pexels-anna-shvets-4226221
pexels-anna-shvets-4226221

Stres dalam kalangan guru dan pelajar. Ini cara yang perlu anda lakukan daripada terus tertekan!

webadmin
21 Sep 2021 01:00pm
A
A
A

Kesihatan mental adalah satu keadaan yang sejahtera dan harmoni di mana seseorang individu menyedari tentang keupayaan dirinya yang dapat mengendalikan tekanan dengan baik, dapat bekerja secara produktif dan seterusnya mampu menyumbang kepada masyarakat.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa kesihatan mental adalah asas kepada kesejahteraan individu dan kemampuan masyarakat berfungsi secara efektif.

Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Rahayu Ahmad memberitahu, jika guru dan pelajar tidak menjaga kesihatan mental dengan baik, mereka akan berdepan dengan penyakit mental pula.

“Ada beberapa penyakit mental yang perlu semua tahu antaranya stres, kemurungan (depression), kegelisahan (anxiety) dan post traumatic stress disorder (PTSD).

“Di sini, kami fokuskan kepada stres dan kemurungan,” katanya.

Mari ikuti penerangan terperinci berkenaan isu ini seperti yang diterangkan oleh Dr Rahayu kepada Sinar Bestari.

*****

Stres boleh dilihat sebagai satu bentuk respon diri individu terhadap masalah yang dialami.

Setiap orang akan dan pernah merasa stres kerana ini merupakan tindak balas normal manusia terhadap permasalahan mereka. Namun, stres yang berlebihan boleh membawa kepada kemurungan.

Apa pula yang dimaksudkan dengan kemurungan?

Gambar hiasan daripada Pexels.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, kemurungan adalah gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan mereka merasa sedih berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah dan hilang minat dalam aktiviti harian.

Penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tanpa mengira umur, jantina atau bangsa dan ia boleh berlarutan sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun.

Apakah punca kemurungan terjadi?

Seperti yang telah disebutkan di atas, antara punca kemurungan ialah tekanan yang berlebihan, namun itu bukan satu-satunya punca dan faktor genetik juga perlu diambil kira.

Seseorang itu mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk menghidap kemurungan sekiranya terdapat ahli keluarga yang pernah mengalaminya.

Selain itu, penyalahgunaan ubat-ubatan dan kehilangan orang tersayang juga boleh menjadi pencetus episod kemurungan.

Sejak kebelakangan ini, ramai masyarakat mengaku tertekan dengan kehidupan dalam tempoh pandemik Covid-19 yang lalu. Tekanan yang berlebihan memang mampu membawa kepada kemurungan.

Kesannya, terdapat trend peningkatan kes bunuh diri baru-baru ini. Namun, adakah semua yang tertekan itu menghidapi kemurungan?

Menurut Dr Rahayu, tidak semua yang tertekan itu mengalami kemurungan. Akan tetapi, semua yang mengalami kemurungan pasti sedang mengalami tekanan atau stres yang dahsyat.

Simptom kemurungan

Sementara itu, pelajar Kolej Genius Insan USIM, Aiman Fariz Zaqwan menjelaskan, antara simptom utama kemurungan ialah kesedihan yang berpanjangan, tidak bertenaga dan hilang minat terhadap hobi.

Jika seseorang individu mempunyai simptom-simptom sebegini, adalah dinasihatkan untuk pergi berjumpa dengan kaunselor yang bertauliah.

Katanya lagi, kaunselor akan memberikan satu ujian yang boleh menilai tahap stres, kemurungan dan kegelisahan.

Jika tahap stres, kemurungan dan kegelisahan berada di tahap yang teruk atau sangat teruk, kaunselor akan cuba memberikan nasihat yang sesuai bagi mengawal ketiga-tiga komponen itu.

Jika seseorang individu telah mencuba pelbagai cara dan telah menghadiri beberapa sesi kaunseling, namun masih tidak dapat mengawal stres, kemurungan dan kegelisahan ini, mereka  dinasihati untuk bertemu pakar psikiatri bagi mendapatkan rawatan yang selanjutnya.

Gambar hiasan daripada Unsplash.

Kesimpulannya, setiap orang tidak terlepas daripada merasai stres atau pun tekanan dalam kehidupan seharian kerana stres itu merupakan suatu bentuk tindak balas terhadap aktiviti-aktiviti harian manusia.

Apa yang perlu dielakkan di sini adalah stres yang berlebihan kerana keadaan ini secara tidak langsung mungkin tanpa kita sedari telah mengheret kita ke arah kemurungan.

ALLAH SWT berfirman dalam Surah Ali Imran (73) maksudnya: “Cukuplah ALLAH untuk (menolong) kami dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”.

Diriwayatkan juga dalam Sahih Bukhari hadis daripada Ibn Abbas RA berkata bahawa doa ini merupakan kalimah terakhir Nabi Ibrahim AS sebelum dicampakkan ke dalam api.

Doa ini juga diucapkan oleh Nabi Muhammad SAW ketika orang kafir cuba menakut-nakutkan Nabi tentang tentera bersekutu yang akan menyerang Nabi SAW.

Justeru, kita sebagai umat Islam, sekiranya merasa stres dan mengalami kecelaruan pemikiran, ucapkanlah potongan ayat suci al-Quran ini yang mana hanya pada ALLAH SWT, sahajalah kita serahkan urusan dan kepada Dia jugalah tempat kita bergantung dan berharap.

Terdapat juga pelbagai ayat-ayat al-Quran yang boleh diamalkan bagi menenangkan jiwa dan pemikiran yang bercelaru ketika berada dalam keadaan stres atau kemurungan.

Akhir sekali, jika terdapat ahli keluarga, rakan atau diri kita sendiri yang menunjukkan simptom-simptom stres atau kemurungan, segeralah mengambil inisiatif yang sepatutnya supaya keadaan diri tidak menjadi lebih teruk.

Artikel berkaitan 

Guru-guru patut tahu, ini cara mudah buat soalan peperiksaan

Mendidik dan mahir menjahit, Cikgu Salina antara guru vokasional yang serba boleh

Inilah anak-anak Malaysia yang genius! Hadiahkan 6 anugerah untuk negara. Luar biasa


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan