HomeKomunitiPendekatan PdPR perlu diperkukuh bagi atasi masalah sedia ada – Pensyarah UMK

Artikel Berkaitan

Pendekatan PdPR perlu diperkukuh bagi atasi masalah sedia ada – Pensyarah UMK

“Mama, bila sekolah buka?

“Bosanlah asyik belajar macam ini. Tak boleh jumpa dengan kawan-kawan dan sembang macam biasa. Tak seronok dan tak suka.

Inilah antara rungutan dan luahan yang sering anak lontarkan kepada ibu bapa. Telahan lagi sekiranya anak itu masih lagi di peringkat awal persekolahan tanpa memahami dengan jelas punca dan kesan pandemik Covid-19.

Disaat seluruh dunia diuji sehebat ledakan bom atom pandemik Covid-19, semua sektor dan golongan terkesan dengan kehadiran tetamu yang tidak diundang ini.

Sebagai contoh di awal tahun 2020, sebaik sahaja murid baru bergembira dengan sesi persekolahan yang baharu beberapa bulan bermula, tiba-tiba negara dikejutkan dengan penutupan sepenuhnya sektor pendidikan kerajaan mahu pun swasta.

Dengan itu bermulalah, sesi pembelajaran dalam talian atau dikenali sebagai Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR).

Bagi murid yang baru berjinak dengan peranti, ini akan menimbulkan kesulitan sebab kurang arif.

Begitu juga dengan masyarakat di pedalaman yang menghadapi kepayahan untuk mengakses capaian internet atau pun keluarga yang kurang mampu untuk menyediakan peralatan pembelajaran.

Malah ada ibu bapa menganggap satu rahmat apabila kerajaan mengumumkan sesi persekolah dibuka semula ekoran ketidakmampuan mereka menyediakan peranti demi memastikan anak tidak tercicir.

Peranan guru

Di sini guru memainkan peranan penting sebagai lilin yang membakar untuk memastikan tiada murid yang tertinggal.

Mereka dipedalaman dibekalkan dengan latihan dan modul bergantung kepada kemudahan yang pihak sekolah ada.

PdPR di seluruh negara dilihat bukan saja memberi cabaran kepada ibu bapa, malah guru dan murid juga terpaksa berdepan pelbagai isu.

Bagi yang berkemampuan, mereka boleh menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan murid tapi bagi yang kais pagi, perkara ini agak sukar hingga menjurus kepada kurang minat dan hilang fokus murid disebabkan tiada keyakinan diri dan motivasi yang rendah.

Terdapat juga rungutan daripada pihak ibu bapa di mana lambakan kerja sekolah terlalu banyak hingga murid tiada masa untuk aktiviti sosial dan riadah setelah penat seharian dengan aktiviti PdPR.

Saranan supaya pihak sekolah fokus kepada subjek teras sahaja dengan menggugurkan subjek elektif seperti yang dilakukan di negara Barat diharapkan dapat mengembalikan mood keceriaan murid.

Bukan menidakkan kepentingan mata pelajaran lain tetapi dengan situasi sekarang, elemen “utamakan yang utama” lebih menarik perhatian ibu bapa.

Terdapat juga segelintir murid yang bertungkus-lumus menyiapkan tugasan sehingga lewat malam. Ini sedikit sebanyak boleh mengugat emosi dan perkembangan fizikal murid.

Terdapat beberapa alternatif yang boleh digalas oleh ibu bapa dalam menyokong murid berdepan dengan PdPR seperti menyediakan ruang yang kondusif, memperuntukkan masa bersama, komitmen dan iltizam untuk menyokong institusi kekeluargaan, dan komunikasi yang efektif.

Ada segelintir golongan masyarakat pula menunding jari kepada pihak sekolah lantaran tiada kreativiti dan usaha daripada pihak guru untuk memujuk murid untuk sertai PdPR.

Guru disaran supaya lebih kehadapan dalam penyampaian ilmu bagi memastikan keseronokan murid dan tiada yang ketinggalan semasa PdPR.

Komunikasi dua hala antara guru dan ibu bapa juga perlu lebih mesra dan telus bagi mewujudkan ekosistem pembelajaran yang berkesan untuk murid di rumah.
Tidak perlulah menunding jari, menjadi hakim atau keyword warrior dalam menilai usaha murni guru.

Sekiranya ada kesilapan daripada mana-mana pihak, perlulah ditangani dengan baik dan diplomasi demi memastikan objektif kedua belah tercapai.

NUTP gesa semua pihak

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) turut menggesa semua pihak memberi ruang kepada guru bagi melancarkan proses PdPR.

Pada pertengahan tahun 2020, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan turut mengambil inisiatif dengan mengembalikan semula siaran TV Pendidikan seperti yang pernah dilaksanakan pada tahun 80-an dahulu.

Pengenalan kepada TV Pendidikan ini adalah bagi memastikan penguasaan ilmu dapat dicapai terutama kepada murid yang tidak mempunyai akses internet dan peranti.

Manakala sikap murid sendiri yang sudah selesa dengan budaya boleh bangun lambat dan gangguan dari persekitaran rumah turut menyumbang kepada isu ini untuk jadi lebih sukar diterima.

Walaupun ibu bapa telah menyediakan ruang yang baik, tapi murid masih sukar untuk memahami ilmu yang diajar di dalam sesi norma baharu ini disebabkan masalah komuniksai yang sehala (guru kepada murid), ditambah dengan sikap malu untuk bertanya untuk penjelasan lanjut.

Apabila mereka tidak faham, peranan ibu bapa untuk membantu adalah penting. Tapi bagaimana sekiranya terdapat ibu bapa yang tiada masa atau mereka sendiri kurang berpengetahuan untuk mendidik?

Perkukuh PdPR

Secara relatifnya, pendekatan PdPR yang masih baharu di Malaysia perlu diperkukuh dan diperkasakan bagi mengatasi masalah yang sedia ada.

Oleh itu peranan semua penting demi memastikan tiada keciciran dan murid boleh belajar dalam suasana norma baharu.

Kesemua perlu menyising lengan untuk berhadapan isu pandemik yang tidak tahu bila akan menemui penghujungnya.

Kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan masih mencari solusi terbaik demi memastikan pembelajaran secara holistik dapat diterapkan.

Peranan pelbagai pihak tidak kira kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Government Linked Companies (GLC) atau industri komunikasi adalah penting.

Pihak kerajaan perlu menyediakan atau naik taraf capaian internet kelajuan tinggi seperti negara Asia lain contohnya Singapura, Korea Selatan, dan Jepun.

Sebelum ini tular di laman sosial tentang kepayahan yang di alami oleh beberapa pelajar universiti semasa mengakses internet untuk menduduki peperiksaan akhir semester.

Di sini menunjukkan tahap capain internet di negara kita masih rendah terutama di kawasan pendalaman.

Malahan masalah ini turut dihadapi di bandar besar atau sekiranya berlaku gangguan cuaca yang kurang baik.

Telekom Malaysia dan beberapa syarikat telekomunikasi sekali lagi menggembleng tenaga dan berganding bahu menghulurkan sumbangan berbentuk internet percuma sebanyak 1GB setiap hari dan ia terpakai untuk data mudah alih bagi tujuan pembelajaran dan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sehingga 31 Julai 2021.

Di harap semoga dengan inisiatif murni kesemua pihak dapat melestarikan kemenjadian murid yang sering di war-warkan oleh Kementerian Pendidikan.

Maklumat Penulis
Nik Syuhailah Nik Hussin
Pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan,
Universiti Malaysia Kelantan

Artikel Terkini