Masih ada cara didik murid kidal, ini tekniknya!
Masih ada sebilangan murid yang dilahirkan dengan kecenderungan menggunakan tangan kiri atau kidal.
Hal ini berlaku kerana mereka merasakan yang tangan kiri lebih kuat daripada tangan kanan.
Bagaimanapun, sesetengah guru melahirkan rasa gusar dan bimbang apabila melihat murid-murid mereka pantas menggapai objek atau apa sahaja menggunakan tangan kiri.
Timbul sedikit keraguan dalam kalangan guru untuk mendidik anak-anak murid yang dikenal pasti sebagai kidal.
Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua, Gemencheh, Negeri Sembilan, Ustazah Supiyaton Mokti berkata, dalam masyarakat Timur, tangan kidal itu masih dipandang sebagai sesuatu yang janggal.
Malah katanya, penggunaan tangan kanan dilihat sebagai keutamaan kerana lebih sopan dan beradab.
Namun begitu, masyarakat perlu memahami bahawa kejadian itu bukanlah pelik sebaliknya ia adalah lumrah bagi sesetengah manusia.
“Cuma peranan kita sebagai guru, adalah membantu mereka belajar untuk mengenal pasti fungsi tangan kanan dan tangan kiri serta memberikan kefahaman kepada murid yang lain, bahawa kidal itu tidak pelik, tetapi ia adalah kejadian normal bagi manusia,” katanya kepada Sinar Bestari.
Berkongsi pengalaman sendiri, Ustazah Supiyaton berkata, ketika anaknya masih lagi bayi, pergerakan tangan kiri adalah paling lincah berbanding kanan.
“Dia pantas mengambil sesuatu menggunakan tangan kiri dan apabila masuk umur setahun lebih, anak makin serasi menggunakan tangan kiri.
“Walaupun ada juga yang kurang senang dan memberikan pandangan mengguris hati bila perasan melihat anak saya kidal (kerana ada ketika berjabat tangan menggunakan tangan kiri), tetapi masih ada yang memahami dan menegur dengan positif dan memberi pandangan membina,” ujarnya.
Sambung beliau lagi, sesetengah individu menganggap murid kidal ini ‘menjengkelkan’.
Namun hakikatnya mereka ini sebenarnya murid yang normal, sama dengan murid yang lain.
Cuma apa yang perlu dilakukan oleh seorang guru, mahupun ibu bapa adalah sabar ketika mendidik mereka.
Mempunyai sedikit ilmu dan berpengalaman mengendalikan murid kidal, Ustazah Supiyaton berkongsi beberapa tip penting untuk para guru dan ibu bapa praktikkan.
Semoga apa yang disenaraikan ini memberi manfaat pada semua pembaca. Insya-ALLAH.
1) Jangan risau
Usah risau dan jangan menganggap ini sebagai masalah, kecacatan atau janggal sebaliknya ingat ia satu kelebihan kepada mereka. Kita usahakan untuk murid ini buat yang terbaik dengan tangan kidalnya.
2) Ajar murid bezakan bila perlunya menggunakan tangan kanan dan kiri
Guru-guru boleh memberitahu kepada mereka yang mana perkara penting dan wajib menggunakan tangan kanan dan kiri.
Misalnya:
i. Makan mesti tangan kanan
ii. Berjabat tangan kanan
iii. Mengambil barang daripada orang tangan kanan
iv. Pegang makanan tangan kanan
v. Bila cuci najis guna tangan kiri
* yang lain-lain difikirkan perlu.
3) Jangan memaksa
Perlu diingat jangan memaksa semua perkara untuk dia mengubah menggunakan tangan kidal kepada kanan.
Contoh:
Bila mula masuk alam persekolahan, murid akan mula serasi menulis menggunakan tangan kiri. Biarkan, agar dia selesa untuk belajar. Jika tidak murid akan ‘tertekan’ dengan kesempurnaan yang kita mahu.
Begitu juga dengan aktiviti lain yang tidak melibatkan adab atau kepentingan penggunaan tangan kanan dalam kehidupan seharian. Misalnya bagi murid yang aktif bersukan, jika murid itu selesa memegang kayu hoki dengan tangan kiri, biarkan. Boleh jadi baginya kekuatan pukulan itu ada pada tangan kidalnya.
4) Perlu pengulangan, peringatan dan teguran
Selalu mengingatkan murid dengan perlakuan penggunaan tangan kanan atau kiri seperti,
“Makan tangan kanan, ini tangan kanan”
“Bila cuci najis, tangan kiri, ini tangan kiri”
Perlu segera menegur dan ingatkan selalu. Mohon bantuan pada semua guru mahupun ahli keluarga untuk menegur penggunaan tangan kanan atau kiri.
5) Kerjasama semua guru, ahli keluarga, jiran dan kenalan rapat
Mohon bantuan pada semua guru, ahli keluarga dan yang lain-lain untuk membantu murid ini membezakan penggunaan tangan kanan dan kiri.
Perkongsian begini membantu murid lebih memahami perbezaan antara tangan masing-masing.
6) Jangan ambil sikap tidak peduli atau putus asa
Sebagai guru atau ibu bapa, perlu ambil peduli dengan perkembangan anak yang kidal.
Pastikan kita berusaha yang terbaik untuk anak agar mereka selesa dengan kidalnya tanpa meninggalkan adab penting dalam membezakan keperluan penggunaan tangan kanan.
Ingat! Mendidik bukan satu proses yang mudah.
Perlu ambil masa bukan sekelip mata berubah. Jangan mudah putus asa. Usaha sehingga dia faham kenapa, mengapa dan bila, dia boleh dan tidak boleh menggunakan tangan kidalnya itu.
Artikel berkaitan
5 tip mudah skor A+ Matematik SPM, pelajar pasti boleh buat!
Herba tempatan Sabah jadi ramuan penyelidik hasilkan produk organik
Perlu menghadiri temu duga universiti awam? Ini tip untuk panduan pelajar