portal-buletin
portal-buletin

Program empowerNCER Akademik dalam Pendigitalan Pendidikan

Mariatul Qatiah Zakaria
02 Nov 2021 11:15am
A
A
A

Pulau Pinang – Program empowerNCER Akademik Pulau Pinang, sebuah program pendidikan holistik untuk mencapai kecemerlangan pendidikan dan kemahiran insaniah yang melibatkan seramai 1,300 pelajar dalam kalangan keluarga B40 di daerah Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Selatan, Timur Laut dan Barat Daya, Pulau Pinang, telah diadakan baru-baru ini.

Program di bawah inisiatif pembangunan modal insan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) itu dilaksanakan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM) dan USAINS Holding Sdn. Bhd. menerusi dua fasa.

Menurut Felo Penyelidik Kanan, Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat USM, Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, melalui program tersebut, penilaian keadaan semasa dan kekangan pembelajaran secara bersemuka telah dilakukan dan USM mengambil inisiatif untuk membekalkan tablet kepada semua peserta program.

Tambah beliau, tablet ini dilengkapi dengan modul pembelajaran yang dilaksanakan sepanjang program berlangsung dan ia membantu peserta dalam proses pembelajaran secara dalam talian.

“Program ini terbahagi kepada dua fasa, fasa 1 yang bermula Mac 2020 dan berakhir Oktober lalu manakala fasa 2 telah bermula dari Mac 2021 sehingga Oktober 2022.

“Program ini telah menyediakan tablet dan sumbangan data di kedua-dua fasa.

“Dengan ini aplikasi penggunaan pedagogi dan teknik pengajaran interaktif dapat dilaksanakan secara efektif dan memberikan kesan yang besar kepada proses pembelajaran peserta,” katanya.

Ujar beliau lagi, program tersebut turut memberi tumpuan untuk meningkatkan dan memperkasakan komuniti melalui akademik sebagai langkah untuk menyeimbangkan jurang taraf sosial masyarakat.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan