Pelajar tidak berminat ikuti kelas ‘online’, cikgu ini tidak putus asa untuk mengajar
Pelajar tidak berminat ikuti kelas ‘online’, cikgu ini tidak putus asa untuk mengajar

Pelajar tidak berminat ikuti kelas ‘online’, cikgu ini tidak putus asa untuk mengajar

A
A
A

Tugas sebagai seorang guru, tidak mudah lebih-lebih lagi ketika Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.

Pelbagai kekangan terpaksa dihadapi demi menggalas amanah yang diberikan. Guru umpama lilin yang membakar dirinya demi menerangi orang lain.

Begitulah perumpamaan yang layak untuk seorang pendidik yang sanggup berkorban masa dan tenaga dalam memastikan setiap pelajarnya mendapat ilmu yang mencukupi bagi bekalan masa depan.

Guru mata pelajaran Sains, Sekolah Menengah Kebangsaan Berangan, Tumpat, Kelantan, Roseniwati Idayu Awang, 44, telah berkongsi pengalaman sepanjang proses Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) berlangsung.

Dalam temubual bersama GPS Bestari, Cikgu Roseniwati mengakui bahawa dirinya berasa sedikit kecewa kerana PdPR menjadikan proses pengajaran tidak berjalan dengan lancar.

“Saya mengakui, PdPR ini bukan saja mengenai masalah capaian internet tetapi apa yang mengecewakan pelajar kurang berminat untuk menyertai kelas secara dalam talian.

“Paling merisaukan tiga kelas belakang, dua kelas daripada Tingkatan Empat, satu kelas daripada Tingkatan Lima, langsung tidak memberikan maklum balas terhadap PdPR. Hanya lima orang daripada 20 pelajar yang masuk kelas dalam talian. Perkara ini mencetuskan kerisauan dalam diri saya kerana jika perkara ini berlanjutan, tahap pembelajaran mereka sangat berisiko,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai usaha yang dilakukan untuk menarik minat pelajar semasa PdPR berlangsung, Cikgu Roseniwati menjelaskan proses pengajaran secara dalam talian tidak mudah namun dia berusaha sebaik mungkin bagi memastikan ilmu yang diajar dapat difahami pelajar.

“Biarpun, hanya pelajar kelas hadapan sahaja yang memberi sambutan semasa sesi pembelajaran yang berlangsung, namun saya tidak lupa untuk menyampaikan ilmu itu dengan sebaik mungkin.

“Bagi mewujudkan minat pelajar belajar Sains, saya akan mengaitkan konsep sains dengan kehidupan harian pelajar. Saya turut membimbing pelajar melakukan ‘hands on’ dalam pengajaran. Saya juga akan menggunakan pelbagai teknologi dan pelbagai sumber untuk bahan pengajaran,” jelasnya.

Menyentuh mengenai perasaannya sebagai guru apabila berdepan dengan situasi sebegini, Cikgu Roseniwati menyatakan bahawa situasi ini tidak mematahkan semangatnya dalam usaha mendidik pelajar.

“Jujur saya katakan, proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian tidak memberi kepuasan sebagai seorang guru. Saya sukar untuk memantau pergerakan dan aktiviti mereka semasa sesi pembelajaran berlangsung.

“Biarpun begitu, saya tidak pernah berputus asa untuk mengajar pelajar-pelajar bagi memastikan mereka menjadi orang yang berguna pada suatu hati kelak. Biarlah, kesabaran saya diuji semasa mengajar, yang penting mereka dapat menerima ilmu dengan secukupnya. Tugas saya sebagai seorang guru adalah mendidik mereka menjadi seorang manusia yang berjaya dalam kehidupan mereka kelak,’ jelasnya lagi.

Sehubungan itu, Cikgu Roseniwati juga turut menitip pesanan khas untuk semua para pelajar yang menghadapi masalah sepanjang pandemic Covid-19 ini.

“Saya tahu ramai pelajar menghadapi masalah masing-masing. Bukan senang untuk kita menghadapi perubahan baru pada masa ini, tapi sebagai pelajar, sebesar mana pun ujian dan cabaran, proses pembelajaran mesti diteruskan, tidak boleh menyerah kalah dengan perasaan malas yang menguasai diri. Kita tidak boleh berputus asa dengan keadaan semasa. Jadi, tetaplah bersemangat demi kejayaan diri sendiri.

“Saya berharap wabak Covid-19 ini cepat berakhir dan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka di sekolah dapat diteruskan seperti dahulu,” tambahnya sebelum mengakhiri perbualan.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan