Little boy playing a mobile game against his sister
Little boy playing a mobile game against his sister

Permainan dalam talian: Melalaikan atau memberi kebaikan?

Roshlawaty Md Raieh
16 Jun 2021 12:18pm
A
A
A

Kebelakangan ini kita sering disajikan dengan isu permainan dalam talian yang dilihat mendatangkan banyak kesan buruk dalam kehidupan terutamanya pelajar.

Mungkin pada mulanya mereka sekadar suka-suka tetapi bila sudah mula ketagih, ia pastinya akan melalaikan.

GPSBestari mengupas topik ini dengan mendapatkan pandangan dua orang pakar dalam bidang masing-masing.

Pakar Motivasi, Ili Abdullah berkata, kebanyakan pelajar yang bermain permainan dalam talian sebenarnya sekadar mahu mengisi masa lapang dan ingin mencuba.

“Mereka tidak mahu ketinggalan trend sekarang. Sebab itu, pelajar cuba bermain dan berusaha berada dalam kelompok gamers itu sendiri.

“Aplikasi permainan online hari ini boleh dikategorikan aplikasi permainan untuk pendidikan dan aplikasi keseronokan dan hiburan. Jadi, pelajar perlu bijak membezakan antara kedua-duanya,” kata Ili.

Ili

Beliau berkata, permainan online kebanyakkannya dibina untuk mengaut keuntungan.

“Dua kayu ukur untuk mencapai objektif mereka iaitu More Playing Users (MPU) dan More Online Time  (MOT). Lebih ramai dan lebih lama pemain bermain objektif mereka tercapai.

MPU dan MOT ini hanya tercapai bila aplikasi permainan mereka berjaya melalaikan semua. Selain itu, ramai gamers juga lalai ketika mengikuti live streaming.

“Ada sesetengah gamers yang mahu menjadi lebih hebat mengikuti live streaming gamers senior hingga mengambil masa tiga ke enam jam,” jelasnya.

Menurut Ili, pelajar yang terlalu leka dengan permainan dalam talian ini akan menjadikan kehidupan mereka tidak normal.

“Sebagai pelajar, mereka perlu mengutamakan pelajaran dan selalunya pelajaran hampir lenyap dalam peta kehidupan masing-masing bagi mereka yang lalai.

“Bayangkan ketika berada di sekolah, pelajar akan tetap bercerita perihal permainan online. Ketagihan dan kelalaian ini akan menyebabkan waktu makan dan tidur tidak menentu.

 

“Ini suatu yang sangat tidak normal dan boleh mendatangkan mudarat. Ketaksuban sehingga melalaikan dek permainan online memang akan menyebabkan rutin dan kitaran hidup pelajar rosak,” katanya.

Sedikit harapan dan nasihat Ili untuk mereka yang aktif dalam permainan online.

“Kepada pelajar, besar harapan saya agar anda sedar objektif utama syarikat pengeluar aplikasi permainan online adalah mengaut keuntungan. Janganlah kalian memperjudi pelajaran dan masa depan sendiri.

“Secara fitrahnya, tiada manusia suka digelar bodoh, namun dalam sedar tak sedar kita telah membuktikan kebodohan diri kepada ibu bapa, guru-guru dan orang sekeliling dengan kelalaian bermain game.

“Mengejar keseronokan sementara dan kemasyhuran yang tak ke mana sehingga mengorbankan pelajaran dan masa depan adalah suatu tindakan bodoh.

“Hidup bukannya lama. Hidup sekali sahaja. Mari kita jadi orang bijak dan jangan biarkan permainan online menjadi cerita besar dalam lipatan sejarah kemusnahan hidup anda,” ujarnya.

Jangan terlalu leka, hadkan diri bermain dalam talian

"Lalai atau tidak, ia bergantung kepada beberapa faktor.”

Demikian kata Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Sukan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Abu Ubaidah Amir Norazmi berkenaan perkara ini.

Katanya, pemain permainan dalam talian perlu memahami apakah matlamat dan kesan kepada kehidupan seharian sekiranya mereka beri tumpuan 100 peratus.

“Jika ia memberi kesan negatif seperti renggangnya hubungan sosial, tidak dapat menyiapkan tugasan dan berlaku kemerosotan prestasi akademik, ia jelas sesuatu yang melalaikan dan perlu diatasi segera,” ujarnya.

Dr Abu Ubaidah

Walaupun melekakan, namun beliau mengakui masih ada pemain yang menjana pendapatan lumayan.

“Tidak dinafikan permainan dalam talian ini dapat memberi pendapatan lumayan. Selain mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa, memenangi kejohanan dunia dan dihormati oleh gamers dari negara lain, hadiah yang dimenangi juga boleh mencecah jutaan ringgit. Inilah hasilnya apabila anda terlibat secara serius.

“Apabila kita melakukan kerja dengan bersunguh-sungguh, segala kerja menjadi teratur, berstrategi, kreatif dan komited dalam mencapai objektif,” tambahnya.

Ditanya mengenai mental pemain yang tidak berkembang kerana asyik dengan dunia permainan, ini kata Dr Abu Ubaidah.

“Kajian menunjukkan pemain menghabiskan masa antara dua hingga 12 jam sehari dan prestasi akademik mereka yang bermain permainan dalam talian kurang dari empat jam seminggu adalah lebih baik daripada yang bermain lebih dari empat jam seminggu.

“Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Kesihatan Awam pada 2019 pula menunjukkan orang yang ketagihan terhadap mobile gaming lebih terdedah menghadapi depresi, kegelisahan, dan kesunyian.

“Oleh itu, disiplin masa adalah penting untuk merendahkan risiko-risiko ini. Dengan disiplin masa, para pelajar boleh meluangkan lebih banyak masa untuk berinteraksi dengan dunia luar dan menambah pengetahuan lain,” tuturnya.

Dr Abu Ubaidah menasihatkan semua pemain agar membuat pengawalan kendiri.

“Ketagihan permainan dalam talian adalah serius yang memerlukan perhatian daripada pelbagai pihak.

“Tetapkan masa untuk bermain dan tidak berlebihan, tetapkan peraturan tiada gajet dalam bilik, lebihkan bersosial di luar dan tambah aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian.

“Kajian juga menunjukkan risiko kematian adalah lebih tinggi jika menghabiskan masa dengan baring atau duduk melebihi sembilan jam sehari.

“Berdiri dan berjalan selama tiga ke lima minit setiap 20 atau 10 minit setiap dua jam dapat merehatkan badan daripada bebanan di hadapan skrin televisyen atau komputer,” ulasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan