Strategi pelaksanaan pembelajaran teradun untuk murid sekolah rendah
Strategi pelaksanaan pembelajaran teradun untuk murid sekolah rendah

Strategi pelaksanaan pembelajaran teradun untuk murid sekolah rendah

webadmin
18 Feb 2021 07:20am
A
A
A

Strategi pelaksanaan pembelajaran teradun untuk murid sekolah rendah

Sebelum ini, saya pernah membincangkan berkenaan pembelajaran teradun.

Topik-topik seperti Pembelajaran Teradun: Apa yang perlu kita tahu?; 4 faktor kejayaan pembelajaran teradun yang guru-guru boleh aplikasikan masa kini dan 3 komponen penting dalam pembelajaran teradun yang perlu guru tahu, Cikgu Muhammaad Sabiq kongsi ini, berjaya membantu guru-guru, memahami dengan jelas, apa itu pembelajaran teradun.

Kali ini, saya ingin menerangkan pula tentang strategi perlaksanaan pembelajaran ini.

Diharapkan ia dapat membantu warga pendidik untuk menggunakan pembelajaran teradun kelak.

*****

Pembelajaran teradun merupakan pendekatan pendidikan menggabungkan pembelajaran digital dengan pembelajaran bersemuka yang dirancang secara sistematik bagi membolehkan kesinambungan sesi pembelajaran berlaku.

Dalam tempoh pandemik, arahan penutupan sekolah masih diteruskan menyebabkan sebahagian besar sesi pengajaran dan pembelajaran(PdP) dilaksanakan secara maya melalui halaman-halaman pendidikan digital seperti Delima.

Penggunaan halaman ini memerlukan kemahiran literasi ICT dalam merancang dan menggunakan aplikasi pendidikan.

Bagi menyokong tujuan tersebut, penganjuran bengkel–bengkel secara atas talian dianjurkan untuk guru-guru dalam bagi meningkatkan kemahiran bagi menyokong aktiviti PdP yang dirancang.

Namun begitu, perkara asas dalam pelaksanaan sesi PdP adalah keperluan kemahiran yang perlu diajar dan dikuasai oleh murid selain berfokus kepada isi kandungan mata pelajaran (Lotfi& Pozveh,2019).

Murid-murid yang terdiri daripada pelbagai latar memerlukan guru-guru merangka strategi yang sistematik untuk melaksanakan pembelajaran teradun khususnya dalam aspek mod pelaksanaan, perancangan aktiviti PdP dan penggunaan teknologi kepada murid-murid.

Strategi pertama adalah menentukan mod pelaksanaan sesi PdP.

Pembelajaran teradun sinonim dengan pembelajaran jarak jauh (Distance Learning) yang merangkumi dua jenis mod pelaksanaan iaitu pembelajaran secara  synchronous dan secara asynchronous.

Pembelajaran secara synchronous dilaksanakan secara langsung dimana guru dan murid berada pada masa yang sama untuk sesi pembelajaran.

Mod ini berlaku secara bersemuka dalam bilik darjah atau dilaksana secara langsung melalui aplikasi pendidikan. Sebaliknya, pembelajaran secara asynchronous membolehkan murid belajar secara kendiri berdasarkan bahan yang disediakan.

Mod pembelajaran ini boleh berlaku secara berasingan atau bergabung dalam aktiviti PdP murid untuk satu topik pembelajaran.

Sebagai contoh, guru merancang empat aktiviti PdP dalam satu topik Bahasa Melayu, guru boleh melaksanakan dua kali sesi pembelajaran secara synchronous seperti aktiviti penerangan dan perbincangan secara langsung.

Dua aktiviti PdP dilaksanakan secara asynchronous melalui bahan pembelajaran yang disediakan oleh guru-guru.

Kedua-dua mod ini mempunyai isu-isu tersendiri yang memerlukan kebijaksaan guru untuk mempelajari dan menentukan teknologi yang lebih berkesan dan sesuai mengikut persekitaran murid-murid.

Merancang aktiviti merupakan perkara rutin sebelum melaksanakan sesi PdP sama ada secara synchronous atau asynchronous.

Guru perlu merujuk kepada dokumen rasmi yang disediakan iaitu Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dan buku teks mata pelajaran sebagai bahan PdP sebelum merancang aktiviti.

Perancangan aktiviti perlu mengambil kira kemahiran sedia ada murid dan perlu sejajar dengan DSKP untuk tujuan pentaksiran murid.

Dalam tempoh pandemik, pelaksanaan pembelajaran secara tugasan, pembelajaran secara kontekstual dan pembelajaran berasaskan permainan sesuai dilaksanakan. Murid akan belajar mengikut kepada arahan tugasan dengan menggunakan bahan-bahan yang berada di persekitaran rumah.

Melaksanakan aktiviti bermain merupakan fitrah semulajadi kanak-kanak yang memberi peluang kepada murid untuk belajar dalam suasana bebas, selamat, menggembirakan dan bermakna (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2017).

Oleh yang demikian, guru perlu mengenal pasti aktiviti-aktiviti PdP yang menjurus kepada pendekatan berkenaan.

Dalam fasa ini juga, guru harus menyenaraikan aplikasi teknologi yang akan digunakan oleh murid bagi mengatasi masalah komunikasi antara guru, murid dan bahan pembelajaran.  

Penggunaan aplikasi pendidikan merupakan perkara yang sejajar dalam pembelajaran teradun yang berfungsi sebagai sokongan kepada aktiviti PdP.

Dalam tempoh pandemik ini, sudah pasti halaman rancangan pengajaran harian guru mempunyai ruangan khusus penggunaan aplikasi pendidikan.

Terdapat pelbagai jenis aplikasi pendidikan yang tersedia dalam aplikasi play store atau halaman web untuk tujuan PdP.

Dalam keterujaan mengimplemenkannya, guru-guru harus mengenal pasti fungsi setiap aplikasi pendidikan yang hendak digunakan terlebih dan perlu sejajar dengan aktiviti yang dirancang.

Sebagai contoh, aplikasi seperti Kahoot! dan Quizziz berfokus sebagai aplikasi pembelajaran berasaskan permainan.

Di samping itu, guru juga perlu mengenal pasti aplikasi yang mudah dan ringkas untuk diakses oleh murid-murid tanpa memerlukan penggunaan data internet yang tinggi.

Aplikasi yang terlalu canggih dan sukar digunakan oleh murid menyebabkan motivasi belajar menurun dan menyebabkan mereka tidak berminat untuk mempelajari mata pelajaran yang diajar. Biarlah aplikasi tersebut ‘simple and easy’ untuk mencapai objektif pengajaran kita.

Tuntasnya, pembelajaran teradun merupakan gabungan pembelajaran digital dan secara bersemuka yang sinonim dengan pembelajaran jarak jauh.

Pelaksanaan pembelajaran teradun seharusnya mengambil pertimbangan latar belakang murid khususnya dari aspek kemahiran literasi ICT dan pengalaman sedia ada murid terhadap mata pelajaran yang diajar.

Guru perlu merangka strategi yang sistematik dari aspek mod pelaksanaan, perancangan aktiviti PdP dan penggunaan aplikasi pendidikan kepada murid-murid.

Guru perlu menentukan mod pembelajaran sama ada dilaksanakan secara synchronous atau asynchronous atau menggabungkan kedua-duanya.

Di samping itu, aktiviti PdP seharusnya sejajar dengan dokumen rasmi yang dibekalkan oleh KPM dengan mengintegrasikan pendekatan pembelajaran yang sesuai khususnya dalam tempoh pandemik.

Seterusnya, pemilihan aplikasi pendidikan yang ringkas dan mudah membolehkan murid untuk mengkases bahan pembelajaran yang disediakan oleh guru.  

Sehubungan dengan itu, guru harus merancang dan menentukan strategi yang sesuai dengan tahap dan latar murid supaya sesi PdP yang dijalankan mencapai objektif dan mewujudkan sebuah pembelajaran yang bermakna.

Ringkas dan mudah – Teknologi itu memudahkan bukan menyulitkan

Rujukan

Lotfi, A. R., &Pozveh, S. M. H. H. (2019). The Effect of Synchronous and Asynchronous Language Learning: A Study of Iranian EFL Intermediate Students’ Vocabulary Learning. Theory and Practice in Language Studies, 9(12), 1585-1594.

Kementerian Pendidikan Malaysia (2017) Kurikulum Standard PrasekolahKebangsaan (Semakan). Kuala Lumpur.

*****Muhammad Sabiq Mohd Noor merupakan guru Sekolah Kebangsaan Senibong, Pasir Gudang, Johor

Artikel menarik

Realiti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) semasa PKPB: Ini yang perlu kita tahu

Kali pertama berGoogleMeet? Ini yang perlu anda tahu...

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan