l
l

PdPR: Ia bukan sekadar pembelajaran dalam talian  

webadmin
28 Jun 2021 11:00am
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketika negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan peningkatan kes Covid-19, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menjadi kaedah terbaik dalam memastikan pendidikan dapat diteruskan apabila pembelajaran secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan.

Bagaimanapun, pelaksanaan PdPR dilihat masih ‘rapuh’ apabila ramai yang beranggapan ia merupakan pembelajaran secara dalam talian semata-mata, yang dilihat boleh memberi kesan kepada pelajar yang tidak mempunyai kemudahan peranti dan akses internet.

Hakikatnya, apa yang berlaku ketika ini, tanpa kemudahan peranti dan jaringan, PdPR masih dijalankan secara di luar talian (fizikal), antaranya dengan guru-guru menyediakan modul pembelajaran dan menghantar sendiri ke rumah pelajar atau murid mereka.

Ada juga guru-guru yang meninggalkan modul pembelajaran dan kerja sekolah di pondok pengawal sekolah untuk diambil ibu bapa dan kemudian ibu bapa menghantar kembali kerja sekolah di pondok pengawal.

Ada juga guru yang kreatif menghasilkan video pembelajaran untuk diberikan kepada pelajar atau murid menerusi mesej WhatsApp.

Menurut Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, PdPR merangkumi sebarang kaedah PdP yang dilaksanakan di rumah untuk memastikan pelajar diberi pendidikan sama seperti di sekolah.

Beliau berkata, ini bermakna PdPR tidak semestinya dilaksanakan secara dalam talian, tetapi juga boleh berbentuk modul yang dibekalkan secara penghantaran salinan cetak bahan pembelajaran terus kepada pelajar ataupun menggunakan media elektronik seperti DidikTV KPM.

"(PdPR) Pertama, guru dan pelajar boleh berkomunikasi secara elektronik dengan bahan pembelajaran yang sedia ada atau bahan yang mengikut sukatan mata pelajaran dan diberikan secara dalam talian. Selain itu, ia (PdPR) juga mungkin boleh berbentuk bahan tugasan yang diedarkan kepada pelajar secara modular atau secara unit mata pelajaran yang dibekalkan secara penghantaran ‘hardcopy (salinan cetak)’.

"Di samping itu, PdPR juga boleh dilaksanakan dengan menggunakan pengajaran melalui DidikTV KPM dengan memastikan penggunaan program atau penjadualan rancangan yang ada dalam jadual DidikTV dimanfaatkan mengikut masa tertentu seperti dijadualkan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Sementara itu, seorang guru di sekolah perkampungan Orang Asli, Muhammad Fadzli Najmi, 30, berkata penggabungan pelbagai kaedah PdPR adalah usaha yang baik untuk menjayakan PdPR, kerana masalah utama adalah mengenai tahap kesediaan murid dari segi alat pembelajaran dan peranti, namun ibu bapa turut perlu memainkan peranan.

"DidikTV adalah alternatif yang sangat baik, namun persoalan timbul sama ada murid bersedia untuk belajar di hadapan televisyen? Adakah murid akan menyalin nota atau sekadar menonton? Jadi ibu bapa di rumah perlu memastikan murid belajar di hadapan televisyen tanpa gangguan seperti belajar di dalam kelas,” kata guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Pos Bersih di Slim River, Perak itu.

Pada ketika kaedah PdP secara bersemuka masih dianggap kaedah terbaik dalam pendidikan terutama dalam kalangan pelajar sekolah, ada juga cadangan untuk dilaksanakan pendidikan hibrid iaitu gabungan kelas secara bersemuka dan secara dalam talian atau kaedah-kaedah lain.

Mohamad Ali berkata melalui kaedah ini, pelajar atau murid boleh bergilir-gilir ke sekolah dan menghadapi PdPR mengikut jadual yang ditetapkan.

"Misalnya, diadakan kelas secara bersemuka berselang-seli. Ataupun di hujung minggu diadakan secara PdPR manakala bukan hujung minggu diadakan secara bersemuka dengan selang seli kelas supaya tidak begitu sesak di sekolah,” katanya.

Justeru beliau Muhammad Fadzli mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menyemak semula silibus yang penting untuk diajarkan kepada murid serta penetapan objektif yang sesuai dalam melaksanakan pendidikan secara hibrid.

"Pendidikan secara hibrid ini baik, cuma pelaksanaan yang betul adalah perkara paling penting. Dalam keadaan pandemik yang masih tidak menunjukkan ia akan reda, apakah prosedur operasi standard (SOP) yang terbaik?,” katanya -  BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan