uitm melaka3
uitm melaka3

Merdekakan pemikiran mahasiswa dalam norma baharu

webadmin
26 Aug 2021 06:32pm
A
A
A

Tanggal 31 bulan lapan lima puluh tujuh. Kita sambut dengan jiwa yang merdeka” acap kali kedengaran nyanyian oleh seniman Sudirman berkumandang di corong-corong radio mahupun menjadi muzik latar di platform dalam talian. Terasa begitu bangga ketika mendengar lagu-lagu patriotik sempena bulan kemerdekaan negara tercinta. Apatah lagi tatkala kita masih dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebegini.  Keadaan sekeliling masih terbatas dengan pelbagai sekatan pergerakan serta prosedur operasi standard (SOP) ketat yang perlu dipatuhi. Pun begitu, ia tidak sedikit pun mematahkan semangat patriotik rakyat Malaysia untuk menyambut Hari Kemerdekaan pada bulan ini. Biarpun sambutan kali ini dalam norma baharu, biarlah. Yang penting kita sambut dengan bersemangat!

Sejak kebelakangan ini, seringkali dapat kita saksikan isu mahasiswa tertekan dengan bebanan kerja kursus atau assignment yang berlambak. Umum mengetahui bahawa terdapat segelintir netizen yang bergelar mahasiswa tanpa segan silu merendahkan martabat seorang pendidik. Tamsilnya, kata-kata nista yang menghentam pendidik menjadi buah mulut warga netizen untuk seketika, bukan sahaja di media sosial malah sering meniti dari bibir ke bibir masyarakat semasa perbualan harian. Dengan keadaan sedemikian, penulis yakin ramai hati pendidik yang terluka tatkala membaca sisipan yang berbaur maki hamun dan salah-menyalah oleh warga netizen. Rencana ini bukanlah untuk mencari siapa yang salah dan siapa yang benar. Namun demikian, bertitik tolak daripada itu, terdetik di hati penulis adakah benar mahasiswa begitu tertekan dengan lambakan tugas atau mungkin hakikatnya ialah mereka tersilap percaturan mengurus masa dan tenaga? Adakah sikap suka menyiapkan tugasan yang diberikan di saat akhir sebenarnya yang menyebabkan mahasiswa terasa terbeban? Sesungguhnya, pengurusan masa dan tenaga sangat perlu dititikberatkan supaya tekanan yang dirasai mahasiswa boleh dikawal selia dengan baik. Tekanan jika dilihat dari sisi positif, sebenarnya memain peranan penting untuk mendorong individu melaksanakan tugas yang diberikan. Apa pun jalan yang dipilih oleh individu tersebut, terpulang. Sama ada untuk memanipulasikan tekanan supaya perlaksanaan tugasan mencapai tahap biasa-biasa sahaja atau luar daripada kebiasaan. Timbal balik, kedua-dua pihak, pendidik mahupun mahasiswa perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengawal selia hasil kerja tugasan yang diberi dan digalas. Dalam hal ini, tidak lain dan tidak bukan, tolak ansurlah kunci azimat yang menyatukan alam pengajaran dan pembelajaran antara pendidik dan anak didik.

Pejam celik tidak lama lagi akan genap dua tahun mahasiswa di negara kita menghadapi pembelajaran dalam talian. Begitu banyak cerita dan coretan yang boleh membangkitkan semangat memerdekakan diri mahasiswa dari takuk lama. Contoh paling ketara yang terdekat dengan kita ialah kisah seorang murid yang sanggup membahayakan diri dengan memanjat pokok yang tinggi agar boleh mendapatkan capaian internet, bahkan ada juga yang terpaksa keluar ke kampung sebelah. Malah ada yang terpaksa membina pondok di kawasan tinggi hanya semata-mata untuk mendapatkan secebis ilmu. Senario di atas jelas menggambarkan usaha keras mereka demi mendalami ilmu persis dengan kata bidalan, ilmu itu pelita hidup. Lebih mendalam ilmu di cari, ternyata akan lebih terang cahaya yang menerangi kehidupan insan yang mencari ilmu itu. Realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa ilmu yang dimanfaatkan akan menjadi antara salah satu bekalan amalan kita untuk dibawa ke akhirat kelak.

Mari kita teruskan pena bicara dengan mengambil iktibar daripada kisah benar yang setakat ini belum pernah dilimpahi dengan sorot cahaya lampu dunia penyiaran perdana. Walaupun begitu, budaya ini perlu diperdanakan dalam kalangan mahasiswa kerana mereka sememangnya perlu bersiap siaga untuk menongkah arus yang lebih mencabar dalam kehidupan norma baharu. Kisah bermula dengan peranan pendidik di sebuah institusi pengajian tinggi yang seawal mungkin telah memulakan langkah untuk merealisasikan program khidmat masyarakat. Dalam pada itu, sejumlah dana diperlukan kerana ia merupakan tunjang kepada mana-mana program khidmat masyarakat. Kita sendiri sudah cukup maklum akan kesukaran untuk melaksanakan apa sahaja perkara apabila tiada dana di tangan kerana wang ringgit sejak dahulu lagi telah digunakan sebagai nilai pertukaran barang mahupun perkhidmatan. Oleh itu, ketika minggu peperiksaan akhir, kumpulan mahasiswa telah bertegur sapa dengan bakal pendidik subjek mereka. Sebagai gambaran yang lebih jelas dan mudah, kumpulan mahasiswa tersebut pada masa itu sudahpun berada di semester ketiga, maka subjek ini bakal menjadi subjek wajib dalam program berkenaan. Setiap ketua kelas daripada semester terbabit dicari dan dikumpulkan bagi memenuhkan kumpulan Whatsapp yang telah dijana. Mereka telah diberi penerangan awal dalam bentuk pembentangan slaid. Pendedahan awal turut diberi supaya mereka lebih bersedia untuk menjana dana. Maka, atas tiket kerja kursus berkumpulan, kumpulan mahasiswa tersebut berganding bahu melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat. Setiap kumpulan diberi tanggungjawab untuk mengumpulkan sekurang-kurangnya RM6,000.00. Pembahagian tugas dimulakan dengan melantik jawatan kuasa dalam setiap kelas di mana mahasiwa harus mengundi Ahli Majlis Tertinggi untuk mengemudi kumpulan mahasiswa yang melebihi 200 orang.

Dalam meniti arus kemodenan ini, majoriti rakyat Malaysia semakin peka dengan perkembangan perniagaan dunia digital. Lebih-lebih lagi, dalam situasi darurat sekarang, platform jualan secara dalam talian merupakan cara terbaik untuk menjana dana. Aktiviti ini selaras dengan program mahasiswa terbabit iaitu diploma perniagaan. Objektif program ini sebenarnya ialah supaya mahasiswa berupaya mengaplikasi dan mendapat pengalaman secara hands-on yang tidak boleh sewenangnya dibeli melainkan mereka melaksanakan sendiri aktiviti tersebut. Kumpulan mahasiswa ini telah menjalankan jualan amal secara dalam talian selama lapan minggu di pelbagai platform seperti Shopee, Instagram, Facebook dan Whatsapp. Setiap minggu perkembangan dana ini dipantau oleh pendidik selain pendidik yang terbabit memainkan peranan dengan meniup kata-kata semangat untuk para mahasiswa ini terus berusaha. Bayangkan mahasiswa ini bukan hanya perlu menumpukan perhatian mereka terhadap satu mata pelajaran sahaja, tetapi lebih. Timbunan kerja kursus subjek lain seperti kuiz, ujian dan assignment juga perlu mereka lunaskan. Berkat usaha gigih kumpulan mahasiswa ini, mereka akhirnya berjaya mengumpul dana sebanyak RM67,200.00. Setelah bertungkus-lumus melalui proses berniaga secara dalam talian mahupun melaksanakan cash on delivery (COD), mahasiswa yang terlibat rata-rata merasai bahawa pengalaman ini sangat berharga kerana seluruh kelas bersama-sama menggembleng tenaga untuk menjana dana ini.

Nah, ini namanya kepentingan bekerjasama. Begitu banyak masa dan tenaga diperlukan untuk menjana dana ini sehingga ada yang bertelagah, namun diatasi dengan perbincangan secara jitu dan muafakat. Kesemua usaha ini menyumbang kepada saat paling manis bagi seluruh mahasiswa terbabit iaitu ketika pengagihan dana yang bukan sahaja hanya tertumpu di dalam negara namun dapat juga disalurkan ke negara Palestin. Ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban perjuangan saudara seagama kita di sana. Dari perspektif pendidik yang terlibat secara langsung pula, tiada apa yang lebih indah daripada merasai saat anak didik mengucapkan terima kasih kerana sentiasa memberi mereka kepercayaan dan meniup kata-kata semangat untuk mereka berfikir di luar kotak. Percayalah apabila pendidik dan anak didik benar-benar berganding bahu, apa pun boleh dilaksanakan. Pada mata kasar, mungkin nampak sukar untuk mencapai sesuatu objektif, namun sudah terang lagi bersuluh, berkat muafakat, segala kesusahan dan kesenangan dapat dilalui bersama-sama. Kisah ini merupakan bukti kukuh untuk menyangkal idea bahawa pembelajaran secara dalam talian tidak melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran insaniah atau soft skills. Mudah-mudahan perkara ini membuka mata bahawa apa yang perlu kita fahami sebenarnya ialah, pengurusan masa dan tenaga itu sendiri harus dititikberatkan supaya apa pun tekanan yang menghimpit, kita akan lebih terurus dan mampu menanganinya dengan lebih matang.

Sebagai rumusan kepada segala yang telah diperkatakan, ingatlah wahai mahasiswa, keberkatan ilmu anda terletak kepada keredaan tenaga pendidik itu sendiri.

Maklumat Penulis

Nurul Zamratul Asyikin Ahmad dan Roszi Naszariah Nasni Naseri merupakan Pensyarah Kanan, UiTM Melaka, Kampus Alor Gajah.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan