.

Namun demikian, projek ini turut menerima ‘tempias’ terhadap sistem pengurusan dan tadbir urus akibat daripada pandemik Covid-19 yang melanda berdasarkan kepada keadaan luar jangka dan yang berada di luar kawalan.

Kesimpulannya, idea dan konsep pelaksanaan LFL ini adalah mudah, murah dan boleh dilaksanakan secara berterusan oleh sesiapa dan di mana – mana sahaja. Adalah menjadi suatu harapan yang menggunung semoga usaha yang kecil ini dapat dapat dikembangkan lagi dan seterusnya mampu untuk memberikan impak yang berkualiti tinggi lagi cukup signifikan demi menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan komuniti setempat secara keseluruhan; di samping turut memperkasakan amalan berwakaf demi manfaat bersama.

Info Penulis:

1. Mohd Ab Malek bin Md Shah

Pensyarah Kanan

UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah

2. Siti Haidah Md Aziz

Pustakawan Kanan

Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR)

UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan