photo-1616469829526-7057a1427626
photo-1616469829526-7057a1427626

Pengurusan pendidikan penting dalam mendepani akhlak remaja di era digital

Roshlawaty Md Raieh
10 Dec 2021 05:23pm
A
A
A

Media digital berperanan penting dalam membina identiti bangsa dan budaya untuk pembangunan keseluruhannya.

Dalam konteks pendidikan di era pandemik, penggunaan peranti digital amatlah penting supaya proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat berjalan seperti biasa.

Namun, penyalahgunaan media elektronik boleh mengundang berlakunya pelbagai kesan terhadap masyarakat terutamanya golongan remaja yang terdiri daripada pelajar.

Sudah menjadi lumrah peringkat umur remaja mudah terikut dengan budaya yang melekakan.

Tambahan lagi, dengan perkembangan revolusi industri 4.0 (IR4.0) mengakibatkan para pelajar terdedah dengan kepelbagaian media elektronik seperti televisyen, alat perakam, komputer dan sekarang ini dengan kewujudan telefon bimbit yang dibekalkan kemudahan 5G secara tidak langsung memberi impak yang kuat kepada keruntuhan akhlak pelajar.

Di antara masalah penyalahgunaan media elektronik ialah jenayah siber, berkongsi video dan gambar lucah, budaya hindonesme, buli siber, scammer, deep fake, ponteng sekolah, derhaka kepada ibu-bapa dan masalah hubungan silaturahim dalam kekeluargaan.

Sehubungan itu, pengurusan dalam pendidikan adalah penting supaya peranti teknologi tidak disalahgunakan oleh para pelajar khususnya golongan remaja.

Pengurusan pendidikan yang mantap dan konsisten perlu dilaksanakan bersama pelbagai pihak yang berkepentingan supaya sistem pendidikan dalam era digital akan mencapai matlamatnya iaitu melahirkan masyakat berilmu, berpengetahuan tinggi dan beretika.

Baca juga “Bergelar OKU bukan penghalang untuk berjaya” – Graduan UKM

Baca juga Cikgu Faizal kongsi tip dapatkan cuti belajar dengan biasiswa penuh, para guru perlu ambil tahu!

Main peranan

Setiap pihak haruslah memainkan peranan yang penting dalam membendung masalah keruntuhan akhlak akibat penyalahgunaan media digital dalam kalangan pelajar sekolah.

Selain pihak berkuasa, ibu bapa, guru dan pihak sekolah serta pertubuhan bukan kerajaan harus turut bersama dalam mengawasi tingkah laku anak, pelajar dan anak jiran yang menjalankan aktiviti dalam talian.

Pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) seharusnya menghadkan akses kepada kandungan berunsur pornografi serta tempoh masa mereka di alam siber.

Gambar hiasan daripada Unsplash.

Pihak Kementerian Pendidikan (KPM) seharusnya melancarkan program pendekatan psikologi melalui program bimbingan remaja seperti program motivasi yang mengukuhkan ketakwaan, program kesedaran dan banyak lagi.

Dengan program-program sebegini, diharapkan dapat membantu mereka mengatasi masalah gejala sosial dan jenayah.

Pihak pentadbir sekolah juga hendaklah menubuhkan Kelab Pencegahan Jenayah sekolah di seluruh negara.

Melalui penubuhan kelab ini diharapkan dapat mengurangkan pembabitan pelajar dalam kegiatan jenayah seperti gengsterisme, buli, judi dan sebagainya.

Selain itu pihak pengurusan sekolah juga perlu membuat akujanji dengan pelajar yang membawa telefon bimbit ke sekolah supaya penggunaannya hanya untuk tujuan pendidikan dan tidak disalahgunakan untuk aktiviti lain.

Selain itu pemantauan yang kerap terhadap peranti pelajar amatlah penting supaya kemudahan membawa telefon pintar ke sekolah tidak disalahgunakan.

Amaran keras oleh guru dan warden sekolah amatlah penting dalam proses mengekang keruntuhan akhlak pelajar. Selain itu badan dakwah peringkat sekolah perlulah dengan lebih kerap mengadakan program-program peningkatan akademik dan program-program berunsur keagamaan supaya masa pelajar diisi dengan aktiviti yang berfaedah dan juga mempertingkatkan amalan pengajaran abad ke 21 (PAK21) yang lebih menyeronokan para pelajar.

Kesimpulannya, guru memainkan peranan penting dalam menangani isu keruntuhan akhlak akibat penyalahgunaan peranti digital atau apa-apa sahaja tingkah laku bermasalah di sekolah.

Masalah akan terusan jika kita tidak menyelesaikannya. Jadi, guru perlu bijak dalam membina hubungan dan menguruskan bilik darjah agar dapat mengurangkan tingkah laku bermasalah tersebut. Setiap murid itu berbeza-beza dan mempunyai kelebihan masing-masing.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Peranan ibu bapa

Sebagai ibu bapa, mereka juga seharusnya memainkan peranan yang penting dalam membantu pihak sekolah menguruskan anak-anak mereka.

Mereka tidak seharusnya menyerahkan sepenuhnya tugasan mendidik kepada guru-guru. Pengurusan dalam menangani masalah akhlak remaja perlulah bermula dari rumah.

Ibu bapa mestilah bertindak daripada sekarang dengan memisahkan anak-anak daripada gajet masing-masing mengikut masa yang telah ditentukan di rumah.

Ibu bapa juga perlulah memahamkan anak-anak bahawa tujuan gajet itu diberikan kepada mereka adalah untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), bukan untuk hiburan semata-mata. Jika penggunaannya tersasar jauh, anak-anak perlu disedarkan tentang perkara itu.

Gambar hiasan daripada Unsplash.

Jangan leka dengan gajet sehingga abaikan PdPR dan tidur lewat malam kerana bermain game tanpa batasan.

Selain itu setelah selesai PdPR, ibu bapa perlulah merancang pelbagai aktiviti yang bermanfaat untuk anak-anak supaya dapat dipisahkan mereka daripada gajet buat sementara waktu.

Mainkan peranan dengan memperbanyakan komunikasi, cari tajuk penting untuk dibualkan dan wujudkan kemesraan dalam kekeluargaan.

Mereka juga perlulah bertindak sebagai kawan yang rapat dan mewujudkan kemesraan kepada anak-anak supaya setiap masalah yang dihadapi oleh anak-anak dapat diluahkan terus kepada ibu bapa.

Ibu bapa perlulah bersikap lebih terbuka dan kurangkan menghukum, mengarah atau terlalu tegas. Jadilah kawan yang mesra bagi anak-anak remaja dan bercakap dari hati ke hati supaya dapat menyelami perasaan hati anak-anak.

Pada masa yang sama, ibu bapa juga berperanan dalam mewujudkan suasana keagamaan dengan mengamalkan solat berjemaah bersama keluarga dirumah.

Gambar hiasan daripada Unsplash.

Jika solat berasingan, adakah kita yakin anak-anak akan laksanakan solat tersebut.

Dalam masa 5 hingga 10 minit biar anak-anak depan mata kita solat berjemaah dan berdoa bersama selepas solat. Amalkan juga belajar membaca al-Quran bersama anak-anak supaya mereka tidak menyibukkan diri dengan gajet.

Selain itu juga isilah waktu petang dengan mengajak anak-anak keluar bersenam dan bersukan supaya wujud kemesraan di antara satu sama lain.

Sekali sekala bawalah mereka mengunjungi tempat-tempat rekreasi yang tenang supaya minda anak-anak beroleh ketenangan hasil menikmati alam ciptaan Tuhan supaya wujud ketenangan di dalam hati anak-anak ini.

  • Terima kasih Guru Cemerlang Hifz al-Quran, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah, Ustaz Ismail Salleh atas perkongsian ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan