Perkara asas yang perlu diketahui sebelum membeli komputer riba terpakai

webadmin
14 Jul 2021 08:22pm
A
A
A

Komputer riba masa kini bukan lagi menjadi satu barang pilihan tetapi sudah menjadi sebuah keperluan.

Ditambah lagi dengan keadaan masa kini di mana kebanyakan pelajar perlu menggunakan teknologi demi memudahkan mereka untuk mengikuti pelajaran.

Namun, tidak semua mampu untuk memiliki komputer riba yang baharu kerana harganya yang agak mahal lebih-lebih lagi ketika ini kebanyakan harga komputer riba telah naik sekali ganda.

Oleh itu, membeli komputer riba yang terpakai menjadi opsyen yang terbaik buat mereka yang kurang berkemampuan.

Sebenarnya membeli komputer terpakai boleh jadi perkara yang sangat menguntungkan kerana anda akan mendapat komputer yang berfungsi sepenuhnya dengan kos yang lebih rendah.

Meskipun begitu, mendapatkan komputer riba terpakai mempunyai risiko dan terdapat pelbagai pemeriksaan serta langkah berjaga-jaga yang harus diambil. Jadi mari ikuti perkara-perkara yang perlu diketahui sebelum membeli komputer riba.

1) Spesifikasi

Sebelum membeli, kita terlebih dahulu perlu memastikan akan spesifikasi komputer riba yang hendak dibeli sesuai dengan aplikasi yang hendak digunakan.

Pastikan anda semak terlebih dahulu keperluan sistem minimum aplikasi yang hendak digunakan.

Jangan sesekali terpukau dengan istilah-istilah yang digunakan oleh penjual seperti komputer yang dijual merupakan komputer “gaming” ataupun komputer tersebut menggunakan cip pemproses i7 atau i5.

gambar hiasan

Ini kerana cip pemproses sebenarnya mempunyai banyak generasi dan cip pemproses i7 generasi pertama sebenarnya sudah tidak mampu lagi untuk mengendalikan kebanyakan aplikasi-aplikasi terkini.

Pastikan anda tahu aplikasi apa yang hendak digunakan. Sebagai contoh, jika ingin menggunakan aplikasi untuk menyunting video, pastikan komputer anda mempunyai spesifikasi yang lebih tinggi daripada keperluan sistem minimum aplikasi yang ingin digunakan.

Cara mudah untuk menyemak keperluan sistem minimum aplikasi yang ingin digunakan adalah dengan membuat carian di Google: “Minimum system requirement for Photoshop”, jika anda ingin menggunakan Photoshop.

2) Sistem Pengoperasian

Dinasihatkan sistem pengoperasian minimum yang boleh anda dapatkan adalah Windows 8 dan ke atas.

Ini kerana, sistem pengoperasian yang lebih tua seperti Windows 7 telah pun ditamatkan sistem sokongan oleh pihak Microsoft. Oleh itu, anda mungkin bakal menghadapi masalah apabila ingin mengemas kini “driver-driver” perisian kelak.

gambar hiasan

Anda juga mungkin tidak dapat menggunakan perkakasan luar komputer seperti mesin pencetak jika mesin tersebut memerlukan anda untuk mengemas kini “driver” perisiannya di dalam komputer.

3) Lihat keadaan fizikal terlebih dahulu

Pastikan tiada kerosakan fizikal yang terdapat pada komputer riba tersebut terutama sekali bahagian skrin.

Pastikan juga “hinge” komputer tersebut dalam keadaan baik. Bagi yang tidak tahu “hinge adalah engsel yang menyambungkan “motherboard” dan juga skrin komputer riba.

contoh hinge laptop yang telah rosak

Bagi memastikan engsel tersebut dalam keadaan baik, cuba buka terlebih dahulu dan dengar jika ada sebarang bunyi “krek” kedengaran. Lihat juga jika terdapat sebarang benda seperti gam yang diletakkan, mungkin untuk menyembunyikan sebarang kerosakan pada engsel tersebut.

Jika hinge tersebut pernah patah, walaupun telah dibaiki (bukan digantikan dengan yang baru) masalah tersebut akan berulang kembali dalam masa yang singkat.

Untuk yang membeli secara atas talian, pastikan anda membaca ulasan daripada pembeli terlebih dahulu mengenai keadaan fizikal komputer tersebut.

Membeli komputer riba terpakai sebenarnya tidaklah terlalu sukar.

Dengan mengetahui beberapa perkara asas ini, anda sebenarnya dapat mengelakkan daripada melakukan pembelian yang akan dikesali pada kemudian hari.

Sumber: Youtube Monalizapc

Artikel berkaitan 

5 tip mudah skor A+ Matematik SPM, pelajar pasti boleh buat!

Ustaz Quszaini kongsi 4 kaedah mudah hafal surah

7 punca anak-anak jadi pembuli, ibu bapa mesti tahu


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan