happy-asian-family-using-computer-laptop-together-sofa-home-living-room_74952-1224
happy-asian-family-using-computer-laptop-together-sofa-home-living-room_74952-1224

Manfaat Google Classroom yang guru sedang guna sekarang. Ada 20 kebaikan dikongsi Cikgu Herryan Syah

Roshlawaty Md Raieh
09 Jul 2021 02:58pm
A
A
A

Dengan rasminya Google Classroom (GC) telah menjadi platform pembelajaran menggantikan Frog VLE.

Umum mengetahui Google Classroom adalah satu aplikasi untuk pendidikan oleh Google yang mesra pengguna dan ringan.

Selain daripada ia adalah percuma, ada banyak manfaat menggunakan Google Classroom dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang seiring dengan Pembelajaran Abad Ke 21.

Apatah lagi, sekarang ini, semua sesi pembelajaran diajar secara maya dan ini bermakna kewujudan Google Classroom memang tepat pada masanya.

Apakah manfaat Google Classroom?

Mari hadam perkongsian Cikgu Herryan Syah Tupan Surian yang merupakan Pegawai School Improvement Specialist Coach (Sisc+), Pejabat Pendidikan Daerah Kulai, Johor, seperti dipetik menerusi blog mudahmengajar.com

1) Mudah buat kelas

Wujudkan seberapa banyak kelas dengan pelbagai tetapan gambar, nama dan pelbagai lagi.

2) Mudah menyimpan senarai murid

Mungkin ada tak ingat nama-nama murid, nak lihat profail murid. Google Classroom ada menyimpan rekod ini.

Gambar hiasan daripada Freepik.

3) Mudah buat tugasan

Ada tugasan atau latihan nak diberikan? Cipta tugasan dan berikan kepada murid. Dengan tugasan menggunakan Google Docs, guru dapat membina satu template dengan jawapan murid secara individu.

4) Mudah buat penilaian

Guru boleh memberikan markah dengan mudah untuk setiap tugasan murid.

5) Mudah buat pentaksiran

Dengan beberapa tugasan yang diberikan dan disudahkan oleh murid, guru mudah membuat pentaksiran kerana ada pengredan dan rekod tersusun.

6) Mudah buat kolaborasi guru

Guru-guru boleh berkolaborasi untuk mengajar sesuatu kelas dan begitu juga dalam pindah milik kelas.

7) Mudah disemak pentadbir

Dengan adanya akses pentadbir sebagai guru bersama bagi setiap kelas, maka pentadbir dapat menyelia perjalanan, tugasan dan komunikasi setiap kelas di sekolah.

8) Mudah memberi perhatian khusus

Setiap murid adalah unik. Dengan Google Classroom, guru boleh menghantar mesej secara peribadi kepada mana-mana murid. Hal ini sangat membantu guru dalam memberikan perhatian khusus kepada murid-murid tertentu. Setiap murid juga ada senarai semua tugasan dan rekod markah.

Gambar hiasan daripada Freepik.

9) Mudah memberi maklum balas

Setiap tugasan ada ruang maklum balas guru. Dengan itu, murid dapat mengetahui perkara yang mereka perlu baiki.

10) Mudah buat pengumuman

Pada bahagian Class Stream, guru boleh membuat sebarang pengumuman sama seperti News Feed dalam Facebook.

11) Mudah menyimpan bahan

Tiada platform untuk mengumpul semua bahan? Ramai guru hanya simpan semua dalam Google Drive dan berikan link kepada murid. Namun Google Classroom telah menyusun lebih baik dari segi direktori bahan proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di bahagian Materials.

12) Mudah menyemak kalendar

Murid boleh semak kalendar untuk melihat tarikh tamat tugasan, aktiviti dan membina sendiri perancangan mereka.

13) Mudah memilih murid

Guru hanya perlu pergi ke bahagian Selector, guru boleh memilih murid secara rawak bagi tujuan penilaian, pengundian dan bermacam-macam lagi.

14) Mudah membuat pembelajaran terbeza

Guru boleh memberikan tugasan berlainan untuk murid yang berlainan. Hal ini sangat membantu pembelajaran terbeza.

15) Mudah mendapatkan notifikasi

Sebarang pengumuman dan tugasan akan masuk dalam bentuk notifikasi di telefon pintar dan juga email murid. Dengan itu murid tidak ketinggalan, malah murid juga boleh buka aplikasi Google Classroom dan rujuk di bahagian notifikasi.

16) Mudah mengitar semula hantaran

Sebarang hantaran pengumuman atau tugasan boleh diguna semula malah untuk kelas yang berlainan.

17) Mudah membuat Pop Quiz

Guru boleh membuat kuiz ringkas yang boleh dijawab terus oleh murid.

18) Mudah dijalinkan dengan aplikasi-aplikasi kuiz popular

Aplikasi kuiz seperti Kahoot dan Quizizz mudah dijalinkan bersama dengan Google Classroom. Markah akan terus direkodkan bersama profil murid.

19) Mudah membuat perbincangan umum

Guru boleh bertanyakan pendapat dan mendapatkan respon murid.

20) Mudah diakses di mana-mana sahaja

Google Classroom boleh diakses di semua peranti Android dan komputer yang mempunyai pelayar internet. Hanya gunakan gmail sebagai ID.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan