FOTO 1- Dr Norkhalid menyampaikan tablet kepada ibu pelajar di SMKBB2020
FOTO 1- Dr Norkhalid menyampaikan tablet kepada ibu pelajar di SMKBB2020

Pelajar SMKBB2020 terima peranti tablet di bawah program empowerNCER-Akademik@Perak

Nor Azma  Muhamat Laila
06 Aug 2021 04:54pm
A
A
A

TANJONG MALIM - Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Behrang 2020 (SMKBB2020) menerima 73 unit peranti tablet di bawah program empowerNCER-Akademik@Perak untuk membantu pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 sekolah berkenaan menjayakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Penyerahan peranti tablet kepada ibu bapa para pelajar peserta program ini telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin yang juga Ketua Projek bagi Program empowerNCER-Akademik@Perak, baru-baru ini.

Sesi penyampaian secara ringkas itu turut disaksikan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr Mohd Izwan Shahril dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKBB2020, Dr Ghazali Din.

Dr Norkhalid berkata, UPSI telah dilantik oleh NCIA sebagai Pembekal Perkhidmatan bagi Program empowerNCER-Akademik@Perak kepada 22 buah sekolah di tujuh daerah di Perak melibatkan 1,400 murid SPM dan 110 guru akademik.

"Sebanyak 1,510 buah peranti tablet telah dibekalkan ke sekolah bagi membantu memajukan prestasi akademik pelajar-pelajar B40 yang terlibat, “ kata beliau.

Dalam pada itu, bagi membantu meningkatkan penguasaan akademik pelajar, beliau berkata, program tuisyen secara dalam talian telah dilaksanakan setiap hari di semua sekolah terlibat mulai 5 Julai lalu oleh Guru Bitara UPSI.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

"Setiap hari Sabtu, bermula jam 9 malam pula diadakan sidang langsung melalui saluran YouTube Live oleh Ikon Alumni UPSI iaitu penulis modul bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

"Aktiviti ini akan dijalankan secara berterusan sehingga pelajar-pelajar menduduki SPM pada bulan Mac 2022 nanti," ujarnya lagi.

Prof Madya Dr Norkhalid (dua dari kanan) menyampaikan tablet kepada ibu pelajar SMKBB2020 sambil disaksikan Azshar (dua dari kiri), Dr Ghazali (kiri) dan Prof Madya Dr Mohd Izwan (kanan).

Sementara itu, Pengetua SMKBB2020, Azshar Ramli berkata, pihaknya menghargai dan berterima kasih atas pemberian tablet di bawah program empowerNCER-Akademik@Perak dalam membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar sekolah berkenaan.

Menurut beliau, sumbangan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar yang serba kekurangan daripada aspek kemudahan komputer untuk kegunaan sepanjang berlangsungnya PdPR.

“Pencapaian akademik pelajar sekolah ini sudah menunjukkan peningkatan dan saya percaya dengan inisiatif NCIA dan UPSI ini, diyakini akan meningkatkan lagi prestasi pelajar,” katanya.

Ujarnya lagi, di sekolah itu, terdapat ramai pelajar berasal daripada latar belakang serba kekurangan dan tidak mampu membeli peranti untuk anak-anak.

“Justeru, pemberian tablet di bawah program empowerNCER-Akademik@Perak ini sangat kami hargai untuk membantu meningkatkan pencapaian akademik mereka.

"Saya mewakili pihak sekolah sangat berterima kasih atas keprihatinan pihak NCIA dan UPSI untuk membantu pelajar-pelajar yang memerlukan kemudahan peranti tablet," tutur beliau.

Program empowerNCER-Akademik@Perak yang memasuki Fasa Kedua ini direka secara komprehensif untuk meningkatkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan SPM dengan menekankan komponen kecemerlangan akademik, kecekapan kemahiran dan pengembangan peribadi pelajar.

Seramai 450 pelajar SPM telah menyertai Program empowerNCER-Akademik@Perak Fasa Pertama yang menyaksikan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tapah, Batang Padang, Cheah Yong Ning berjaya memperoleh 10A manakala pelajar Orang Asli dari sekolah yang sama, Alieya Ashikin A/P Haszrul Zainal pula berjaya memperoleh 4A dalam peperiksaan SPM pada tahun 2020.

Program yang mendapat sokongan penuh pihak Kementerian Pendidikan (KPM) ini berjaya membantu pelajar daripada keluarga B40 meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM yang lepas.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan