f58b8fc0-c8f0-4e00-af3f-27bf83c91651
f58b8fc0-c8f0-4e00-af3f-27bf83c91651

Mendidik dan berfikir melalui hati: Mendasari kajian kes dari sudut pandangan seorang pendidik

webadmin
11 Nov 2021 04:38pm
A
A
A

Abad ke-21, sinonim dengan teknologi canggih dan moden yang dibangunkan oleh manusia serta melibatkan persaingan dari seluruh pelosok dunia.

Teknologi tersebut dibangunkan sama ada dalam bidang perniagaan, perubatan, pengangkutan dan tidak ketinggalan juga dalam bidang pendidikan.

Bagi mewujudkan minat pelajar dalam pembelajaran, pelbagai inisiatif kontemporari dilakukan oleh para guru untuk menjadikan suasana proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) menjadi lebih seronok dan bermakna.

Pandemik Covid-19 memberikan cabaran dalam dunia pendidikan khususnya pada tahun 2021.

Tahun kedua penularan pandemik ini memberikan petanda bahawa tiada alasan yang boleh diberikan oleh pendidik dalam menempuh Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) khususnya ketika meniti kebiasaan baharu.

Pendidikan perlu didemokrasikan tanpa mengira batas demografi dan tiada pelajar-pelajar yang akan ketinggalan.

Ketika negara berhadapan dengan kebejatan pandemik Covid-19, PdPR menggunakan aplikasi komputer yang bersesuaian boleh digunakan.

Ini seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2025 yang menekankan penggunaan komputer sebagai salah satu ciri-ciri PdP abad ke-21.

Pembelajaran pada abad ke-21 juga boleh disokong dengan penggunaan alat bahan bantu mengajar (ABBM) yang dibina menggunakan platform seperti aplikasi mobil, koswer dan pembelajaran berasaskan permainan.

Proses membimbing para pelajar supaya berfikiran kreatif dan kritis juga merupakan satu cabaran baharu bagi para guru.

Bagi pelajar-pelajar yang mempunyai kekangan penyediaan gajet dan akses internet, pembelajaran menggunakan modul juga boleh diaplikasikan.

Piaget (1951) menyatakan bahawa kanak-kanak belajar secara aktif dengan menggunakan objek-objek yang ada di sekeliling semasa bermain dan berinteraksi dengan persekitaran.

Teori Piaget sangat jelas dengan perkembangan kognitif iaitu manusia mempunyai tahap perkembangan tertentu dengan melihat kemampuan berfikir manusia.

Sejajar dengan perkembangan semasa, mata pelajaran Sejarah juga boleh menggunakan teknik mnemonic untuk mengingat tarikh-tarikh dan nama-nama yang banyak.

Teknik mnemonic merupakan satu teknik yang efektif dalam meningkatkan ingatan individu dan signifikan bagi mempelajari tarikh serta fakta di dalam sejarah.

Kelebihan Pembelajaran Berasaskan Permainan (PBP) digital dapat menjadikan pelajar lebih kreatif, fokus, lebih minat dalam proses pembelajaran dan menggalakkan kolaboratif bersama rakan melalui penyelesaian masalah (Khairuddin, 2015).

Konotasi bosan dan jumud sering kali dilabelkan dengan Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) mata pelajaran Sejarah. Seolah-olah subjek ini dilihat tidak signifikan dengan kehidupan semasa.

Namun perlu diingat bahawa ‘Sejarah merupakan ibu kepada segala disiplin ilmu’.

Hatta George Santayana pernah menyatakan bahawa ‘Thosewo cannot remember the past, are condemned to repeat it’. Hal yang demikian membuktikan bahawa sejarah relevan dan penting dalam mencorakkan masa hadapan.

Pernah juga kita memiliki sebuah ‘Kesultanan Melayu’ yang agung, namun apabila tidak dibajai ia runtuh menyembah bumi.

Itulah yang kita belajar daripada legasi Kesultanan Melayu Melaka. Hakikatnya ialah subjek Sejarah penting dan merupakan sumber pengalaman dan asas untuk kehidupan hari ini.

Namun begitu, masih kedengaran bahawa mata pelajaran Sejarah ialah subjek membosankan sejak dahulu sehingga kini.

Fenomena ini seringkali dikaitkan dengan pendekatan, kaedah dan strategi yang digunakan oleh guru-guru yang dianggap kurang sesuai untuk diamalkan.

Menurut Booth (1993); Goodwin dan Stevens (1993), secara keseluruhannya, pelajar yang berkualiti terhasil menerusi proses PdPC yang berkesan.

Kualiti guru juga merupakan faktor paling signifikan di peringkat sekolah dan paling penting bagi kemenjadian pelajar.

Tidak juga dinafikan bahawa faktor minat, sikap dan gaya pembelajaran pelajar juga tidak kurang pentingnya (Nor Erna dan Leong, 2014).

Hal yang demikian juga dinyatakan oleh Brown (1980), bahawa "Menguasai Kurikulum Sejarah bukanlah merupakan perkara yang sukar tetapi kelemahan sebenar terletak pada cara penyampaiannya".

Menurut Sachs (2005), identiti dan tahap profesionalisme seorang guru ialah apabila mereka mempunyai keupayaan untuk bertindak dan mengenal pasti kumpulan pelbagai kebolehan dalam konteks budaya sekolah.

Budaya sekolah merangkumi pemahaman dan nilai yang dikongsi oleh komuniti sekolah, yang membawa kepada cara kerja tertentu (Nias, 1989).

Intipati utama yang berkaitan dengan budaya sekolah adalah harapan guru, pelajar, ibu bapa dan Persatuan Ibu bapa dan Guru-guru serta juga komuniti setempat.

Faktor lain yang mempengaruhi identiti profesional ialah pengalaman guru di bilik darjah.

Guru yang berpengalaman mempunyai perancangan secara teratur dan membolehkan mereka menggunakan pengalaman masa lalu mereka dengan mudah (Calderhead, 1996).

Kajian kes dalam subjek Sejarah

Kaedah pengajaran merupakan elemen penting dalam merangsang minat seterusnya pencapaian pelajar dalam sesuatu mata pelajaran, lebih-lebih lagi bagi mata pelajaran sejarah yang dianggap sebagai mata pelajaran yang membosankan sejak dahulu lagi.

Menurut Sharan B. Merriam, etl. (2015) dalam Qualitative Research: A Guide to Design and Implementation, penyelidikan kualitatif adalah panduan penting untuk memahami, merancang, menjalankan dan menyampaikan kajian penyelidikan kualitatif.

Kajian kes merupakan salah satu kaedah yang paling berkesan dalam memahami sesuatu senario atau sesebuah kumpulan.

Pendekatan kajian kes mempunyai evolusi yang panjang khususnya dalam menghasilkan pemikiran-pemikiran baharu dalam pelbagai bidang seperti pengurusan, sosiologi, dan politik.

Namun, kritikan juga sering kali dilemparkan terhadap kajian kes kerana sifatnya yang subjektif. Ketidakupayaan untuk membuat generalisasi kerana sampelnya yang kecil juga menyebabkan pendekatan ini kurang diberi perhatian oleh pengkaji-pengkaji sains sosial.

Namun, pendekatan kajian kes mempunyai kelebihan kerana bersifat holistik dalam memahami sesuatu fenomena.

Kajian kes juga berkeupayaan menerangkan situasi yang sebenar. Hal yang demikian menyebabkan kaedah kajian kes menjadi pilihan pengkaji dan penyelidik.

Di samping berperanan sebagai medium penyelidikan, pendekatan kajian kes juga popular dalam bidang pendidikan.

Kaedahnya yang berbeza dengan pengajaran bercorak konvensional mernbolehkan proses PdPC berlaku secara dinamik dan menarik.

Pada kebiasaannya kajian kes dikaitkan dengan beberapa ciri yang penting. Intipati utama yang perlu diberikan ialah tujuan kajian kes dilaksanakan.

Pengkaji perlu menghuraikan dan mengkaji peristiwa masa lalu untuk memahami corak masa kini serta meramalkan senario masa depan.

Elemen kedua ialah metode di mana idea perlu dikembangkan setelah membaca literatur yang berkaitan. Soalan-soalan penyelidikan yang berbentuk kualitatif juga perlu disediakan.

Seterusnya pengkaji perlu mengenal pasti sumber penyelidikan yang akan digunakan sama ada bercorak primer atau pun sekunder. Ini termasuklah bahan-bahan arkib, perpustakaan, majalah atau pun lisan.

Kajian yang dilaksanakan secara bersistem akan membolehkan pengkaji menjelaskan kebolehpercayaan dan kesahan sumber data.

Proses seterusnya yang boleh dibuat ialah menyediakan garis panduan penyelidikan untuk mengatur prosesnya dan diikuti dengan tugasan kutipan data.

Bahagian ketiga ialah proses menganalisis data dengan menerima atau menolaknya. Hal yang demikian akan membolehkan pengkaji mengenal pasti evidens yang bertentangan.

Bahagian terakhir pula ialah hasil penyelidikan di mana penyelidik boleh mengemukakan dapatan dalam bentuk penulisan atau persembahan yang dikehendaki.

Iltizam seorang pendidik

Sebagai pendidik, saya menggunakan pelbagai medium dalam berkomunikasi dan menyampaikan perkongsian akademik.

Justeru itu dengan berbekalkan sedikit pengalaman mendasari pendidikan di sekolah, saya tertarik dengan pelbagai aktiviti berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh guru-guru.

Tambahan pula tahun 2021 memberikan cabaran yang besar terhadap dunia pendidikan. Bukan sahaja di peringkat persekolahan rendah, tetapi juga di menara gading.

Elemen kemenjadian yang sering dilaungkan dicarik berikutan kerakusan pandemik Covid-19.

Dalam penelitian, saya amat tertarik dengan usaha yang dilakukan oleh seorang guru di bumi Pekan, Pahang, iaitu Cikgu Norhayati Mohamed Tah.

Beliau menjadi pendidik di Sekolah Kebangsaan Pulau Serai, Pekan Pahang, bermula tahun 2009 sehingga kini.

Beliau mempunyai kepakaran mengajar subjek Sejarah bermula tahun 2013 dan merupakan penggubal serta penulis Modul Kajian Kes Tahun 4 serta Tahun 5.

Cikgu Norhayati

Kemahiran menggali ilmu

Cikgu Norhayati mengaplikasikan pendekatan kajian kes dalam melaksanakan sesi PdPc.

Dalam mengendalikan pendekatan kajian kes, beliau memberikan kemahiran menggali ilmu itu sendiri bagi mencapai objektif pembelajaran yang ditetapkan.

Apa yang membanggakan, beliau menggunakan pendekatan tersebut bermula Tahun Empat, Lima dan Enam.

Sesi pencarian dan perkongsian ilmu dilaksanakan secara berkumpulan yang terdiri seramai tiga atau empat orang secara dalam talian.

Peranan dalam kumpulan silih berganti bagi membentuk jiwa penyelidik cilik. Justeru itu elemen ‘espri de corp’ diterapkan dalam pengendalian sesi PdPc.

Sering kali dikonotasikan dua perkataan yang kadang kala menjadi polemik iaitu mengajar dan mendidik. Semua manusia berkemampuan mengajar, namun jarang kedapatan yang cuba menjadi seorang pendidik.

Dalam mendepani cabaran dalam pendidikan kini, guru mempunyai iltizam yang tinggi sebagai pendidik.

Cikgu Norhayati membuktikan bahawa beliau layak digelar sebagai ‘pendidik’ kerana berperanan sebagai mentor dan memberikan nafas baharu melalui empati.

Aktiviti bersama penyelidik cilik

Pernah saya meneliti laman Facebook beliau ketika cuti persekolahan bermula iaitu pada 17 Julai lalu.

Apa yang menarik minat saya ketika itu ialah beliau melaksanakan bimbingan kajian kes bagi projek kemenjadian murid sempena menyambut Bulan Kebangsaan Negara pada Ogos dan September 2021.

Penglibatan pelajar-pelajar juga jelas di mana mereka berupaya menjadi inspired mentor kepada rakan-rakan yang lain.

Hal yang demikian juga membuktikan bahawa trend PdPc sudah beralih ke Student Centered Learning dan bukannya Teachers Centered Learning. Dengan kata lain peranan guru hanya sekadar fasilitator.

SCL yang diimplementasikan merupakan strategi pembelajaran di mana pelajar menjadi pemain utama dalam sesuatu sesi PdP.

Pelajar-pelajar juga digalakkan melibatkan diri secara aktif dalam setiap sesi pembelajaran mereka.

Justeru itu, lebih banyak masa akan diperuntukkan kepada pelajar dengan aktiviti-aktiviti yang bercorak penerokaan.

Hal demikian akan memberikan kelebihan kepada penyelidik cilik menyelesaikan masalah pembelajaran dengan bantuan pengajar yang bertindak sebagai pemudah cara.

Suasana pembelajaran yang efektif boleh dijana melalui SCL. Proses ini dilaksanakan melalui perancangan, pengajaran dan penilaian serta berfokuskan kepada pelajar dan hasil pembelajaran.

Antara kaedah yang boleh digunakan adalah pembelajaran koperatif, projek pelajar, kerja khusus, sesi penyiasatan di makmal, persembahan pelajar, kajian kes dan pembelajaran melalui penyelesaia masalah.

Semua kaedah pengajaran berpusatkan pelajar berdasarkan pembelajaran aktif merangkumi strategi untuk melibatkan pelajar termasuk perbincangan kumpulan besar dan kecil, pengambilan nota aktif, visual, bahan selain daripada suara guru, dan strategi penglibatan pelajar.

Hal yang demikian juga sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang serta harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Kajian kes boleh dijana melalui aktiviti-aktiviti Student Centered Learning (SCL) seperti Brainstorming, Three Minutes Each Away, Snowballing, Buzz Groups, Syndicates atau lain-lain lagi.

Cikgu Norhayati juga menjadikan kajian kes sebagai medium pembelajaran untuk membantu murid menguasai isi kandungan mata pelajaran dengan berkesan.

Hal yang demikian akan menjadikan proses PdPc pelajar-pelajar menjadi lebih bermakna kerana menggabungkan Konsep Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21).

Pada pemerhatian saya, kajian kes yang dilaksanakan menjadi elemen dalam mengupayakan kemenjadian seseorang penyelidik cilik. Hal yang demikian juga berlaku berikutan tajuk kajian yang dipilih berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).

Menurut beliau, dalam proses pengimplementasian kajian kes, murid diberikan sub topik berdasarkan tajuk.

Mereka dikehendaki mengkaji dan mencari maklumat dengan menggunakan pelbagai kaedah sama ada melalui laman web, bahan bercetak mahupun bukan bercetak. Penyelidik cilik yang disasarkan juga didedahkan dengan kaedah mendapatkan data berdasarkan sumber lisan yang relevan.

Penyelidik juga akan mendapat pendedahan mengenai kemahiran melaksanakan wawancara dengan menggunakan media sosial seperti Whatsapp, Google Meet, Telegram dan lain-lain lagi.

Elemen KPS dalam kajian kes mampu mengupayakan proses pembelajaran murid-murid pelbagai kebolehan.

Mereka akan mempunyai kemampuan menguasai pelbagai cabang disiplin ilmu, berupa literasi maklumat, literasi media, kajian lapangan, kemahiran ICT, komunikasi, gerak kerja secara berkumpulan dan menyantuni komuniti.

Kemahiran rasionalisasi juga mampu memberikan pendedahan kepada penyelidik mengenai kepentingan penghujahan dan menghasilkan pembentangan yang berkualiti.

Justeru itu elemen kemenjadian pelajar boleh dibina secara konsisten. Kajian kes juga boleh didedahkan kepada kumpulan pelajar pelbagai kebolehan bagi membina keyakinan dan membina budaya pembelajaran aktif.

Keyakinan kepada diri sendiri dapat dibentuk kerana pelajar sendiri terlibat dalam proses mencari bahan untuk melengkapkan kajian kes.

Pesanan buat pendidik

Dalam mendasari cabaran pendidikan dewasa kini, pelbagai bentuk kekangan dihadapi oleh para pendidik.

Hal yang demikian juga turut dialami oleh ibu bapa dan anak-anak pelajar ketika mengikuti sesi PdPR.

Terdapat juga insiden guru yang meninggal dunia sebelum atau pun sejurus melaksanakan tugasan.

Para pendidik juga terbeban dengan pelbagai jenis tugasan yang lain seperti persediaan sebelum pelaksanaan PdPR, merekod kedatangan pelajar dan juga pelaporan.

Guru-guru juga merupakan insan biasa. Mereka mempunyai keluarga dan anak-anak yang turut sama mengikuti sesi PdPR.

Baca juga Rentak Budaya gabung muzik tradisional dan moden

Baca juga ‘Cikgu Farazi, kalau saya sakit atau berlaku apa-apa, cikgu mesti datang melawat tau, janji’

Justeru itu, tanggungjawab mereka juga turut bercapah. Namun perlu juga diberikan sedikit ruang untuk berfikir sejenak mengenai apakah kemahiran asas yang hendak disampaikan. Atau pun keseluruhan sukatan pelajaran perlu diterjemahkan dalam mengendalikan PdPR dalam tempoh masa yang sangat mencabar ini.

Namun tanggungjawab dan amanah perlu dilaksanakan seperti mana yang terkandung dalam Kod Etika Profesion Keguruan.

Elok rasanya diulang sedikit sekadar renungan untuk diri saya ini yang sering alpa.

“Tanggungjawab terhadap terhadap pelajar” merupakan intipati utama yang perlu digalas oleh pendidik. Ini bermakna kebajikan pelajar menjadi keutamaan dan bersikap adil terhadap setiap pelajar tanpa mengira perbezaan.

Etika kedua ialah “Tanggungjawab terhadap ibu bapa”. Ini bermaksud seorang pendidik seharusnya menghormati tanggungjawab utama terhadap anak-anak mereka.

Mereka juga seharusnya perlu mempunyai keupayaan untuk menjalin hubungan yang harmoni di antara institusi pendidikan dan juga rumahtangga.

Pendidik juga perlu menyampaikan maklumat yang telus kepada ibu bapa. Begitu juga sebaliknya, guru perlu menggunakan maklumat yang diperoleh daripada ibu bapa secara bijaksana.

Pendidik juga perlu memastikan bahawa mereka tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap ibu bapa mereka. Ini bermakna mereka perlu berperanan sebagai perantara dalam menjalin hubungan yang akrab dan penuh kasih sayang.

Kod etika yang ketiga ialah “Tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara”. Ini bermaksud seorang pendidik perlu berkeupayaan mendidik pelajar menjadi seorang warganegara yang taat setia dan bertanggungjawab sejajar dengan prinsip Rukun Negara.

Manakala kod etika yang terakhir ialah “Tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion keguruan”.

Perkara utama yang perlu diamalkan oleh seorang pendidik ialah mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan mencemar dan menjejaskan nama baik guru lain.

Ini termasuklah di hadapan pelajar atau ibu bapa yang boleh menjatuhkan maruah dan kreadibiliti.

Salah satu agenda utama yang perlu diberikan perhatian ialah pementoran kepada guru-guru baharu agar mereka sentiasa fokus, bermotivasi dan sentiasa segar dengan perkembangan semasa.

Namun pendidik yang kompeten perlu menyedari bahawa tugas mendidik ialah untuk melahirkan generasi pelapis yang akan menerajui negara.

Guru-guru juga perlu berusaha untuk melengkapkan diri dengan strategi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah mahupun dalam kebiasaan baharu.

Hal yang demikian memerlukan mereka berfikir secara kreatif dan kritis sejajar dengan High Order Thinking Skills.

Pelbagai kursus-kursus dewasa kini dikendalikan dalam talian bagi memantapkan kompetensi guru dalam dunia digital.

Sudah semestinya pelbagai persoalan kontemporari boleh disajikan kepada pelajar-pelajar bagi membentuk generasi Ulul Albab.

Iklim PdPR maya yang kondusif perlu diwujudkan di rumah dan dibajai secara konsisten bagi mewarnai aura pendidik dan pendidikan.

Impak positif

Kajian kes memberikan impak positif dalam meningkatkan minat dan pencapaian pelajar bagi mencapai objektif PdPc.

Guru seharusnya mempunyai keupayaan merangsang dan menarik minat pelajar-pelajar dalam mengikuti PdPR.

Pelbagai inovasi yang dicetus dan digunakan melalui kepelbagaian sumber mampu membawa transformasi.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Guru juga seharusnya berperanan sebagai pendidik dan fasilitator dalam menyampaikan input PdPc.

Pembelajaran berfokuskan SCL berupaya membentuk kepimpinan kendiri dan budaya ‘espri de corp’ walaupun mereka dipisahkan dengan demografi berbeza.

Teknologi seharusnya berupaya mendekatkan, dan bukannya semakin merenggangkan.

Kajian kes perlu diperkasakan dalam usaha melahirkan penyelidik cilik dalam semua subjek.

Mereka perlu berani menyelidik, mencerakin, membahas dan membuat kesimpulan yang bernas berdasarkan hujah-hujah yang kritis.

Masa depan negara bergantung kepada anak-anak pelajar yang mampu menghadam teknologi dan aura positif pendidikan.

Sudah sampai masanya kita tidak menghitung hari untuk keluar dari kepompong pandemik Covid-19. Sebaliknya mencari solusi membina keharmonian hidup bersama-sama pandemik dalam kebiasaan baharu.

Maklumat Penulis

Profesor Madya Dr Mohamed Ali Haniffa merupakan Pensyarah Kanan, Unit Sejarah dan Kenegaraan, JabatanTamadun dan Falsafah, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan