WhatsApp Image 2021-07-26 at 12.50.29 PM (1)
WhatsApp Image 2021-07-26 at 12.50.29 PM (1)

Pelajar Pengurusan Hartanah kongsi ilmu asas dalam urusan sewa rumah

A
A
A

Status ekonomi negara yang tidak stabil pada masa ini telah menimbulkan kebimbangan masyarakat apabila ramai pihak terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan sejak setahun lalu.

Impak Covid-19 ini, bukanlah satu fenomena biasa kerana keadaan hari ini telah mendesak orang ramai untuk bertindak di luar batasan.

Tidak dinafikan, keadaan ekonomi yang tidak stabil menyebabkan ramai pihak mengalami kesempitan hidup seperti dibuang kerja, hilang punca pendapatan, ditipu dan paling menyedihkan ada juga yang kehilangan tempat tinggal disebabkan tidak mampu membayar sewa bulanan dan sebagainya.

Susulan isu ini, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, Siti Khalijah Ag Anuar, 24, berbesar hati berkongsi ilmu mengenai hak-hak sebagai penyewa rumah untuk pengetahuan orang ramai khususnya di musim pandemik ini.

Mengulas mengenai segelintir penyewa yang mengalami masalah kewangan untuk membayar sewa, Siti Khalijah mengakui hidup sebagai penyewa tidak mudah lebih-lebih lagi dalam tempoh PKP hari ini.

“Sebagai seorang penyewa dan pelajar, saya akui saya pernah mengalami masalah kewangan untuk membayar sewa dan saya amat memahami keadaan segelintir pihak yang tidak mampu menjelaskan sewa bulanan memandangkan ramai yang kehilangan punca pendapatan pada hari ini,” ujarnya kepada GPS Bestari.

Bagaimanapun, bagi mengelakkan sebarang masalah berlaku, individu yang menyewa ini perlulah mendapatkan budi bicara tuan rumah mengenai kadar sewa atau meminta tempoh penangguhan buat sementara waktu.

Berhubung isu penipuan antara penyewa dan pemilik rumah, Siti Khalijah mendedahkan dirinya juga turut melalui pengalaman hampir ditipu oleh pemilik rumah di mana dia perlu membayar deposit terlebih dahulu sebelum melihat keadaan rumah.

Oleh itu, ilmu asas mengenai urusan menyewa sangat penting bagi melindungi hak sebagai penyewa dan tuan rumah daripada berlaku sebarang masalah di masa akan datang.

Bagi mengelakkan kes-kes penipuan, bakal penyewa perlu mengetahui latar belakang rumah serta hak-hak sebagai penyewa sebelum melakukan urusan pembayaran dan menandatangani perjanjian sewa rumah.

“Kedua-dua pihak perlulah teliti sebelum menandatangani perjanjian kerana apa yang saya lihat pada musim pandemik ini, kes penipuan bukan saja terjadi kepada penyewa rumah, namun ada juga tuan rumah yang turut ditipu oleh penyewa,” jelasnya.

Menyentuh mengenai keadaan ekonomi yang mengekang punca pendapatan di musim pandemik ini, Siti Khalijah berkata, pihak tuan rumah perlulah mempunyai sikap toleransi bagi memudahkan urusan individu yang dalam kesusahan. Perbincangan antara kedua-dua pihak perlu dilakukan bagi mencapai kata sepakat demi keadilan bersama.

“Komunikasi sangat penting bagi menjaga kepentingan kedua-dua belah pihak bagi menjamin keharmonian sekali gus mengelakkan perbalahan yang melibatkan tindakan saman-menyaman pada masa akan datang,” tambahnya di akhir perbualan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan