Untitled
Untitled

Mahu ‘frontliner’ pendidikan terus bermotivasi, Guru Cemerlang ini kongsi 8 tip penting untuk cikgu hadam!

webadmin
18 Jun 2021 03:26pm
A
A
A

Proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) terus berlangsung walaupun negara melalui zaman perit pandemik Covid-19.

Semua pelajar terpaksa melalui saat getir dalam proses pembelajaran supaya tidak terus ketinggalan. Jadi, guru juga merupakan‘frontliner’ pendidikan bagi meneruskan PdPR dengan pelbagai pendekatan dan strategi demi memastikan murid-murid terus dilimpahi dengan ilmu dan tidak tercicir dalam pelajaran.

Ada guru yang mengajar dari rumah dalam talian setiap hari, yang bersungguh-sungguh menghantar kerja rumah melalui aplikasi WhatsApp, yang gigih merakam video untuk tontonan pelajar, dan ada guru merancang dan membuat program khas untuk murid.

Semua ini dilakukan dengan satu tujuan iaitu supaya anak-anak didik tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Gesaan mendidik menjadikan proses PdPR tetap diteruskan, walaupun semua guru perlu membiasa diri dengan kehidupan dalam suasana norma baharu dengan menyusun pelbagai strategi.

Pelbagai kaedah menjadi perantaraan PdPR yang diguna oleh guru-guru demi memastikan ilmu dapat disampaikan kepada pelajar mereka. Namun, paling penting guru terus bermotivasi.

Di sini, saya kongsikan lapan tip menjadikan guru terus bermotivasi dalam menyampaikan ilmu bermanfaat kepada pelajar.

1) Ikhlaskan kerja kerana Allah kerana kita sedang melaksanakan kerja para nabi. Bila kita mengharapkan upah daripada setiap kerja yang dilakukan kerja dianggap membebankan.

2) Kerja guru adalah mulia. Sesungguhnya Allah perintahkan kita untuk menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya.

3) Terimalah pelajar kita dengan segala kekurangan yang ada pada diri masing-masing kerana mereka bukanlah malaikat. Tidak ada jalan untuk kita lari daripada memperbaiki segala kekurangan atau kesalahan mereka kerana kita adalah pendidik dan harapan setiap pelajar.

4) Berilah penghargaan kepada pelajar dan terangkan kelebihan mereka sebagai penuntut ilmu agar kesan pengajaran kita lebih cepat sampai ke lubuk hati anak-anak didik.

5) Sesungguhnya ramai ‘orang besar’ disebabkan tunjuk ajar daripada kita yang telah melonjak dan menyalakan cita-cita mereka hingga ke puncak. Maka jadilah kita ‘Master Plan’ orang-orang besar.

6) Sebagai guru, kita seharusnya membuang perasaan hasad dengki kepada rakan-rakan lain yang memperoleh sesuatu kejayaan dan sentiasa memberi sokongan ke atas kejayaan mereka. Jangan pandang enteng setiap program yang dikongsikan. Terimalah perkongsian yang dikongsikan berbanding yang tidak memberi apa-apa.

7) Beri tunjuk ajar dan tauladan yang baik kepada anak-anak murid kerana kelak mereka pastinya akan mendoakan kebaikan untuk diri kita. “Ya Allah, tambahkan ilmu, rahmati dan berkatilah kepada guru-guru kami yang kuat cergas dan amanah.

8) Berilah layanan baik dan tinggallah kesan yang baik kepada para pelajar. Berapa ramai daripada kita yang mendapat doa kebaikan yang berterusan, meskipun sudah tiada kelak.

* Dr Abdul Ghani Jalil merupakan Guru Cemerlang Bahasa Melayu, SMK Bukit Payong, Pokok Sena, Kedah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan