image3
image3

SMK Dato Ali Haji Ahmad berjaya tarik ibu bapa menyumbang hingga dapat kumpul RM29,000

webadmin
24 Feb 2021 02:43pm
A
A
A

         Yazid ( tengah) bersama Hamid (kanan) meninjau keadaan kelas KSIB di SMK Dato Ali Haji Ahmad.

PONTIAN - Ibu bapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Ali Haji Ahmad sepakat menyumbang RM29,000 untuk keselesaan anak mereka belajar di sekolah itu.

Inilah kejayaan pihak sekolah menyatukan ibu bapa setelah mewujudkan Kelas Sokongan Ibu Bapa (KSIB).

                                                                Mohd Hidzam

Pengerusi KSIB, Mohd Hidzam Barkawi, berkata, tujuan penubuhan itu untuk meningkatkan prestasi pelajar melalui naik taraf prasarana untuk keselesaan.

"Melalui KSIB, golongan ibu bapa berganding bahu menambah baik kemudahan kelas yang dijadikan perintis kepada program berkenaan.

“Menariknya, ibu bapa bergotong-royong mengecat dan menghias kelas itu. Malah kelas turut dilengkapi audio visual dan pendingin hawa," katanya.

Menurut beliau, kos perbelanjaan menaik taraf kelas dianggarkan mencecah RM29,000 dan semua ditanggung ibu bapa.

                Suasana kelas KSIB di SMK Dato Ali Haji Ahmad yang telah diceriakan dengan kerjasama ibu bapa.

Jelasnya, KSIB dilancarkan pada pertengahan tahun lalu dan setakat ini hanya sebuah kelas menjadi perintis kepada program yang julung kali diadakan itu.

Hadir sama, Penolong Pengarah Unit Disiplin, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Yazid Mohd Said dan Pengetua, Hamid Selamat.

Mohd Hidzam berkata, di peringkat permulaan hanya 32 pelajar terlibat dalam KSIB yang bermula pada Januari lalu.

Katanya selain itu, setiap dua bulan sekali ibu bapa akan berbincang dengan guru di sekolah untuk mencari kaedah terbaik bagi meningkatkan prestasi pelajar.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan