image
image

'Saya tak pandai pakcik, tapi emak selalu tekan supaya dapat 6A' - Luahan murid ini buat ramai sedih

Roshlawaty Md Raieh
26 Jun 2021 09:41pm
A
A
A

Pada 28 April lalu, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin telah membuat satu pengumuman yang mengejutkan ramai pihak.

Memansuhkan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula pada tahun ini dan membatalkan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pada 2021, menimbulkan pelbagai persoalan dan reaksi dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Tampil menjawab pertanyaan demi pertanyaan, Dr Mohd Radzi memberi penjelasan menerusi facebooknya pada 29 April lalu.

Ikuti apa kata beliau.

*****

“Sekarang ini saya takut, pakcik. Habislah saya kalau tak dapat 6A”

Penelitian mendalam KPM

Dalam sidang media, saya telah mengumumkan bahawa UPSR dimansuhkan mulai tahun 2021. Keputusan yang kami buat ini telah diteliti secara mendalam dan terperinci termasuklah mengambil kira pandangan daripada pihak berkepentingan melalui sesi Libat Urus yang menyeluruh.

Apabila UPSR tahun lalu dibatalkan, kami mula mengkaji dan meneliti secara holistik tentang pelaksanaannya, termasuk mengambil kira amalan terbaik sistem pentaksiran sekolah rendah di pelbagai negara seperti Finland, Norway, New Zealand dan Scotland. Kami juga telah mengadakan perbincangan demi perbincangan untuk mencari pendekatan terbaik dalam menilai pembangunan murid secara menyeluruh bagi memastikan murid diberikan ruang dan peluang untuk mengoptimumkan potensi mereka.

Pandangan guru, murid dan ibu bapa

Bagi sesi Libat Urus, kami bergerak dari sebuah negeri ke sebuah negeri untuk berbincang dan mendengar sendiri pandangan dan cadangan daripada guru, murid serta ibu bapa.

Secara keseluruhannya, sesi ini melibatkan hampir 2,000 orang peserta daripada kalangan guru Tahun Enam, guru besar dan wakil PIBG yang mewakili suara ibu bapa.

Mereka telah memberi input yang cukup bermakna buat kami.

Lebih unik lagi, kami juga turun ke sekolah bertemu dengan murid Tahun Enam dan mendengar sendiri luahan hati mereka tentang UPSR.

Ini adalah sesi perbincangan yang terbesar dan menyeluruh yang pernah dilaksanakan oleh KPM berkaitan pelaksanaan UPSR.

Kami dengar satu persatu pandangan dan luahan daripada pelbagai pihak tentang UPSR.

Masih segar dalam ingatan saya, salah satu keluhan seorang murid Tahun Enam semasa sesi Libat Urus,

“Pakcik, sekolah dah sampai petang. Balik pula, tuisyen sampai ke malam. Kalau asyik begini, bila masa kami nak main?”

Ada dalam kalangan ibu bapa dan guru menceritakan bagaimana mereka sewaktu di sekolah rendah dahulu dilihat sebagai seorang murid yang gagal kerana tidak mempunyai sebarang A. Namun, akhirnya mereka mula cemerlang di peringkat sekolah menengah dan universiti.

Tidak kurang juga yang menceritakan bagaimana sahabat mereka yang dahulunya di sekolah rendah tidak cemerlang dan jauh terbelakang akhirnya cemerlang dalam karier masing-masing.

Dalam menceritakan hal ini, seorang bapa berkata,

“Waktu UPSR dulu saya jauh lebih cemerlang. Tapi sekarang, dia dah belajar sampai PhD dan amat berjaya dalam karier. Bila masanya dia pandai, saya pun tak tahu!”

Seorang guru besar bercerita,

“Saya akan pencen beberapa bulan lagi. Saya telah menjadi guru besar selama 16 tahun. Malam ini saya hendak buat pengakuan bahawa sepanjang 16 tahun ini saya banyak “mencuri” masa mata pelajaran lain kerana ingin memberi tumpuan kepada mata pelajaran UPSR semata-mata. Saya menyesal kerana tidak berlaku adil kepada anak-anak. Saya mohon janganlah diteruskan UPSR ini. Biarlah anak-anak menimba pelbagai ilmu dalam suasana yang menyeronokkan.”

Beberapa orang guru yang mengajar subjek Sains berkata mereka tidak sempat untuk membuat eksperimen bagi menjadikan subjek tersebut lebih menyeronokkan kerana ingin menghabiskan silibus secepat mungkin.

Untuk apa?

Kerana selepas itu akan dibuat latih tubi berterusan sehinggalah hari peperiksaan. Sentimen ini dikongsi oleh ramai guru. Ada yang menyatakan bahawa fokus kepada latih tubi UPSR menyebabkan murid tidak mempunyai ruang untuk mendalami ilmu dalam mata pelajaran lain.

Guru sukan dan kokurikulum juga ramai yang terasa hati.

Kata mereka, murid Tahun Enam yang berpotensi dalam bidang kokurikulum dan sukan tidak dibenarkan diganggu dengan aktiviti sukan dan kokurikulum kerana tumpuan adalah kepada UPSR.

Banyak lagi perkongsian dalam sesi Libat Urus yang menyeluruh ini.

Antara yang paling menusuk hati adalah apabila saya bertanya kepada seorang murid.

“Pakcik nak tanya. Adik seronok tak ada UPSR?”

“Kalau boleh jangan ada UPSR pakcik.

“Mengapa dik?” ujar saya.

“Saya tak pandai pakcik. Tapi emak saya selalu tekan saya supaya dapat 6A.

Katanya lagi…

“Keluarga saya semua cemerlang UPSR. Tapi nak buat macam mana, saya dah cuba. Cuma saya tak pandai. Sekarang ini saya takut, pakcik. Habislah saya kalau tak dapat 6A”

Allahu, tersentak saya. Bergenang air mata.

Dalam hati kecil berkata…

“Sesungguhnya anak ini tertekan”.

Saya kata…

“Sabar dik. Adik ikhtiarkan yang terbaik. Perjalanan hidup adik masih jauh.

Anak itu sambung…

“Tapi saya takut pakcik!”.

Ini adalah sebahagian kecil perkongsian peserta sesi Libat Urus. Terlalu banyak input yang kami terima untuk dikongsi satu persatu di sini.

Demi generasi masa depan

Secara keseluruhannya, mengambil kira pandangan pelbagai pihak, kami amat yakin bahawa keputusan ini adalah yang terbaik. Bukan untuk kami, tetapi untuk generasi pewaris negara!

Saya sentiasa ingatkan pasukan di KPM bahawa setiap keputusan tentunya tidak akan memuaskan hati semua pihak.

Apa yang penting, setiap keputusan dibuat secara objektif dan bertunjangkan asas yang kukuh dengan analisis yang mendalam.

Sumber: Facebook Dr Radzi Jidin

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan