lance-asper-mNDVSSmMt0Y-unsplash (2)
lance-asper-mNDVSSmMt0Y-unsplash (2)

Lokasi-lokasi staycation di Selangor yang boleh dilawati bagi merehatkan minda

Mohd Khairi Mohamad Yusri
07 Oct 2021 01:18pm
A
A
A

Pengunguman perubahan Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri Selangor telah menjadi berita gembira bagi segelintir guru dan ibu bapa.

Mana tidaknya, setelah beberapa bulan perlu membuat semua kerja di rumah, pastinya banyak tekanan yang dihadapi, ditambah lagi tugas melayan kerenah anak-anak ketika mereka sedang mengikuti kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Jadi peluang untuk melepaskan tekanan tersebut pasti menjadi sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh mereka.

Jika sebelum ini, GPSBestari ada menyenaraikan jenis-jenis tempat yang boleh dikunjungi, kali ini kami akan menyediakan senarai lokasi untuk aktiviti staycation yang semakin menjadi trend masa kini, khususnya pada cuti hujung minggu.

1) Carpe Diem, Serendah

Resort Taman Eko Rimba Komanwel by anwarxaki @ IG

Carpe Diem terletak di Pekan Serendah merupakan sebuah penginapan yang membawakan konsep gaya hidup kampung. Carpe Diem adalah perkataan Latin yang membawa maksud “merebut hari”.

Lokasi ini membawa anda melangkah ke pesona percutian ala kampung yang juga bertepatan sekiranya anda mencari tempat untuk menjalankan sesi latihan pasukan. Carpe Diem juga dikelilingi oleh tanaman menghijau yang subur, menjadikannya tempat yang sesuai untuk mencari ketenangan dan bersantai.

2) Sri Damai Resort, Kalumpang

Carpe Diem, Serendah by andrewlooi @ IG

Sri Damai Resort menawarkan penginapan berkonsepkan alam sekitar, dilengkapi dengan kolam renang dari air sungai untuk kanak-kanak, serta kolam memancing bagi mereka yang suka menangkap spesies langka seperti ikan kelah dan baung.

Bukan itu sahaja, pelbagai aktiviti riadah yang menyeronokkan ada ditawarkan di sini seperti aktiviti berbasikal air dan memandu kenderaan ATV. Selain itu, terdapat ladang rusa, kambing, serta buah-buahan tempatan yang boleh dikunjungi semasa anda menginap di sini.

3) Resort Taman Eko Rimba Komanwel, Rawang

Sri Damai Resort, Kalumpang by sri_damai_resort @ IG

Resort Taman Eko Rimba Komanwel ini terletak di Hutan Simpan Bukit Lagong di jalan menuju ke Pekan Rawang. Sudah namanya taman rimba, ia pilihan yang tepat untuk anda menikmati keindahan alam semulajadi dan menghirup udara segar.

Apa yang lebih menarik di sini, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti menyihatkan seperti berkayak, jungle trekking, mountain bike trails dan banyak lagi sambil merakam detik-detik kegembiraan bersama orang tersayang. Ini adalah tempat yang tepat untuk menghabiskan masa hujung minggu anda dalam keindahan alam yang menghijau.

4) Rumah Hutan Bonda, Batang Kali

Rumah Hutan Bonda Rozita, Batang Kali by danishtsl @ IG

Hanya mengambil masa lebih kurang satu jam perjalanan dari Bandar Petaling Jaya, anda boleh kunjungi salah satu tarikan pelancongan di Daerah Hulu Selangor, iaitu Rumah Hutan Bonda. Ia menampilkan konsep rumah Melayu asli yang pasti akan membuat anda terpegun melihatnya.

Tempat penginapan ini turut dikelilingi keindahan hutan dan alam semulajadi. Rumah Hutan Bonda juga mempunyai kawasan yang luas dan sesuai untuk beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan.

5) PulaiThree, Kuala Kubu Bharu

PulaiThree, KKB by azfarheri @ Twitter

PulaiThree merupakan lokasi percutian yang terletak di Pekan Kuala Kubu Bharu, di tengah kawasan hutan hujan dan kawasan bukit milik peribadi.

Konsepnya direka dengan ruang terbuka menghadap alam sekitar namun masih menerapkan unsur kelestarian. Vila yang dikelilingi keindahan alam dan suasana yang amat menenangkan ini menawarkan dua bilik tidur dengan pemandangan indah seperti gunung hijau zamrud di luar bandar.

Selain itu, tempat penginapan ini yang dilengkapi dengan kolam renang dan dapur lengkap dengan set barbeku sememangnya akan memberikan pengalaman yang tiada tandingan.

Tentunya, tempat penginapan yang tersenarai di atas bakal mengubati kerinduan anda kepada keindahan alam semulajadi, namun tidak mengetepikan faktor keselesaan.

Akhir sekali, kami ingin mengingatkan walaupun sedang bercuti, prosedur operasi standard (SOP) perlulah sentiasa dipatuhi oleh semua.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan