Untitled (24)
Untitled (24)

Pendidikan Sejarah bentuk jati diri, didik pelajar jadi generasi celik sejarah

Nor Azma  Muhamat Laila
01 Sep 2021 04:13pm
A
A
A

Dalam dunia yang dilingkari dengan pelbagai kecanggihan teknologi hari ini, pendidikan Sejarah dilihat semakin terpinggir dan dipandang ringan oleh generasi muda.

Bagi memberikan pendedahan kepada generasi muda mengenai sejarah, tidak kiralah membabitkan kemerdekaan negara, perjuangan pahlawan Melayu terdahulu atau dasar perlembagaan negara, mata pelajaran Sejarah mula diperkenalkan di peringkat sekolah rendah lagi.

Semuanya bertujuan supaya pelajar-pelajar mengambil tahu mengenai sejarah sekali gus mendidik golongan muda supaya mempunyai jati diri dan cintakan negara.

Meskipun begitu, sejauh mana mata pelajaran Sejarah yang kini menjadi subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilihat berjaya mendidik pelajar menjadi generasi yang celik sejarah.

Pensyarah Kanan, Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr Abd Razak Zakaria berkata, tiada masalah dalam silibus pendidikan mata pelajaran Sejarah yang diguna pakai di sekolah dan universiti sekarang bagi memenuhi keperluan.

Dr Abd Razak Zakaria.

Menurut beliau, jika ditinjau daripada keadaan sekarang, pelajar belajar subjek Sejarah kerana terpaksa dan bukan atas kerelaan hati berikutan ia dijadikan sebagai mata pelajaran teras dan wajib lulus bagi mendapatkan sijil SPM.

“Jika zaman saya belajar dahulu, semua subjek yang dipelajari bukan sekadar untuk lulus malah untuk dikuasai dan dipraktikkan dalam kehidupan tetapi sebaliknya yang berlaku pada pelajar hari ini seolah-olah menolak subjek Sejarah dan tidak menyukainya.

“Nilai dan fakta sejarah ini sepatutnya bukan sahaja perlu berada di dalam hati setiap pelajar malah jati diri dalam mempraktikkan apa yang dipelajari dalam subjek Sejarah juga harus ditanam dalam jiwa,” katanya.

Sehubungan itu, adalah sangat penting untuk pelajar lebih mengambil berat subjek Sejarah kerana ia bukan sahaja menceritakan mengenai asal usul tetapi juga menjadi landasan untuk melihat peristiwa masa lalu sebagai sempadan dan teladan bagi memperbaiki keadaan supaya peristiwa yang sama tidak berulang kembali.

Ujar Abd Razak, pelajar perlu belajar Sejarah agar mereka faham setiap kejadian yang berlaku ada pengajaran tersembunyi supaya masyarakat terus bersatu di bawah satu bumbung walau berbeza keturunan demi memacu negara ke arah lebih baik dan dapat bersaing di peringkat dunia.

Peranan didik generasi muda

“Sejarah juga membentuk jati diri, semangat patriotisme dan perpaduan berdasarkan peristiwa terdahulu termasuklah pengorbanan kesusahan orang dulu-dulu yang terpaksa berjuang bagi mendapatkan sebuah negara berdaulat.

“Pengorbanan itu yang turut diceritakan dalam mata pelajaran Sejarah sepatutnya dihargai generasi pada hari ini sekali gus mengambil pengajaran untuk menjaga keamanan dan kedaulatan negara bersama-sama tanpa mengira kaum Melayu, Cina dan India,” katanya lagi.

Mengulas mengenai peranan yang boleh dimainkan bagi mendidik generasi muda supaya tidak lupa mengenai sejarah, Abd Razak berkata, setiap pihak perlu bertanggungjawab termasuklah pelajar, ibu bapa, guru dan masyarakat.

“Sebagai pelajar, belajar sejarah bukan saja hendak lulus peperiksaan tetapi untuk dihayati daripada akar umbi bagi tujuan membina jati diri dan menggunakan elemen-elemen dalam sejarah bagi memperbaiki diri.

“Sebagai ibu bapa pula, haruslah ditanamkan nilai baik kepada anak-anak supaya mereka mempelajari sejarah untuk menjadi insan yang baik kepada masyarakat dan negara pada suatu hari kelak. Dalam masa yang sama menghargai pengorbanan yang dibuat generasi terdahulu termasuklah perkara berkaitan kemerdekaan serta perpaduan negara,” kongsinya lagi.

Aliff Hiqal Roestam Affendy.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan USJ13, Subang Jaya, Selangor, Aliff Hiqal Roestam Affendy berkata, pendidikan Sejarah banyak memberi pengajaran dan teladan kepada generasi muda terutama berkaitan titik peluh, kudrat serta pengorbanan tokoh negara terdahulu dalam mencapai kemerdekaan.

Tutur Aliff Hiqal, apabila mengkaji mengenai peristiwa ini, secara tidak langsung ia sebenarnya akan menebalkan semangat nasionalisme dalam diri rakyat Malaysia kerana sudah terserlah kesanggupan generasi terdahulu menggadaikan nyawa demi negara yang tercinta.

Jati diri

“Pendidikan Sejarah juga bertujuan untuk memastikan generasi muda menghargai dan memelihara budaya serta adat yang wujud di negara ini sejak dahulu lagi tetapi jika diteliti, tidak ramai yang masih berbuat demikian sebaliknya ada pula mengagung-agungkan budaya luar.

“Situasi sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan menyebabkan budaya negara kita semakin lesap dek peradaban dunia sedangkan negara kita kaya dengan budaya dan adat resam seperti Adat Perpatih yang masih diamalkan oleh masyarakat Negeri Sembilan sehinggalah ke hari ini,” katanya.

Zanahariah Jaafar.

Ibu kepada lima orang anak, Zanahariah Jaafar, pula berpendapat pendidikan Sejarah penting diajar di sekolah kerana ia dapat memupuk semangat patriotisme dan jati diri dalam kalangan murid seterusnya melahirkan murid yang berbangga dengan negara ini dan sanggup menjaga keamanan serta kesejahteraan Malaysia.

Menurut Zanahariah, pendidikan Sejarah juga dapat melahirkan pelajar yang sentiasa bersyukur dengan keamanan negara yang dinikmati hasil perjuangan pemimpin lampau.

“Apabila mempunyai sikap patriotisme yang tinggi, setiap rakyat bermula daripada pelajar sekolah akan menghormati sistem pemerintahan negara dan terus mendukung perlembagaan demi kemakmuran hidup bersama.

“Pelajar yang mempelajari sejarah negara juga akan cenderung cintakan negara dan mereka akan berusaha untuk mencapai kecemerlangan dan kemudiannya kembali menabur bakti kepada tanah air yang tercinta,” katanya.

Objektif KSSR Sejarah

Kurikulum Standard Sejarah Sekolah Rendah membolehkan murid:

- Memahami peristiwa masa lalu melalui sikap ingin tahu.

- Mengenal pasti pelbagai sumber dan maklumat sejarah.

- Memahami idea, konsep serta elemen sebab dan akibat dalam sejarah.

- Menyatakan kepentingan sejarah dalam kehidupan dengan mengambil iktibar daripada peristiwa sejarah sebagai usaha untuk mengukuhkan suasana keharmonian.

- Menilai warisan negara dalam konteks kawasan setempat, negara dan global.

memahami proses pembinaan tamadun manusia yang mempengaruhi kehidupan masyarakat.

- Menjelaskan kehidupan dan kebudayaan masa lalu dan masa kini masyarakat di Malaysia.

- Memahami kedudukan kaum dalam konteks lokasi dan pembentukan kaum sebagai pengukuhan kepada persefahaman kaum.

- Memahami cabaran negara dalam konteks mempertahankan kedaulatan negara bagi pembinaan jati diri.

- Mengenal pasti usaha dan sumbangan para pemimpin negara sebagai melahirkan perasaan bangga dan hormat.

- Menilai pencapaian dan kemajuan negara dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan