image
image

Perspektif seorang guru: Proses pengajaran tidak lagi seperti dulu, semuanya berubah 100 peratus!

webadmin
26 Jun 2021 09:32pm
A
A
A

Sambil Malaysia menyambut Hari Guru pada bulan ini, sewajarnya kita mengimbas kembali tahun lepas yang dialami oleh ramai warga pendidik.

Ramai guru pasti bersetuju bahawa memang berat memikul tanggungjawab sebagai seorang pendidik pada 2020.

Kami terkapai-kapai menyempurnakan tugas kami, dibelenggu pelbagai persoalan dan perasaan bimbang – Bagaimana untuk mengadakan kelas secara  maya? Bagaimana dengan pelajar yang tiada capaian internet? Bagaimana jika sekolah membuat keputusan untuk tidak dibuka lagi?

Kami mungkin tidak mempunyai segala maklumat, tetapi kami sentiasa sanggup melakukan apa sahaja untuk menyesuaikan diri dan memberi inspirasi kepada pelajar di bilik darjah.

Jika anda salah seorang daripada guru yang menghadapi cabaran dalam realiti baharu yang sukar diterima ketika itu, perkongsian ini adalah anda.

Menjadi pendidik dalam suasana pandemik

Bagi diri saya, salah satu cabaran paling besar ialah membahagikan masa antara mengajar, berhubung dengan pelajar, tugas pentadbiran lain dan menjaga diri sendiri.

Bagi sesetengah guru lain, mereka juga perlu menjaga anak kecil mereka di rumah.

Memenuhi keperluan pelajar, keluarga dan rakan-rakan, sambil menjadi guru dalam suasana pandemik ternyata memerlukan usaha yang sungguh luar biasa.

Hakikatnya, langkah menjaga kesejahteraan diri sendiri adalah amat penting lebih-lebih lagi untuk menjadi seorang pendidik yang berkesan.

Saya perlu belajar untuk mengawal emosi dan menjaga kesihatan mental sebelum saya boleh mempelajari cara menjaga pelajar saya dan guru-guru lain.

Keadaan ini juga membuatkan saya sedar betapa pentingnya peranan kami sebagai pendidik untuk menyediakan peralatan yang sesuai dan sokongan berterusan kepada pelajar yang turut menghadapi tahun yang luar biasa ini.

Di kemuncak pandemik tahun lepas, ramai pelajar menghadapi masalah pembelajaran dalam talian kerana sambungan internet kurang baik dan ketiadaan peranti elektronik.

Malah, lebih satu pertiga atau 36.7% daripada pelajar di Malaysia langsung tiada capaian kepada peralatan elektronik, manakala yang lain pula tidak dapat hadir ke kelas kerana perlu membantu keluarga mencari nafkah semasa pandemik.

Kesannya ialah mereka rasa tertekan, kurang bersemangat, keseorangan dan buntu.

Sebagai pekerja barisan hadapan dalam sistem pendidikan, guru-guru merasakan mereka perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan pelajar dengan bersikap prihatin terhadap mereka sebagai individu dan insane dan bukan hanya sebagai pelajar.

Akhirnya, ini akan membantu mendorong dan menarik minat pelajar dalam mata pelajaran yang diajar, tanpa mengira kaedah pengajaran.

Walaupun saya sendiri mengalami masalah untuk beralih kepada struktur pendidikan baharu, saya juga mendapati bahawa pendidikan ialah komunikasi dua hala di mana guru-guru juga merupakan pelajar yang perlu belajar.

Mempelajari cara baharu untuk berhubung dengan pelajar dan mendalami semula sesuatu topik menerusi pelbagai bahan pengajaran sebenarnya membuka hati dan minda golongan pendidik dan pada masa yang sama, mereka menjalankan tugas mereka dengan penuh bertanggungjawab dan kegembiraan.

Saya juga amat kagum dengan kesediaan guru-guru senior belajar mengguna pakai teknologi semasa mengajar kerana pandemic membuka peluang kepada warga pendidik dan pelajar untuk meningkatkan kemahiran IT masing-masing.

Bagaimana kita memastikan pembelajaran yang sedia untuk masa depan?

Menyediakan pendidikan yang sedia untuk masa depan bermula dengan diri kita sendiri.

Sebagai masyarakat yang semakin maju, kita perlu mengubah ketetapan minda kita terhadap pendidikan dan memainkan peranan kita untuk memberi lebih penekanan kepada kemahiran hidup.

Sejak dari mula lagi, para pendidik telah dilihat sebagai tunggak untuk membina generasi yang bingkas dan perkasa. Murid-murid datang ke sekolah kerana ia merupakan tempat yang selamat bagi mereka untuk belajar, membuat kesilapan dan mula sekali lagi.

Dalam dunia pandemik hari ini, sesungguhnya guru-guru perlu menyokong dan mendorong satu sama lain dan bekerjasama dengan menggabungkan sumber dan kepakaran untuk menambah baik pengalaman pelajar dalam proses pembelajaran berasaskan projek.

Dengan cara ini, pelajar boleh menyesuaikan diri bagi menghadapi dugaan dan lebih berupaya untuk terus mencari jalan penyelesaian bagi sebarang kerumitan atau krisis yang dihadapi – sama ada semasa menyiapkan latihan kerja sekolah atau mencari jalan untuk berhubung kembali dengan guru dan rakan sekelas.

Ini juga meringankan beban kita sebagai pendidik yang sentiasa bimbang dan terkesan oleh perubahan pantas yang berlaku akibat pandemik.

Apabila kita berbicara tentang usaha menyesuaikan pendidikan agar sedia untuk masa depan, kita tidak boleh mengabaikan keperluan yang semakin meningkat dari segi bantuan teknologi di sekolah-sekolah.

Ini bermakna capaian kepada peranti fizikal, sambungan internet dan pengetahuan tentang cara penggunaannya.

Apabila pandemik melanda, para pelajar yang tiada peranti untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian tertinggal di belakang dalam pengajian.

Malah ada yang tidak dapat mengikuti kelas sepanjang tempoh pengajian. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan mereka dari segi perkembangan akademik tetapi juga dari sudut mental.

Dengan bantuan teknologi, guru-guru boleh mengajar murid-murid bagaimana untuk mencari ilmu sambil memanfaatkan teknologi semasa yang boleh digunakan.

Pada hari ini, maklumat sahih, kajian penyelidikan dan bahan pembelajaran boleh didapati secara meluas dan mudah menerusi pencarian Google.

Sebagai seorang pendidik, kita perlu mengingatkan diri kita dan menyedari peluang yang diberikan untuk terus mengadakan kelas bagi pelajar sambil meningkatkan kemajuan diri.

Sebagai contoh, kami perlu mengubah tumpuan daripada seorang pendidik yang biasanya berperanan menyediakan bahan untuk pelajar kepada seorang pemudah cara.

Dengan memainkan peranan ini, pelajar dapat meningkatkan keyakinan bagi mengguna pakai teknologi, meningkatkan kepintaran digital dan belajar cara untuk memanfaatkan maklumat yang diperolehi dengan bijak.

Meneruskan perjalanan bersama-sama

Masa yang saya luangkan sebagai guru sekolah menengah berlalu dengan amatpantas, akan tetapi saya cukup beruntung kerana mendapat sokongan daripada Fellowin Teachfor Malaysia (TFM) dan 3M, yang membantu menaja masa yang saya luangkan mengajar sains kepada 150 orang murid saya.

Ada pepatah Inggeris yang berkata, “dunia memerlukan lebih banyak guru”, dan saya bertekad untuk bersama-sama rakan-rakan seperjuangan lain untuk terus mengajar. Banyak lagi aktiviti dan pengajaran untuk dikongsi bersama. Sebagai contoh, meningkatkan pendedahan kepada bidang STEM dan memperkenalkan isu-isu dunia sebenar dan topik seperti Matlamat Pembangunan Lestari, ideal keamanan dan isu global kepada pelajar.

Pada hari ini, ramai pemimpin belia dan tokoh yang menjadi sumber inspirasi mencari cara baharu untuk merencanakan masa depan yang lebih baik, dan saya percaya bahawa guru-guru adalah kunci yang membuka pintu kepada segala kemungkinan ini.

*****Lin Tan YenTzing (penulis) merupakan seorang guru Sains yang ditaja oleh syarikat Sains Global, 3M di bawah ProgramTeachFor MalaysiaFellowship pada 2019.

Sebelum memulakan perkhidmatan selama dua tahun di sebuah sekolah di daerah Selangor, YenTzing telah menerima ijazah Sarjana Muda Sains (Kimia) daripada Imperial College London.

Beliau kini sedang menantikan temu duga untuk menjadi guru tetap di sekolah menengah kerajaan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan