doctor-holding-preparing-vaccine-while-wearing-protective-equipment_23-2148847188
doctor-holding-preparing-vaccine-while-wearing-protective-equipment_23-2148847188

Pusat Pemberian Vaksin IPT kini beroperasi seluruh negara, ini cara universiti tangani Covid-19 hingga dapat pujian ramai

webadmin
09 Jul 2021 02:10pm
A
A
A

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menzahirkan komitmen Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membantu Pelan Pemulihan Negara yang merupakan strategi peralihan keluar secara berfasa Covid-19 yang diumumkan Perdana Menteri, baru-baru ini.

Salah satu daripada strategi untuk keluar daripada pandemik ini adalah dengan meningkatkan bilangan rakyat menerima suntikan vaksin setiap hari agar tempoh masa negara dapat mencapai imuniti kelompok dengan lebih pantas.

Universiti sebagai institusi pendidikan tinggi (IPT) yang berada di bawah KPT mempunyai keazaman yang sama untuk membantu negara keluar daripada pandemik ini.

Iltizam universiti dapat dilihat daripada langkah terkini dengan mengambil peranan besar sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Menurut KPT, sehingga 27 Jun lalu, sebanyak 26 PPV IPT beroperasi di seluruh negara dengan perancangan sebanyak 19 lagi PPV IPT akan dibuka.

Terkini yang mula beroperasi ialah PPV IPT Mega Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Gambar hiasan daripada Pixels.

Sebagai salah seorang daripada warga USIM, semestinya penulis gembira kerana universiti ini dipilih sebagai PPV IPT kerana ia menjadi satu lagi platform untuk membantu masyarakat khususnya di Negeri Sembilan mendapatkan suntikan vaksin.

Melalui PPV IPT Mega USIM ini, disasarkan sebanyak 3,000 penerima akan menerima suntikan vaksin sehari dengan 80 kakitangan USIM turut bertugas sebagai sukarelawan.

Penulis juga merasakan setiap IPT yang sudah beroperasi sebagai PPV atau akan beroperasi sedikit masa lagi berkongsi perasaan yang sama iaitu rasa bangga menjadi sebahagian daripada pihak yang dapat menyumbang secara langsung kepada usaha membentuk imuniti kelompok.

Di awal negara menghadapi gelombang pandemik Covid-19, kita menyaksikan universiti proaktif membantu menguatkan barisan hadapan dengan menghasilkan pelbagai inovasi yang boleh dimanfaatkan oleh mereka dan golongan yang terkesan.

Sekadar contoh, keprihatinan warga universiti membantu negara dan mendapat liputan meluas media adalah penghasilan cecair pembasmi kuman dan alat perlindungan diri.

Universiti mula main peranan

Apabila dilihat kembali semenjak negara mula dilanda Covid-19, universiti sudah mula memainkan peranannya sebagai institusi ilmu yang menawarkan kepakaran dan penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat.

Memandangkan pandemik ini sesuatu yang baharu dan impaknya pula dalam skala yang besar, secara logik pastinya universiti memerlukan sedikit masa untuk melakukan pengubahsuaian dalam aspek operasi dan pentadbiran, pembelajaran dan pengajaran, pembangunan mahasiswa, penyelidikan dan inovasi dan lain-lain perkara.

Tetapi tidaklah dalam tempoh ‘bertenang’ ini ia akan menghakis nilai akademia yang menjadi tunjang kekuatan universiti.

Gambar hiasan daripada Pixels.

Bukti pengubahsuaian yang dilakukan tidak menghilangkan ‘bisa’ universiti sebagai menara ilmu dapat kita sandarkan kepada beberapa pencapaian misalnya ranking universiti kita semakin bertambah baik, pengiktirafan yang diterima oleh ahli akademik atas kesarjanaannya daripada pihak dalam dan luar negara tidak pernah sunyi, malah bidang penyelidikan dan inovasi yang sinonim untuk universiti sentiasa terokai tidak pernah surut dalam tempoh yang sukar ini.

Saya akui ada segelintir pihak yang melihat selepas lebih setahun Covid-19 menjejaskan kehidupan alam kampus, universiti masih lagi terbelenggu dengan perkara melibatkan ‘operational’ yang dilihat membuang masa dan mengambil banyak tenaga seperti menguruskan prosedur pelajar pulang dan kembali ke kampus, kaedah pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran di rumah dan sebagainya.

Telahan ini pada anggapan penulis mungkin timbul kerana pihak yang prihatin ini menganggap apa yang dilakukan ini bukanlah kerja utama universiti, bagi mereka universiti seharusnya bertindak dan bekerja untuk isu yang lebih besar lagi daripada perkara-perkara kecil seperti ini.

Inilah cabaran semasa universiti dalam mencari titik keseimbangan memenuhi jangkauan masyarakat yang tinggi terhadap apa yang universiti dapat sumbangkan untuk membantu mereka berhadapan pandemik ini.

Gambar hiasan daripada Pixels.

Pasa masa yang sama, dalam keadaan sumber yang terhad, universiti juga mendepani cabaran tersendiri untuk memastikan kelangsungan operasinya, kualiti akademik, kebajikan warga kampus khususnya mahasiswa tetap terjaga dan terbela.

Tetapi itu bukanlah sesuatu yang menjadi tembok penghalang kepada universiti untuk terus memainkan peranan dan sikap terpuji kerana sesuatu yang pasti, universiti tidak pernah berputus asa untuk membantu negara untuk menang bersama melawan pandemik ini.

Maklumat penulis

Mohd Zaini Othman merupakan Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan