1039725 (1)
1039725 (1)

Sistem mata wang yang pernah digunakan di Malaysia

Mohd Khairi Mohamad YusriMohd Khairi Mohamad Yusri
23 Sep 2021 11:17am

Tahukah anda mata wang Ringgit Malaysia bukanlah mata wang yang pertama digunakan di negara kita kerana ia mula dikeluarkan secara rasmi pada 12 Jun 1967, bagi menggantikan Ringgit Malaya dan Borneo British.

Sebelum itu, terdapat banyak lagi mata wang yang digunakan oleh rakyat negara kita. Nak tahu tak apa mata wang yang pernah digunakan di Malaysia?

Jika nak tahu, mari kita lihat senarai mata wang yang digunakan sebelum Ringgit Malaysia diperkenalkan.

1. Wang kertas Estet Constantinopole
Wang kertas ini diperkenalkan oleh Tuan Syed Mohamed Ahmed Alsagoff pada tahun 1878 untuk digunakan secara terhad di dalam sebuah kawasan estet di Kukup, Johor sahaja. Wang kertas itu dicetak di Singapura dan ditandatangani dengan tangan, bukan dengan cetakan. Sistem keselamatan yang ada adalah cetakan nombor siri pada wang tersebut di samping cetakan bulatan emboss 'SMA SAGOFF'.

2. Wang kertas kerajaan Jepun
Mata wang ini diperkenalkan oleh kerajaan Jepun pada tahun 1942 untuk digunakan di Malaya, Singapura, Borneo Utara, Sarawak dan Brunei. Lebih dikenali dengan nama 'duit pokok pisang' ekoran perasaan benci masyarakat ketika itu terhadap penaklukan Jepun. Dipercayai telah dicetak sebanyak $385 juta untuk edaran sebelum diisytiharkan tidak bernilai, mata wang ini mampu mencecah harga RM23,000 sekeping sekiranya dijumpai dalam keadaan baik.

3. Duit Pitis Keping Kelantan
Digunakan di Kelantan sehingga tahun 1909 sebelum digantikan dengan mata wang penjajah, ekoran terlalu banyak keluaran palsu oleh individu yang mahir dalam pemprosesan timah. Direka agar dapat diceraikan daripada 'tangkainya' nya, setiap satu syiling mempunyai nilai 1 pitis. Selain itu, Kelantan juga menjadi antara negeri paling awal mempunyai sistem perbankan dengan pengenalan sistem Bank Pitis yang ditubuhkan pada tahun 1889.

4. Wang kertas negeri-negeri Selat dan Malayan Dollar
Wang negeri-negeri Selat atau Straits Dollar digunakan pada tahun 1898 sehinggalah tahun 1939 kemudian digantikan dengan Malayan Dollar.
Bagi Malayan Dollar, kisahnya mempunyai sejarah yang agak unik. Malayan Dollar hanya dicetak di United Kingdom dan dibawa ke Malaya melalui kapal. Sebanyak 27 juta wang 1 dollar dan 5.6 juta duit 5 dollar dicetak keseluruhannya, namun hanya 25.8 juta dan 5 juta sampai ke Malaya. 700 ribu wang 1 dollar dan 500 ribu wang 5 dollar tenggelam selepas kapal yang membawanya dikaramkan tentera Jerman tidak jauh dari Sumatera.

5. Duit Kertas Malaya dan Borneo Utara
Digunakan secara meluas di Malaya, Singapura, Sarawak, Borneo Utara dan Kepulauan Riau dari tahun 1953 hingga 1967 sebelum ditamatkan penggunaannya pada 16 Januari 1969. Sekiranya anda berminat untuk memiliki wang kertas dari zaman ini, agak mudah untuk anda mendapatkannya kerana koleksi banyak dilelongkan dengan harganya bergantung kepada kondisi dan statusnya.

6. Wang Borneo Utara
Sebelum digantikan dengan mata wang Malaya dan Borneo Utara, mata wang yang digunakan di kawasan Borneo Utara adalah mata wang British Borneo Utara. Agak lama juga mata wang ini digunakan iaitu dari 1882 hingga 1953. Memaparkan gambar rajah Gunung Kinabalu sebagai penghias, wang kertas ini mampu memncecah nilai RM1,084 sekiranya ditemui dalam keadaan baik.

7. Dollar Sarawak
Sama seperti Borneo Utara, Sarawak juga mempunyai mata wang sendiri yang dinamakan Sarawak Dollar. Diguna dari tahun 1858 hingga tahun 1953, wang ini dikeluarkan sendiri oleh kerajaan Sarawak ketika itu dengan menggunakan cetakan tangan buat kali pertama dan ini menyebabkan kualitinya kurang baik berbanding mata wang lain yang ada ketika itu. Untuk memilikinya ketika ini memerlukan pelaburan yang besar dengan harga sekeping mampu mencecah RM3,000 ke RM5,000 dengan wang yang dikeluarkan sebelum tahun 1922 menjadi buruan peminat wang lama.

8. Penang Dollar
Pulau Pinang juga satu masa dulu menggunakan sistem mata wang sendiri di antara tahun 1786 hinggalah 1826. Diperkenalkan selepas Pulau Pinang jatuh ke tangan Syarikat India Timur, kebanyakan wang yang digunakan ketika itu dibuat di Kolkata, India. Wang syiling yang diperkenalkan mempunyai tulisan Arab yang bertulis Jezirah Perrinsa ab-Wailis yang membawa makna Prince of Wales Island.

9. Keping Terengganu
Sama seperti di Kelantan, pada tahun 1909 penggunaan wang keping Terengganu dihentikan dan digantikan dengan mata wang negeri Selat. Diperbuat daripada timah, hanya satu bahagian pada wang keping Terengganu ini dicetak dengan tulisan "Kali Malik al Adil" yang membawa maksud "Pemerintah yang baik adalah pemerintah yang adil."

Sebenarnya banyak lagi mata wang yang pernah digunakan sejak dahulu lagi. Ada yang berbentuk ayam, gajah, bunga dan lain-lain. Jika anda tahu apakah mata wang lain yang pernah digunakan di negara kita, jom kongsi di ruangan komen di bawah.

Sumber: iluminasi.com

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp
Artikel Disyorkan