joshua-sortino-LqKhnDzSF-8-unsplash (1)
joshua-sortino-LqKhnDzSF-8-unsplash (1)

Persediaan ekonomi digital di Malaysia pasca Covid-19: Satu pencerahan ke arah masyarakat digital

webadmin
05 Oct 2021 02:35pm
A
A
A

Aktiviti ekonomi global, termasuk Malaysia terus berhadapan dengan cabaran yang getir berikutan pandemik Covid-19 yang belum ada kesudahannya setakat ini.  Secara tidak langsung, agensi kerajaan mahupun swasta berhadapan dengan kesukaran dalam menjalankan aktiviti serta program. Kebanyakan interaksi harian yang berupa aktiviti ekonomi serta sosial rata-ratanya terpaksa dijalankan secara maya. 

Namun jika dilihat dari sudut positif, pandemik Covid-19 yang sedang menular ini, ditambah dengan pelbagai jenis kawalan pergerakan oleh pihak kerajaan, telah memaksa pertumbuhan ekonomi digital melalui pewujudan perniagaan baharu secara digital sekali gus mendorong kebanyakan perniagaan tradisional secara fizikal beralih kepada perniagaan dalam talian. 

Pendigitalan berlaku dengan begitu pantas dan meluas sehingga melangkaui jangkaan yang secara tidak langsung, menyokong perancangan kerajaan seperti yang digariskan dalam rangka tindakan ekonomi digital Malaysia. Oleh itu, tidak dinafikan bahawa pertumbuhan ekonomi dunia semakin dipacu oleh pendigitalan dan Malaysia akan ketinggalan dalam ekonomi global jika kita semua tidak bersedia untuk berubah. 

Ketika ini, pandemik Covid-19 telah menjadikan ekonomi digital semakin penting dalam memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi terutamanya. Ia telah mendorong pihak kerajaan, swasta dan masyarakat global meningkatkan usaha dalam menguasai teknologi digital demi peningkatan taraf hidup dan kemakmuran rakyat seluruh nya. Pendigitalan dalam pelbagai aspek kehidupan kini menjadi nadi kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial negara.

Melihat kepada kepentingan ekonomi pendigitalan di Malaysia, kerajaan telah memperkenal MyDIGITAL sebagai satu inisiatif negara ke arah transformasi Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi yang berpacukan teknologi dan pendigitalan. Ia juga berhasrat sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital. Inisiatif ini berperanan sebagai penanda aras bagi merealisasikan Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 (RMKe-12).

Selain itu, bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan dalam gelombang pendigitalan, MyDIGITAL telah menggariskan rancangan untuk mempercepat pencapaian Malaysia sebagai negara ekonomi maju dari segi teknologi iaitu melalui Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM). Kerajaan juga mendapati bahawa terdapat banyak peluang yang boleh diraih, sekiranya kita menguasai ekonomi digital, sekali gus mencapai matlamat jangka panjang seperti yang digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Sejajar dengan hasrat kerajaan dalam memacu aktiviti pendigitalan di Malaysia, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) turut serta berperanan dalam memacu transformasi ekonomi digital Malaysia. MDEC merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang  diberi mandat  untuk membantu rakyat Malaysia meningkatkan kemahiran digital, memperkasa perniagaan ke arah pendigitalan serta mendorong pelaburan sektor digital.

Justeru itu, MDEC telah mengembangkan dan melaksanakan pelbagai inisiatif dan program digital sebagai penggerak pertama dalam membentuk semula Malaysia sebagai pengeluar kandungan dan perkhidmatan digital yang inovatif  demi mencapai objektif yang telah digariskan.  

Pada awal tahun ini, Malaysia telah melancarkan Pelan Induk Digital ASEAN 2025 (ADM2025). ADM2025 menyenaraikan lapan sasaran utama dalam mempercepat pemulihan ASEAN daripada COVID-19. Ini termasuklah peningkatan kualiti dan capaian infrastruktur jalur lebar, penyampaian perkhidmatan digital yang dipercayai, pasaran kompetitif yang mampan untuk penawaran serta peningkatan kemampuan perniagaan dan rakyat mengambil bahagian dalam ekonomi digital serta bersifat inklusif. 

Selain dari Pelan Induk Digital Asean 2021 (ADM2025) kerajaan juga telah melancarkan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk meningkatkan kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi di seluruh negara. Inisiatif ini adalah bagi mempercepat pelaksanaan 5G yang akan memacu pembangunan ekonomi digital Malaysia sekaligus membentuk masyarakat digital.

Justeru, adalah disarankan usahawan dan peniaga di Malaysia merancang dan bersedia untuk beralih kepada ekonomi digital dan memanfaatkan pelbagai inisiatif yang dirangka kerajaan melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) ini. 

Selain itu, individu juga perlu melengkapkan diri dengan kemahiran digital supaya mereka boleh seiring dengan rakyat negara maju yang lain kerana keperluan automasi serta kecanggihan teknologi berubah dengan begitu pantas sekali.  Ilmu ini tidak terhad kepada golongan isi rumah berpendapatan tertentu sahaja kerana ia bersifat keperluan asas dan bukannya dikategorikan sebagai barang (ilmu) mewah untuk golongan kayangan.

Namun persoalan yang timbul, dengan perancangan yang begitu gah, bagaimana pula persediaan dari segi latihan yang menyeluruh kepada setiap warga Malaysia terutamanya untuk generasi Z dan Alpha mengambil kira generasi-generasi pelapis ini suka kepada sesuatu yang berkaitan dengan teknologi? Jika dilihat kepada Teras 4, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, iaitu membangunkan bakat digital yang tangkas dan kompeten, empat strategi telah digariskan termasuklah mengintegrasikan kemahiran digital dalam pendidikan rendah dan menengah, serta melatih semula tenaga kerja. Walau bagaimana pun, ini sudah tentu melibatkan pembangunan semula kurikulum pendidikan negara dan mengambil masa.

Untuk ini, usaha Universiti Teknologi Mara (UiTM) boleh dipuji kerana mengambil langkah ke depan apabila memperkenal kursus Digital Workforce sejak tahun 2017 di bawah seliaan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan. Kursus ini memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari ilmu ekonomi digital dan memberi perkhidmatan dengan skil yang ada pada setiap mahasiswa kepada pelanggan-pelanggan dari seluruh dunia yang memerlukan perkhidmatan mereka. Ini termasuklah memenuhi permintaan perkhidmatan menyiapkan tugasan yang mudah dilakukan seperti memasukkan data, hinggalah kepada urusan perniagaan lain secara digital yang memerlukan kemahiran yang tinggi.  Segala urusan dilaksanakan di atas talian dengan menggunakan platform kerja digital yang dipercayai. Ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk mendapatkan sumber pendapatan yang baik sesuai dengan bakat dan usaha yang ada pada mereka. 

Oleh itu, pihak Kementerian Pengajian Tinggi seharusnya memikirkan dengan teliti bagi membolehkan kursus ini diterapkan sebagai kursus teras universiti bagi membantu mahasiswa lain memperkaya kemahiran digital serta bersedia memberikan khidmat kepakaran mereka kepada pelanggan dari seluruh dunia. 

Begitu juga dengan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam perancangan menerapkan ilmu digital ini seperti yang telah digariskan dalam RTEDM. Mewujudkan lebih banyak sekolah digital dapat melahirkan generasi yang berdaya saing, kreatif dan inovatif. Pada masa yang sama, kementerian lain yang terlibat perlu mempergiatkan usaha dengan bekerjasama bersama MDEC dalam memberi latihan kepada seluruh warga Malaysia terutamanya golongan B40 supaya golongan rakyat ini tidak tercicir dalam arus perkembangan ekonomi digital.

Apa pun, harus diingat bahawa ekonomi digital bukan hanya tanggungjawab kerajaan tetapi juga menjadi tanggungjawab semua.  Ini adalah asas ke arah kesepaduan merealisasikan hasrat kerajaan dalam mewujudkan masyarakat digital. Selain dari promosi yang agresif oleh pihak kerajaan, rakyat perlu peka dengan program-program yang dianjurkan dan merebut peluang atas segala usaha yang dijalankan agar manfaat ekonomi digital dapat dirasai oleh semua. Hanya dengan kerjasama dari semua pihak, maka pelaksanaan ke arah ekonomi digital yang mampan akan tercapai.

 

Penulis 1 : Zarina Begum Ebrahim

Pensyarah Kanan

Fakulti Pengurusan dan Perniagaan

UiTM Kampus Bandaraya Melaka             

Penulis 2 :  En. Norazlan Anual

Pensyarah Kanan

Fakulti Pengurusan dan Perniagaan

UiTM Kampus Bandaraya Melaka

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan