WhatsApp Image 2021-06-14 at 16.57.04
WhatsApp Image 2021-06-14 at 16.57.04

"Sampai bila saya nak jadi penoreh getah?" - Graduan pendidikan

Nor Azma  Muhamat Laila
17 Jun 2021 04:54pm
A
A
A

Menelusuri coretan hati anak jati Perlis yang bertimangkan nama Mohd Idzham Md Nor atau lebih mesra dipanggil Idzham ini menimbul pelbagai rasa terutama kegusaran mengenai nasib graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Universiti Awam (UA).

Anak kedua daripada lapan adik-beradik ini memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Moral dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak.

Setelah bergraduasi pada 2017, dia mengorak langkah dengan mengambil upah sebagai penoreh getah, atas dasar mahu mandiri dan membantu keluarga.

Namun begitu, langit tidak selalu cerah dan nasib tidak berpihak padanya ekoran daripada pasaran getah yang jatuh menjunam, sehingga mendesaknya untuk mencari pekerjaan baharu.

“Setelah bergraduasi, saya putuskan untuk ambil upah menoreh getah bersama ayah. Jika diimbas kembali, pasaran getah pada ketika itu tidak begitu baik. Hasil yang dituai juga perlu dibahagikan dengan empunya kebun. Lebih teruk lagi, hasil getah pernah dicuri beberapa kali sehari sebelum pengutipan getah.

“Ini sahaja (menoreh getah) periuk nasi kami, tetapi ada sahaja musibah yang selalu dihadapi. Keluarga saya bukan orang senang dan saya sedar perlu bantu mengubah nasib keluarga. Rakyat marhaen seperti saya ini perlu membanting tulang sekerasnya untuk terus hidup,” katanya kepada GPSBestari, baru-baru ini.

Idzham nekad berhenti sebagai penoreh getah bagi mengubah nasib keluarga.

Lantas, disebabkan dorongan mahu mengubah nasib keluarga, Idzham nekad untuk berhenti menoreh getah dan mencuba nasib sebagai guru ganti.

"Sampai bila saya harus bekerja sebagai penoreh getah. Bukanlah memilih pekerjaan atau memandang rendah kepada pekerjaan ini kerana saya juga dibesarkan dengan hasil titik peluh keluarga yang menoreh getah.

"Dalam kecanggihan teknologi yang ada pada ramai hari ini, masih ramai lagi penduduk kampung yang melakukan kerja ini tetapi mengambil kira pendapatan yang tidak seberapa, saya perlu membuat perubahan supaya dapat terus mencari pendapatan bagi menampung keperluan diri dan keluarga," tegasnya lagi.

Anak kelahiran utara Malaysia ini menjelaskan sudah banyak kali permohonan kerja dibuat tetapi semuanya dibiarkan tergantung sepi.

“Sedih, kecewa, marah. Inilah perasaan saya pada ketika itu. Namun, saya harus kekal tabah dalam mengharungi liku-liku pencarian pekerjaan. Terkadang, rasa kecewa menyelubungi diri tapi saya harus terus cekal demi keluarga saya.

“Syukur alhamdulilah, permohonan guru ganti di sebuah sekolah yang berhampiran akhirnya terjawab setelah menunggu beberapa ketika. Sedar tidak sedar, sudah tiga tahun saya berkhidmat sebagai guru ganti di sekolah ini dengan upah yang sederhana.

Idzham bersama rakan-rakan ketika mengikuti pengajian di UPSI.

Namun begitu, anak muda ini menjelaskan guru ganti hanya akan dipanggil sekiranya ada kekosongan, seperti guru yang cuti bersalin, pencen atau menjalani rawatan yang memakan masa. Jika tiada kekosongan maka dia tidak akan dipanggil untuk berkhidmat.

Menyedari keadaan itu, Idzham memaksimumkan kemampuan tulang empat keratnya itu dengan melakukan tiga pekerjaan dalam sehari pada 2018.

Siang berkerja sebagai guru ganti, malam sebagai guru tuisyen dan kerani. Hatta, disebabkan faktor ekonomi yang tampak mendesak, pusat tuisyen tersebut juga terpaksa gulung tikar setelah bertahan empat bulan.

“Saya sedar, pekerjaan guru ganti ini adalah bersifat sementara dan hanya akan dipanggil sekiranya ada keperluan.

“Jadi, pada tahun 2019, saya memohon pekerjaan seperti kerani, guru swasta dan beberapa kerja lain tetapi permohonan saya selalu ditolak disebabkan saya adalah graduan pendidikan malah majikan berpandangan saya hanya bekerja dalam tempoh singkat," jelasnya lagi.

Idzham menjelaskan dia pernah memohon jawatan sebagai guru interim di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan guru kontrak unjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA), tetapi nasib selalu tidak berpihak kepadanya.

Lebih menyedihkan, setelah ditemu duga sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP DG41) beberapa tahun yang lalu, keputusan juga tidak menyebelahinya.

Idzham memulakan perniagaan kecil-kecilan di rumah dalam bidang grafik dan percetakan.

“Tipulah kalau tak sedih. Empat tahun pengajian dalam profesion perguruan, latihan mengajar lima bulan dan pengalaman sebagai guru ganti, tetapi bila temu duga tidak berjaya. Apa yang pihak penemuduga nilai sebenarnya?

“Persoalan ini kerap bermain di fikiran tiap hari. Setelah gagal temu duga guru, saya terus daftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan memulakan perniagaan kecil-kecilan di rumah dalam bidang grafik dan percetakan," kongsinya lagi.

Tuah ayam nampak dikaki, tuah manusia siapa yang tahu. Peribahasa itu adalah gambaran tepat bagi dirinya. Siapa sangka, lulusan sarjana muda pendidikan juga mampu terjun ke dunia usahawan.

Menurutnya, fasa awal memulakan perniagaan adalah amat mencabar sekali disebabkan kedangkalan ilmu dalam bidang tersebut tetapi disebabkan wawasan yang tertanam dalam dirinya, anak muda ini pandai menyelam air dangkal dan kerap bertanya sekiranya tidak tahu.

Berlayar sambil memapan. Inilah usaha gigihnya demi kelangsungan hidup dengan melakukan dua pekerjaan dalam satu masa, iaitu guru ganti dan menguruskan perniagaan kecil yang sekadar berbumbungkan rumah pusaka keluarganya itu.

“Tahun 2020 adalah insiden hitam bagi saya. Semua sektor terjejas disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda negara. Sekolah terpaksa ditutup bagi mematuhi arahan kerajaan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sekolah juga tidak memerlukan guru ganti kerana kelas semua secara dalam talian.

“Suatu ketika saya rasa tertekan disebabkan keadaan semasa. Perniagaan juga tidak beroperasi disebabkan tiada keperluan pengguna. Semua orang bergelut dan terus bertahan demi kelangsungan hidup,” katanya dengan nada sayu.

“Siapa yang faham situasi ini? Saya sanggup buat dua kerja dalam satu masa sebab nak tampung diri dan keluarga. Meskipun pendapatan tak seberapa, saya tetap perlu kuatkan hati. Janji boleh bagi tampung makan minum, kongsi berkat dengan keluarga, itu sudah cukup,” tegasnya lagi.

Suasana sayu berubah tegang apabila penulis bertanyakan apakah faktor yang mendorong anak kelahiran Perlis ini sehingga sanggup melakukan pelbagai pekerjaan dalam satu masa.

“Saya memang nak jadi cikgu sejak di bangku sekolah lagi dan ini memang impian saya. Jadi, bila ada pihak minta saya lupakan hasrat untuk jadi cikgu, saya tak boleh terima sebab minat ini sudah mendalam. Ilmu pedagogi ini perlu diterapkan selalu supaya tidak berhabuk,” ujarnya dengan hiba.

Mengenangkan nasib Idzham yang empat tahun menunggu penempatan guru di sekolah, penulis mengajukan pertanyaan berkenaan cabaran yang dihadapi sepanjang fasa penantian tersebut.

“Ambil Pendidikan Moral? Kenapa tak ambil opsyen lain?

“Lama dah habis awat (kenapa) depa (KPM) tak panggil-panggil lagi? Sampai bila hang nak kerja macam ni?

“Anak saya ambik cikgu (perguruan) juga dekat IPG, tapi dia posting lama dah. Hang bila lagi?”

Itu antara kata-kata yang pernah dilemparkan kepada Idzham hanya kerana dia bergelar graduan ISMP UA.

Berdasarkan tinjauan penulis, isu kekurangan guru di Malaysia kerap disebut di media massa hampir setiap hari.

Sejauhmana kesahihan perkara itu, hanya pihak berkepentingan sahaja yang tahu. Lantas, penulis mengajukan pertanyaan berkenaan pandangan Idzham terhadap isu tersebut.

“Kalau kurang guru, serap sahaja graduan ISMP UA. Kami memang dilatih untuk jadi guru sepanjang empat tahun pengajian. Ada ramai lagi kami (graduan ISMP UA) yang berbaris menantikan panggilan sebagai guru di sekolah. Kalau perlu guru, serap sahaja kami sebab kami memang tak sabar untuk mengajar di sekolah,” rayunya agar diberikan perhatian.

Sebagai mengakhiri perbualan, Idzham berharap agar dia dan rakan-rakan seangkatannya akan dipanggil untuk berbakti di sekolah dalam jangka masa terdekat oleh KPM.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan