Untitled design (1)
Untitled design (1)

Penyakit ‘tak faham’ ganggu diri pelajar

A
A
A

Setiap pelajar mempunyai tahap IQ yang berbeza. Daya kebolehan berfikir dalam menjana sesuatu idea tidak sama. Tempoh masa yang diambil untuk memahami sesuatu perkara juga berbeza-beza. Ada pelajar yang cepat dan ada juga pelajar yang sukar untuk memahami.

Dalam proses pembelajaran, situasi di mana seseorang tidak memahami sesuatu topik itu bukanlah satu perkara pelik.

Inilah yang dinamakan proses pembelajaran. Seseorang tidak akan merasai cabaran sekiranya proses pembelajaran mereka berjalan dengan lancar.

Namun, sejak sesi Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR) dilaksanakan, ramai pelajar mengalami kesulitan untuk memahami topik yang dipelajari.

Lebih mengecewakan ada segelintir pelajar hanya membiarkan sahaja diri mereka dikuasai penyakit ‘tidak faham’ ini tanpa mahu melakukan usaha untuk ‘merawat’.

Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Oleh itu para pelajar perlu memainkan peranan dan tanggungjawab sebagai pelajar untuk keluar dari masalah ini.

Berikut GPSBestari kongsikan cara untuk ubah pemikiran negatif adik-adik

1) Jangan terlalu memaksa diri

Adik-adik tidak boleh terlalu memberi tekanan kepada otak untuk berfikir. Lalui sahaja proses pembelajaran secara santai.

2) Luangkan sedikit masa

Apabila otak berada dalam keadaan tenang, barulah adik-adik, meluangkan sedikit masa untuk mengulangkaji kembali topik yang tidak difahami.

3) Jangan pedulikan persepsi sekeliling

Ramai yang mengalami situasi di mana orang sekeliling menganggap diri mereka ‘bodoh’. Oleh itu, abaikan tanggapan mereka dengan cara membuktikan kepada mereka bahawa adik-adik mampu berjaya.

4) Jangan ulang perkataan ‘aku tak faham’

Cara ini sangat penting kerana otak kita mudah dikuasai oleh apa yang dituturkan. Oleh itu, adik-adik perlulah mengubah kebiasaan dengan menyebut perkara-perkara positif sahaja.

5) Ubah cara berfikir

Adik-adik mestilah mula mengubah cara berfikir. Jangan menganggap apa yang dipelajari itu susah namun sentiasa pegang kata-kata ‘tidak ada yang mustahil jika seseorang itu ingin belajar’.

Diharap dengan perkongsian ini dapat membantu para pelajar yang sering membandingkan kebolehan diri dengan orang lain dan pada masa yang sama dapat merawat penyakit ‘tidak faham’ yang kian bermaharaja dalam diri.

Jangan biarkan pemikiran negatif mengawal hidup adik-adik kerana tidak ada penyakit yang tidak ada penawar.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan