Penutupan taska: Gangguan dalam akses Pendidikan Awal Kanak-Kanak
Apabila COVID-19 menular ke seluruh dunia, ia telah mengubah cara hidup dan meninggalkan kesan kepada banyak pihak termasuklah kanak-kanak. Di Malaysia, institusi pendidikan pelbagai peringkat ditutup dalam usaha untuk memutuskan rantaian penyebaran coronavirus. Bukan sahaja pembelajaran di universiti dan sekolah menjadi perlahan, malah tadika dan taska turut terjejas sekaligus membantutkan segala usaha kerajaan untuk mendedahkan kanak-kanak kepada dunia luar melalui pembelajaran.
Buat masa ini, peratusan pemberian vaksin di negara kita sudah mula meningkat sekaligus membawa sinar harapan bahawa penutupan taska ini hanya sementara dan sekarang telahpun dibenarkan untuk dibuka semula walaupun hanya untuk anak-anak petugas barisan hadapan. Namun, usaha-usaha yang lebih serius diperlukan sebagai pelan sokongan ekoran ketidak tentuan bila situasi akan kembali ke keadaan sebelumnya. Apa yang pasti, limitasi pembukaan taska menunjukkan kerugian dalam pembangunan modal insan dengan implikasi ekonomi dan sosial jangka panjang yang signifikan.
Hak mendapatkan pendidikan
Semua kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan, sepertimana yang telah dipersetujui dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) lebih tiga dekad yang lalu di Geneva dan penggubalan Akta Kanak-Kanak 2001; hak yang sekarang tidak dapat dinikmati sepenuhnya oleh kebanyakan mereka mungkin kerana beberapa faktor seperti kekangan ekonomi dan akses.
Masalah sosial sebenar yang dihadapi dalam isu ini adalah ketidaksetaraan. Dalam sesetengah kelas masyarakat, ketinggalan pendidikan awal pada usia muda sebegini dipandang enteng, kerana dilihat sebagai mengisi masa dengan bermain. Selagi bukan di bangku persekolahan secara rasmi, pendidikan di tadika/taska dianggap sekadar mengisi masa dan belajar untuk suka-suka. Hakikatnya, usia kritikal sebeginilah harus diisi dengan pembentukan kemahiran kognitif asas (seperti berfikir, menaakul dan pemahaman konsep), kemahiran afektif yang baik (seperti prihatin dan membuat pertimbangan) serta kemahiran psikomotor (seperti pergerakan fizikal dan koordinasi). Dalam konsep belajar melalui bermain yang diamalkan di tadika/taska jugalah kemahiran sosial seperti berkongsi dan bekerjasama, mematuhi arahan dan berkomunikasi dibentuk dan perlu dititikberatkan dalam perkembangan sahsiah, sosioemosi dan kerohanian.
Musim pandemik inilah masa dan ketikanya ibu bapa cuba mendalami ilmu pendidikan awal kanak-kanak. Teori dan konsep asas bagaimana kanak-kanak belajar mengikut peringkat umur, mengenal potensi dan temperamen anak, menangani tingkahlaku boleh diterapkan di rumah sekaligus menyokong perkembangan kanak-kanak secara tidak langsung.
Perlaksanaan PdPR untuk tadika/taska
Bagi kumpulan masyarakat yang masih mahu anak-anak mereka mengikuti aktiviti pembelajaran seperti biasa, ada pula yang tidak dapat mengakses pendidikan secara konsisten akibat kekangan digital (peranti), akses internet dengan kelajuan yang baik dan data yang mencukupi.
Mungkin tidaklah kritikal seperti PdPR murid-murid sekolah rendah dan menengah, tetapi setiap objektif tetap perlu dicapai termasuk untuk anak-anak kecil di tadika/taska untuk memastikan kanak-kanak mempunyai asas kukuh sebelum meneruskan pembelajaran ke peringkat seterusnya. Maka setelah lebih setahun kita mengikuti norma baharu, ada baiknya kita mengambil serius persediaan untuk ekosistem pembelajaran sebegini dengan penyediaan peranti, internet dan kandungan pembelajaran yang sesuai serta penyediaan bahan-bahan kendiri (hands-on).
Baca juga:Kolaborasi kreatif guru secara maya, semarakkan semangat patriotisme murid
Ibu bapa perlu melibatkan diri dalam pengalaman teknologi anak-anak dengan memainkan peranan dalam pemilihan video, menonton bersama-sama dan memantau screen time. Ini juga memberi peluang untuk ibu bapa memeriksa kandungan bahan yang diakses dan mengeratkan ikatan melalui interaksi bersama tentang dunia siber, terutamanya apabila kecerdasan teknologi anak-anak melatih mereka lebih yakin untuk menerangkan apa yang dipelajari kepada ibu bapa.
Walau bagaimanapun, jika dilihat kepada fitrah anak kecil sendiri, mereka sukakan sesuatu yang interaktif seperti televisyen. Maka kebergantungan kepada peranti mungkin boleh diganti dengan alternatif seperti rancangan televisyen kanak-kanak berunsurkan keseronokan seperti nyanyian, tarian, kerja seni dan kraf seperti Sesame Street, The Wiggles dan Mister Maker. Mungkin sudah tiba masanya untuk kita mengembalikan rancangan seperti Cumi dan Ciki, A.L.O.N.G, Krayon yang satu ketika dahulu pernah mewarnai dunia pembelajaran kanak-kanak dengan riang.
Bagi mencapai objektif Falsafah Pendidikan Negara, para pendidik tadika/taska juga perlu menyiapkan diri dengan kemahiran pengajaran secara dalam talian dan pengendalian teknologi agar proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berjalan dengan lancar. Komitmen dan fleksibiliti pendidik adalah penting dalam menjamin kesinambungan pendidikan semasa taska beroperasi dalam keadaan terhad.
Tidak dinafikan banyak juga taska/tadika telah mula menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) masing-masing, malah ada yang menyediakan kit aktiviti kanak-kanak setiap minggu untuk dihantar ke rumah ibu bapa. Ini membuka peluang kepada kumpulan masyarakat yang masih terbatas dengan teknologi, di mana latihan masih boleh diteruskan di atas kertas bercetak dan ibu bapa masih boleh terlibat dengan bertanya apa yang dipelajari dan minta mereka terangkan supaya secara tidak langsung boleh meningkatkan tatabahasa dan keyakinan diri mereka.
Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/
Pendidikan kanak-kanak pasca-pandemik
Tidak dinafikan bahawa pedagogi dan kaedah pembelajaran dan pengajaran akan berubah secara total pasca-pandemik. Kanak-kanak kini sudah terbiasa dengan suasana dan disiplin di rumah. Pihak taska/tadika perlu bersedia dan mula merancang pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang lebih mesra dan sesuai dengan situasi. Ibu bapa juga selain daripada memastikan anak-anak mengikut kelas, mereka juga perlu memainkan peranan aktif seperti menunjukkan contoh yang terbaik dan menyokong setiap inisiatif yang dilaksanakan pihak taska.
Sudah tentu pengubahsuaian dan fleksibiliti perlu diambil kira mengikut tahap umur dan keupayaan kanak-kanak secara individu dan ini memerlukan ibu bapa dan pendidik membuat cross-reference ke atas penanda aras perkembangan kanak-kanak yang telah ditetapkan oleh JKM setiap bulan supaya kanak-kanak yang ketinggalan dapat mengejar kembali agar sama tahap perkembangan dengan rakan sebaya mereka.
Kesimpulannya, penutupan taska mempunyai kesan yang lebih signifikan terhadap kesejahteraan banyak pihak, khususnya bagi kanak-kanak dengan keperluan pendidikan khas dan mereka yang bergantung kepada perkhidmatan sokongan sosial dan emosi yang disediakan oleh taska/tadika. Walaupun Malaysia masih dikira terkedepan berbanding banyak negara lain dalam aspek tertentu, masih banyak yang perlu diusahakan untuk PdPR golongan generasi muda ini.
COVID-19 yang muncul secara mendadak dan masih berterusan membuktikan sebenarnya sistem pengajaran dan pembelajaran kita masih konvensional. Membuat anjakan paradigma sememangnya sukar, apa lagi dengan pelbagai kekangan melibatkan teknologi dan kemahiran dalam keadaan tergesa-gesa. Namun begitu, jika kita tidak mengikut arus semasa, dibimbangi kita lelah menongkah arus dan kekal berada di takuk yang sama sahaja.
Artikel Sumbangan:
Ts. Dr. Ismaniza Ismail,
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran
Fakulti Sains Gunaan,
Universiti Teknologi MARA
Hj. Muhammad Shukri Nor Mokles
Pengerusi, Persatuan Cakna Anak Malaysia/
Pakar Industri, Bidang Pendidikan Awal
Kanak-Kanak