Untitled design
Untitled design

Menjaga kesihatan ketika musim panas, guru dan pelajar perlu amalkan 6 tip penting ini!

Roshlawaty Md Raieh
26 Jul 2021 03:50pm
A
A
A

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Malaysia kini mengalami Monsun Barat Daya yang menyebabkan cuaca panas dan kering hingga pertengahan September depan.

Oleh itu, guru-guru dan pelajar dinasihatkan menjaga kesihatan semasa musim panas ini supaya proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang bermula semalam dan hari ini, berjalan dengan baik.

Pakar Kesihatan dan Perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan menerusi telegramnya, berkongsi beberapa tip untuk orang ramai amalkan ketika musim panas ini.

Bagi pendidik dan pelajar pula, anda disarankan untuk mengambil berat tentang perkara ini.

Mari kita bersama-sama hadam tip penting dari Dr Kamarul Ariffin.

1) Minum air kosong yang mencukupi. Ini adalah bagi mengekalkan tahap hidrasi yang optimum untuk mengawal atur suhu badan.

2) Kurangkan pengambilan minuman berkafein, bergula dan alkohol. Ini dapat mengelakkan dehidrasi.

3) Kerapkan mandi untuk menyejukkan suhu badan. Elakkan memakai pakaian yang tebal, ketat dan berwarna gelap.

4) Sentiasa berada di dalam bangunan dan jika terpaksa berada di luar, gunakan pelindung diri seperti payung, topi dan pelindung UV.

5) Tutup tingkap kenderaan ketika memandu. Gunakan pendingin hawa dengan memilih aturan (mode) kitaran udara dalaman.

6) Dapatkan rawatan difasiliti kesihatan terdekat dengan segera sekiranya anda demam, sakit kepala, lesu, pitam dan sebagainya.

Terdahulu, MetMalaysia menjangkakan berlaku hujan lebat, angin kencang dan kelembapan tinggi pada pertengahan September ini disebabkan Malaysia sedang beralih monsun khususnya di negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung selain pantai barat Sabah dan wilayah tengah dan barat Sarawak.

Memetik sebuah portal tempatan, Pakar Klimatologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Fredolin Tangang berkata, gelombang haba di Malaysia dikaitkan dengan kebolehubahan cuaca iaitu Madden-Julian Oscillation (MJO) dan El Nino.

“Madden-Julian Oscillation adalah fenomena biasa, yang berayun dengan kekerapan sekali dalam tempoh 20 ke 60 hari. Semasa Monsun Barat Daya, ia boleh meningkatkan suhu satu ke dua darjah hingga sekitar bawah 40 darjah Celsius bergantung kepada kawasan. Malah, kita sudah mengalaminya sekarang,” katanya.

Seorang lagi pakar perubahan iklim, Dr Renard Siew memberitahu, gelombang haba ini bukan sesuatu yang baharu kerana ia berlaku setiap tahun dengan variasi.

"Kesan pulau haba bandar (kawasan bandar mengalami suhu lebih tinggi daripada kawasan luar bandar), juga satu lagi penyebab peningkatan suhu," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan