HomeKomunitiMemugar minat dan motivasi melalui pengimplementasian I-Think dalam pembelajaran Kursus Kenegaraan Malaysia

Artikel Berkaitan

Memugar minat dan motivasi melalui pengimplementasian I-Think dalam pembelajaran Kursus Kenegaraan Malaysia

Sistem pendidikan negara ditransformasikan bagi mencapai matlamat membina sebuah masyarakat yang bersatu padu dan mempunyai identiti sendiri.

Justeru, dasar-dasar pendidikan yang direncanakan diharapkan berupaya mendukung semangat kebangsaan. Struktur kurikulum di peringkat sekolah, pendidikan guru dan pendidikan tinggi juga diubahsuai agar wujud kesinambungan pada peringkat-peringkat pendidikan tertentu.

Perpaduan dan perkembangan ekonomi merupakan dua matlamat utama yang terkandung dalam Penyata Barnes, Penyata Razak, Falsafah Pendidikan Negara, Akta Pendidikan 1996, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Matlamat utama ialah untuk meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama. Modal insan negara yang berkualiti merupakan elemen yang paling kritikal dalam mencapai Misi Nasional.

Pembangunan modal insan akan dilaksanakan secara holistik merangkumi pemerolehan pengetahuan dan kemahiran atau modal intelek. Ini termasuk keupayaan keusahawanan dan pengetahuan sains dan teknologi (S&T) serta memiliki sikap, nilai dan etika positif serta progresif melalui pendidikan, latihan dan pembelajaran sepanjang hayat. Di samping itu, elemen kemahiran insaniah dan keusahawanan akan diterapkan kepada setiap individu supaya mereka dapat berfikir dan bertindak sebagai agen perubahan dalam masyarakat.

Negara perlu melahirkan modal insan untuk menghadapi cabaran pembangunan ekonomi berlandaskan ilmu pengetahuan dan inovasi. Modal insan yang dibangunkan perlu mempunyai keupayaan pengetahuan, kemahiran dan ciri-ciri peribadi yang unggul.

Bersesuaian dengan matlamat pembangunan modal insan yang dihasratkan, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) telah digubal dan telah dilancarkan pada 27 Ogos 2007 dengan visi untuk mentransformasikan pengajian tinggi dalam konteks menjadikan Malaysia sebagai hub kecemerlangan pengajian tinggi antarabangsa. Transformasi ini merupakan peletakan asas ke arah kegemilangan dan kelestarian pengajian tinggi melangkaui tahun 2020.

Pembangunan di Malaysia perlu dilihat dari pelbagai dimensi. Antara elemen yang seharusnya diberikan perhatian khusus ialah ekonomi, politik, sosial, spiritual, psikologi dan budaya.

Dalam menempuhi era globalisasi ini, peranan institusi pengajian tinggi berubah secara drastik bagi menentukan modal insan turut berubah daripada ekonomi berasaskan pengeluaran kepada ekonomi berasaskan pengetahuan. Oleh yang demikian, institusi pengajian tinggi mempunyai peranan holistik bagi menyediakan graduan kompeten dan mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Baca juga Tip menulis entri blog pendidikan, guru-guru wajib hadam perkongsian ini

Baca juga “Cikgu, saya dah lama teringin nak makan McDonalds, tapi ayah kata mahal”

Modal insan minda kelas pertama yang dihasratkan seharusnya berperanan sebagai kumpulan pemikir masyarakat dan juga negara. Mereka seharusnya mempunyai daya intelektual tinggi, komited, di samping berani mengambil risiko.

Menyedari hasrat murni ini, institusi pengajian tinggi (IPT) mempunyai peranan yang kritikal bagi menyediakan landasan ke arah meningkatkan daya saing negara di peringkat global.

Ini boleh dilaksanakan melalui penyampaian pendidikan dan latihan yang berkualiti, berkesan, relevan serta mempunyai komitmen tinggi terhadap pembelajaran sepanjang hayat. Tenaga kerja masa hadapan dan IPT perlu bersedia menghadapi cabaran globalisasi, persaingan yang sengit dan perubahan teknologi terkini. Generic Student Attribute (GSA) menurut Bamber, (2009) ialah:

“The inclusion of generic attributes as an element of other key learning and teaching policies was also intended to support engagement by academics in embedding generic attributes in their teaching. For instance, the policy on course outlines requires that generic attributes are explicitly integrated with the subject learning outcomes specified for a course, and the assessment policy explicity requires that the subject assessment be aligned with these outcomes”

Barnett (1994), pula menyatakan bahawa Generic Student Attribute (GSA) amat diperlukan bagi memperkuatkan ilmu yang dipelajari dan menghadapi pasaran kerja. Agenda ini telah diberikan keutamaan dalam pelaksanaan fasa pertama PSPTN. Ini turut disokong dengan pembelajaran yang berasaskan Student Centered Learning (SCL). Kesejajaran secara bersistem akan membawa kepada pencapaian Out Comed Based Education (OBE).

Menurut Killen (2002), OBE boleh dilaksanakan dalam pelbagai cara dan bentuk dalam pendidikan. Hal ini diperteguhkan oleh sarjana seperti Spady, (1994) yang menyatakan bahawa OBE merupakan satu set tindakan yang berfokus dan bersistem bagi semua pelajar yang seharusnya membuahkan hasil di akhir proses pengajaran pembelajaran.

OBE seharusnya menjadi keutamaan dan tumpuan untuk meningkatkan GSA dan hal ini sejajar dengan program pembangunan modal insan negara. Kurikulum OBE juga mengambil kira dan memberikan penekanan khusus kepada Course Learning Outcome (CLO), Programme Learning Outcome (PLO) dan Programme Educational Objective (PEO).

Dalam memastikan OBE tercapai, Constructive Allignment (CA) perlu dilakukan agar kesemua aktiviti pembelajaran dapat bergerak secara konsisten dan berkesan kepada pelajar. Biggs (2003), menyatakan bahawa aktiviti pengajaran pembelajaran seharusnya mengandungi tiga komponen utama iaitu objektif pembelajaran, aktiviti pembelajaran dan penilaian. Di samping itu, kapasiti pemerkasaan pendidik yang menggunakan SCL juga perlu dilaksanakan.

Kursus Kenegaraan Malaysia

Pembangunan Holistik Pelajar di IPT bagi melahirkan graduan yang seimbang dari segi ilmu, ketrampilan, akhlak, nilai murni, patriotik dan berdisiplin ke arah pembentukan modal insan negara yang holistik serta berpersonaliti tinggi (towering personality) menjadi agenda pendidikan negara.

Tumpuan perlaksanaan diletakkan dalam konteks kurikulum dan kokurikulum yang merangkumi ilmu praktikal serta ilmu falsafah bagi menyokong pembangunan pelajar secara holistik. Hal yang demikian diterjemahkan dalam penawaran dan perlaksanaan Kursus Teras di semua IPT dalam negara termasuk IPTS, IPTA dan Politeknik.

Kursus SADN 1033 Kenegaraan Malaysia merupakan kursus teras dan perlu diikuti sebagai prasyarat utama dalam proses pengijazahan di Universiti Utara Malaysia (UUM). Kursus ini merupakan pengenalan kepada sejarah pembinaan negara meliputi tempoh masa dari zaman pra merdeka hingga kepada pembentukan dasar-dasar kerajaan selepas kemerdekaan sehingga kini.

Matlamat kursus ini ialah membina generasi celik sejarah pembinaan negara dan memugar jiwa patriotik terhadap tanah air. Kursus ini sangat penting dalam membina generasi baharu Malaysia dengan menggunakan sejarah sebagai asas pembinaan negara bangsa.

Sebagai pendidik yang bertanggungjawab menyampaikan kandungan kursus ini dengan berkesan sudah semestinya minat mahasiswa dan mahasiswi menjadi prioriti. Minat pelajar terhadap kursus yang dipelajari mempunyai hubungan yang signifikan dengan hasil pencapaian mereka.

Justeru itu, adalah penting untuk meningkatkan minat pelajar secara mendalam supaya dapat membina generasi pelajar yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial.

Melaksanakan aktiviti pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dalam bilik kuliah secara bersemuka atau maya yang mengandungi bilangan pelajar yang ramai merupakan satu cabaran besar. Mahasiswa dan mahasiswi memberikan pelbagai reaksi mengenai kursus Kenegaraan Malaysia.

Terdapat yang menyatakan PdPc yang membosankan dan terlalu banyak fakta yang perlu diingati. Sikap negatif ini menterjemahkan reaksi kurang berminat terhadap kursus tersebut. Minat mempunyai kaitan yang rapat dengan sikap. Pelajar-pelajar akan menunjukkan reaksi positif apabila mereka berminat terhadap sesuatu situasi atau perkara. Sebaliknya mereka akan menunjukkan reaksi negatif apabila tidak berminat.

Robert F. Mager menegaskan bahawa isi kandungan kursus yang disampaikan kepada pelajar seharusnya jelas, menarik minat dan dapat diaplikasikan dalam konteks kehidupan seharian. Oleh yang demikian, SCL yang mampu mengubah iklim pembelajaran menjadi kondusif dan menyeronokkan perlu diwujudkan. Para pendidik seharusnya bijak dan berupaya menggunakan rangsangan yang dapat menimbulkan minat pelajar terhadap apa yang dipelajari.

Pendidik juga seharusnya mempunyai pengetahuan dan kreadibiliti dalam mengubah suasana PdPc menjadi kreatif, berinformasi serta mampu memberikan suntikan motivasi kepada pelajar yang mempunyai paradigma dan persepsi negatif.

Pelajar-pelajar yang bermotivasi akan memberikan sepenuh perhatian dan berupaya meningkatkan daya intelek ketika mengikuti pembelajaran.Menyedari kekangan yang dihadapi dalam menyampaikan kursus teras ini, i-Think diimplementasikan sebagai satu pendekatan dalam meningkatkan minat dan motivasi dalam mengikuti kuliah kursus Kenegaraan Malaysia di UUM.

Baca juga 4 kali terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Cikgu Noor Azlan kongsi rahsianya 

Baca juga Sakit belakang ketika menjalani PdPR, ikuti 5 tip ini kekalkan postur badan yang betul

Peta pemikiran I-Think

I-Think bermaksud pemikiran inovatif yang bertujuan untuk mempertingkatkan dan membudayakan kemahiran belajar ke arah menghasilkan pelajar kreatif, kritis serta inovatif.

I-think ialah satu program yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dengan tujuan mempertingkatkan dan membudayakan kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar ke arah melahirkan golongan inovatif dan mempunyai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Peta Pemikiran i-Think yang dikembangkan oleh Dr David Hyerle ialah alat pengajaran visual yang berupaya memupuk dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.

Antara ciri yang diutamakan ialah berfikir di luar kotak, iaitu berfikiran kreatif, bersedia untuk menerima idea baharu, bersedia mengambil risiko, bersedia melakukan kesalahan dan tidak terlalu terkongkong dengan cara pemikiran konvensional. Tujuan menggunakan i-Think ialah membantu pendidik dan pelajar mendalami proses pembelajaran dengan lebih bermakna. I-Think berdasarkan proses kerja akal manusia dan cara menstrukturkan maklumat.

Pendidik boleh menggunakan peta pemikiran untuk mengajar pelbagai subjek dan memilih set perkakas pemikiran i-Think berbeza mengikut standard kandungan yang ingin disampaikan.PdPc akan menjadi lebih dinamik apabila peta pemikiran i-Think digunakan untuk meningkatkan kemahiran berfikir abstrak pelajar.

Secara tidak langsung, minat pelajar akan turut meningkat dan mereka dapat menyusun idea serta meningkatkan tahap pembelajarannya. I-Think membantu murid berfikir secara divergen dan konvergen serta dapat menstrukturkan pemikiran dengan cara yang sistematik.

Peta pemikiran i-Think juga dapat membantu pelajar memahami hubungan antara pelbagai aspek, konsep dan sebagainya dalam pelbagai situasi. Mereka akan belajar memfokuskan pemikiran terhadap maksud daripada hanya mementingkan fakta dan aspek teknikal lain seperti gaya bahasa serta tatabahasa. Pelajar juga akan lebih mudah memahami konflik, masalah, cabaran atau sebarang situasi yang perlu dianalisis.

Pemindahan maklumat yang linear kepada bukan linear dan perkara yang kompleks akan menjadi mudah serta senang difahami dengan menggunakan i-Think. I-Think memberikan ruang kepada pelajar dan pendidik untuk memahami maklumat dalam cara yang mudah serta kreatif.

Maklumat dapat diringkaskan secara efektif dan mudah diguna pakai apabila diperlukan. Peta pemikiran i-Think dapat membantu dalam pendidikan sepanjang hayat yang merupakan salah satu matlamat pendidikan di Malaysia. Peta pemikiran i-Think menggabungjalinkan proses kognitif pembelajaran dengan penjelmaan visual dalam penyusunan grafik.

Kaedah ini dapat membekalkan secara konsisten untuk para pendidik membentangkan informasi dan pelajar menghadapi pembelajaran serta mengekalkan pengetahuan tersebut.

Menurut Paivio, 90 peratus maklumat yang sampai ke akal manusia adalah dalam bentuk visual. Oleh itu, peta pemikiran i-Think dapat merangsang pemikiran mengikut cara semula jadi dan menarik perhatian pelajar.

Ikuti juga kami di:
Facebook: https://www.facebook.com/sinarbestarimy
Instagramhttps://www.instagram.com/sinarbestarimy/
Twitter: https://twitter.com/sinarbestarimy
Youtube: https://www.youtube.com/c/SinarBestariMy/

DrDavid Hyerle menyimpulkan i-Think sebagai visual bahasa yang biasa untuk pemikiran. Peta pemikiran i-Think terdiri daripada lapan set perkakas yang meliputi Peta Bulatan (The Circle Map), Peta Buih (The Buble Map), Peta Buih Berganda (The Double Buble Map), Peta Pokok (The Three Map), Peta Dakap (The Brace Map), Peta Alir (The Flow Map), Peta Pelbagai Alir (The Multi Flow Map) dan Peta Titi (The Bridge Map).

Cabaran mendatang dalam era pendidikan memerlukan nilai tambah yang perlu dimiliki oleh setiap individu.

Justeru itu, i-Think dilaksanakan untuk membudayakan kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar dan seterusnya menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat, mahir dalam menyelesaikan masalah serta berupaya mencari jalan penyelesaian secara kreatif. I-Think bermatlamat melahirkan inovator generasi masa depan dengan kebolehan dan kemahiran berfikir secara kritis serta berupaya menyesuaikan diri dan menangani cabaran pada masa akan datang.

Terdapat banyak kajian dan penulisan yang dihasilkan mengenai pemetaan i-Think. Justeru itu, penelitian awal boleh dilaksanakan untuk mendapatkan idea-idea baharu. Antaranya ialah melalui penulisan Dale Scott Ridley & Bill Walther yang bertajuk Creating Responsible Learners, Graham Gibbs & Trevor Habeshaw yang bertajuk 253 Ideas For Your Teaching, Tony Buzan, Alison Kitson & Chris Husbands, Susan Steward, dan Vishalache Balakrishnan dalam penulisan bertajuk Aplikasi i-Think dalam Pendidikan. Intipati utama ialah proses PdPc perlu diselang selikan dengan penyelidikan, perbincangan dan amalan praktis yang baik.

Implementasi I-Think

Beberapa persedian rapi perlu dilaksanakan sebelum pengimplementasian i-Think. Maklumat mengenai tahap kesediaan dan pengetahuan sedia ada pelajar perlu dikenal pasti. Ini kerana mereka terdiri dalam kalangan sosiobudaya berbeza. Maklumat tersebut penting untuk memastikan pendidik berupaya merancang strategi, kaedah, teknik dan aktiviti serta membina soalan mengikut aras pemikiran.

Langkah kedua ialah mengenai kandungan kursus yang akan disampaikan. Hal ini penting untuk memberikan ruang untuk berfikir dan memproses pemikiran sehingga terhasilnya peta pemikiran i-Think.

Proses pemikiran ataupun penghasilan i-Think akan tergendala sekiranya pelajar menghadapi masalah untuk memperoleh maklumat tentang sesuatu tajuk yang dibincangkan. Ini turut akan merencatkan proses penerokaan idea dan inkuiri pelajar.

Oleh yang demikian, fasilitator perlu merancang topik yang mempunyai banyak sumber rujukan atau memudahkan pencarian maklumat oleh pelajar. Membina kemahiran menyoal ataupun soalan yang mengandungi pelbagai aras khususnya apabila menghampiri aras KBAT sangat diperlukan.

Semasa merancang PdPc, fasilitator perlu menyediakan soalan-soalan tepat mengikut aras yang ditetapkan. Hal yang demikian membolehkan pelajar dapat memilih peta i-Think yang bersesuaian untuk membina proses pemikiran sejarah, inkuiri, carian maklumat dan melengkapkan peta pemikiran. Soalan juga perlu dikemukakan sebelum, semasa dan selepas menghasilkan peta pemikiran. Strategi tersebut dapat membantu pelajar memantapkan penghasilan peta pemikiran dan membuat rumusan mengenai sesuatu tajuk yang dipelajari.

Pemilihan peta pemikiran adalah berdasarkan kepada jenis soalan yang dikemukakan kepada pelajar. Peta Bulatan boleh digunakan untuk mendefinisikan sesuatu dalam konteks, mencernakan idea, membuat diagnosis pengetahuan sedia ada dan ulangkaji. Ketika sesi memperkenalkan i-Think fasilitator boleh menerangkan kerangka utama dalam penyediaan peta tersebut.

Fasilitator juga boleh memperkenalkan Peta Bulatan dengan melukiskan satu bulatan kecil di bahagian tengah dan menulis topik utama yang ingin diperkenalkan di dalamnya.

Pelajar juga boleh melukis sebuah bulatan yang lebih besar mengelilingi bulatan kecil.Proses seterusnya ialah mengisi maklumat berkaitan dengan topik tersebut untuk menjana idea baharu. Ini boleh dilakukan melalui Brainstorming. Peta Buih pula boleh digunakan untuk memberikan penerangan, Peta Buih Berganda bagi membanding beza dan Peta Dakap bagi mencerakinkan dari seluruh (whole) ke bahagian-bahagian kecil (parts).

Bagi memudahkan pemahaman pelajar dalam mengikuti aktiviti, fasilitator boleh menggunakan kaedah penyoalan sokratik bagi membina perkembangan kemahiran bersoal jawab yang memerlukan kemahiran pemikiran secara lebih mendalam.

Melalui kaedah ini, objektif pembelajaran mudah untuk dicapai dan akan menjadikan PdPc bersifat dua hala. Pelajar akan berkeupayaan menyusun dan mengatur pengalaman lampau serta bersedia bagi menjawab persoalan. Kaedah pemerhatian boleh digunakan sejak awal untuk mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh para pelajar dalam mengikuti pembelajaran.

Pemerhatian merupakan alternatif yang ada dalam mengumpul maklumat atau pengumpulan data mengenai sikap dan kesediaan pelajar. Di samping itu, pemerhatian perlu dilaksanakan bagi membuat penambahbaikan secara konsisten.

Proses pemikiran yang saya perkenalkan ialah mendefinisi melalui Peta Bulatan Proses pemikiran ini berjaya dibina melalui aktiviti perbincangan seperti Three Minutes Each Way dan Buzz Group. Seterusnya saya mendalami perbincangan menjadi Rounds dan Snowballing.

Hasil perbincangan ini kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk Peta Bulatan. Rasional pemilihan kaedah perbincangan ini ialah untuk menarik minat pelajar terhadap isi kandungan pembelajaran yang hendak disampaikan. Sub topik mudah yang boleh merangsang minat pelajar diperkenalkan seperti “Ciri-ciri Negara” dan “Ciri-ciri Negara Bangsa.” Isi kandungannya mencabar dan berjaya mencerna daya intelek pelajar.

Sebelum pengendalian PdPc, hubungan dua hala yang baik berjaya dibina bagi mewujudkan aura positif di antara pelajar dengan fasilitator. Ternyata pelajar-pelajar mempunyai disiplin kendiri yang positif dalam kumpulan dan diterjemahkan dengan pembahagian tugasan serta tanggungjawab secara silih berganti. Iklim perbincangan yang kondusif dibina dan mereka berjaya menyesuaikan diri dalam pelbagai sosiobudaya berbeza.

Bagi peringkat seterusnya, pelajar-pelajar diperkenalkan dengan Peta Buih selepas mereka menguasai Peta Bulatan. Peta Buih boleh digunakan untuk menjelaskan sifat atau ciri sesuatu objek, tokoh atau peristiwa sejarah dengan penggunaan perkataan adjektif.

Menerusi Peta Buih, proses pemikiran yang ingin saya terapkan ialah keupayaan untuk menerangkan berpandukan soalan yang diberikan. Perbincangan yang dikendalikan oleh pelajar berlangsung dalam keadaan yang harmoni dan menyeronokkan.

Hasil perbincangan diterjemahkan dalam bentuk Peta Buih secara individu sebelum menggabungkan peta tersebut ke dalam satu peta yang lain. Proses pemikiran yang diterapkan seterusnya kepada pelajar ialah membuat pembahagian dari seluruh (whole) ke bahagian-bahagian kecil (parts).

Oleh yang demikan, peta yang paling tepat ialah Peta Dakap. Peta Dakap juga boleh digunakan untuk mengkaji dan menganalisis objek secara fizikal. Penerangan awal yang diberikan ialah mengenai konsep keseluruhan dan pecahan kepada bahagian-bahagian yang kecil. Aktiviti tersebut dilaksanakan dengan penggunaan Youtube di mana pelajar-pelajar dikehendaki menyenaraikan nilai murni yang terkandung dalam lagu patriotik.

Mereka diberikan ruang untuk menyampaikan dapatan perbincangan dan kerjasama serta kemahiran interpersonal dibentuk. Hal yang demikian dibuktikan apabila mahasiswa dan mahasiswi berupaya berhujah secara spontan berdasarkan kepada bukti-bukti yang relevan.

Refleksi

Sesi PdPc yang dikendalikan perlu dinilai kembali bagi tujuan penambahbaikan. Refleksi melalui perbincangan kumpulan fokus (focus group discussion) dilaksanakan bagi mendapatkan maklum balas pengimplementasian i-Think. Perkongsian idea secara telus dilaksanakan bagi tujuan penambahbaikan.

Sebanyak 25 soalan dikemukakan kepada kumpulan pelajar seramai 10 orang yang dipilih secara rawak bagi menghadiri FGD. Responden yang dikenal pasti diberikan penerangan awal sebelum pengendalian FGD.

Dapatan FGD menunjukkan bahawa keseluruhan pelajar memberikan respons bahawa kursus Kenegaraan Malaysia berupaya menjadikan mereka sebagai warganegara yang bertanggungjawab dan cintakan tanah air. Mereka juga menyatakan bahawa pengendalian kursus ini dengan menggunakan i-Think memberikan ruang kepada mereka untuk berfikir dan menghayati kandungan kursus tersebut dengan baik.

Keseluruhan pelajar memberikan maklum balas bahawa kaedah pembelajaran secara ‘chalk and talk’ membosankan dan mengurangkan minat. Gambaran dan persepsi awal yang diberikan oleh kumpulan pelajar mengenai pembelajaran Kursus Kenegaraan Malaysia berubah apabila diimplementasikan dengan peta pemikiran. Mereka turut menyatakan i-Think yang diperkenalkan secara bersistem mengupayakan minat mengikuti kuliah Kenegaraan Malaysia. I-Think juga meningkatkan motivasi, disiplin kendiri dan naluri ingin tahu dalam kalangan pelajar.

Peta pemikiran yang dihasilkan menjimatkan masa kerana mereka hanya perlu mencatatkan fakta-fakta relevan dan boleh diterjemahkan secara digital. Mengingat konsep dan bukannya menghafal fakta bertulis yang panjang berupaya membentuk ingatan yang kukuh dalam kalangan pelajar. Pelajar-pelajar juga teruja dan optimis serta menjadikan peta pemikiran sebagai medium ulangkaji apabila menghadapi peperiksaan akhir semester. Ini kerana mereka akan melalui sendiri proses mendengar, mencari, menyaring dan mencatat. Penggunaan semua pancaindera akan menyebabkan daya kefahaman meningkat dan ingatan kekal akan terbentuk.

Kesemua ini berhasil dicapai apabila fasilitator mempelbagaikan kaedah pembelajaran melalui aktiviti seperti perbincangan, nyanyian, pembentangan mahupun perbahasan. Pelajar-pelajar juga akan berkeyakinan dan berani menghadapi cabaran dalam situasi baharu. Pemetaan i-Think juga berupaya memupuk espri de corp, dan terjemahan idea secara kreatif serta kritis.

Kesimpulan

Pembelajaran subjek yang berunsurkan sejarah banyak menekankan knowledge that dan mengetepikan knowledge how. Pendidikan sejarah tidak seharusnya hanya mengajar apa-apa yang sepatutnya pelajar ketahui tetapi bagaimana untuk mereka ketahui. Ini dapat digembleng sekiranya pembelajaran yang berunsurkan sejarah pada abad ke-21 menekankan penggunaan pelbagai kemahiran berfikir. Penguasaan dalam i-Think menjadi pemangkin dalam merealisasikan hasrat murni ini.

Peta pemikiran sangat sesuai untuk diaplikasikan terhadap subjek sejarah yang banyak menekankan pengetahuan isi kandungan (content knowledge). Kaedah ini amat mudah diaplikasikan tanpa melibatkan kos yang tinggi, peralatan dan teknologi yang tinggi. Pemikiran sejarah merangkumi semua aras pemikiran Taksonomi Bloom ataupun Taksonomi Bloom versi Anderson. Kaedah ini juga selari dengan objektif atau hasil pembelajaran kursus Kenegaraan Malaysia yang lebih mengutamakan domain kognitif, psikomotor, afektif dan sosial.

Implementasi i-Think berupaya menjadi pemangkin dalam meningkatkan minat dan motivasi pelajar. Sedikit transformasi yang telah diaplikasikan berupaya menangkis persepsi negatif mahasiswa dan mahasiswi terhadap PdPc kursus Kenegaraan Malaysia.

Pembelajaran yang menitikberatkan elemen “kemenjadian pelajar” sebagai nadi utama berupaya membentuk pelajar-pelajar yang holistik. Kepelbagaian aktiviti yang berfokuskan SCL, berupaya mengembangkan kemahiran berkomunikasi. Mengajar komponen kursus sejarah atau Kenegaraan Malaysia bukan sekadar bercerita atau “just tell stories”. Sesuatu peristiwa itu sekiranya diceritakan dengan pendekatan yang baik akan menarik minat pelajar untuk belajar.

Para sejarawan sependapat bahawa fakta tidak boleh ‘bercakap’ dan sudah menjadi tugas sejarawan untuk membentuk persoalan, inferens, membuat penilaian sekiranya perlu dan membuat kesimpulan mengenai fakta serta peristiwa sejarah tersebut. Keadaan ini selaras dengan orientasi sejarah itu sendiri yang bertujuan untuk memberi pemahaman ilmu dan memupuk pemikiran sejarah.

I-Think yang diimplementasikan berupaya membentuk pelajar-pelajar menjadi lebih fokus, berkeyakinan dan aktif dalam mengikuti PdPc. Kaedah pemetaan minda I-Think yang diperkenalkan membolehkan pelajar-pelajar menterjemahkan idea dalam bentuk yang paling mudah, kreatif, tepat dan padat.

Hal yang demikian menjadi sebahagian daripada usaha melahirkan generasi yang celik sejarah dan menjadi nukleus dalam agenda membina Bangsa Malaysia.

Maklumat Penulis:
Profesor Madya Dr Mohamed Ali Haniffa
Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia,
Jabatan Tamadun dan Falsafah,
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,
Universiti Utara Malaysia.

Artikel Terkini