1135805
1135805

Sumbangan besar DidikTV, mudah diakses, bantu suasana PdPR lebih menarik

Nor Azma  Muhamat Laila
26 Jul 2021 09:20pm
A
A
A

Penangguhan sesi persekolah secara bersemuka berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pengerakan (PKP) menyebabkan takwim persekolahan terpaksa diubah semula dan diteruskan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) untuk tempoh yang panjang.

Mengambil kira kepentingan ilmu dan pendidikan kepada semua murid, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara rasminya memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan, iaitu DidikTV pada 17 Februari lalu.

DidikTV KPM yang boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di ASTRO dan saluran ntv7 107 di TV UNIFI, bertujuan mempelbagaikan sumber pembelajaran serta membantu murid yang tidak mempunyai akses internet atau peranti yang sesuai untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Pengisian kandungan DidikTV KPM yang padat dengan pelbagai kandungan seperti slot Teras, Teroka dan Mahir, bersiaran pada setiap hari untuk tempoh 12 jam bermula pada pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam.

Konsep pembelajaran yang lebih santai menjadikan DidikTV semakin diminati

Inisiatif ini merupakan antara usaha terbaik kerajaan dalam meningkatkan akses pendidikan dan membantu pelaksanaan PdPR murid-murid yang terdiri daripada pelbagai latar belakang sama ada di kawasan bandar, luar bandar mahupun pedalaman.

Konsep pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dibuat juga kelihatan lebih menarik apabila diselitkan dengan bahan interaktif yang menyeronokkan.

Penyertaan daripada murid-murid turut menjadikan ia seolah-olah situasi sebenar di dalam bilik darjah sekali gus memberi manfaat yang amat besar kepada peningkatan pembelajaran murid di seluruh negara.

Mengambil kira peratusan tinggi bagi pemilikan dan capaian televisyen di rumah yang mana secara puratanya sebanyak 97.6 peratus isi rumah di Malaysia mempunyai televisyen, menjadi faktor akses pendidikan melalui DidikTV ini dilakukan lebih menyeluruh.

Siaran DidikTV ini juga dilihat mampu merapatkan jurang antara murid-murid di bandar dan luar bandar dalam mendapat akses pendidikan yang sama kerana umum tahu tenaga pengajar yang dipilih itu terdiri daripada guru terbaik dan cemerlang.

Lebih segar

Pakar akademik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Mohd Hafiz Md Hanif menyifatkan pelaksanaan DidikTV dilihat sebagai satu medium PdP alternatif bagi murid-murid yang terkesan dengan penutupan sekolah namun perlu meneruskan kelangsungan proses pendidikan di rumah.

Berbeza dengan konsep yang digunakan dalam siaran TV Pendidikan sebelum ini, beliau berpendapat DidikTV kini tampil dengan pengisian yang lebih segar berteraskan kurikulum kebangsaan supaya dapat ditonton majoriti rakyat Malaysia dan mampu menarik minat pelbagai lapisan murid peringkat rendah atau menengah.

”Saya percaya dengan garapan mantap daripada semua pihak termasuklah KPM, pihak penerbit dan barisan guru, isi kandungan yang dimuatkan menerusi televisyen ini akan dapat diperkasa dan diperhebatkan lagi di masa depan.

Dr Mohd Hafiz

”Keberkesanan DidikTV juga dibuat penilaian dari semasa ke semasa dan dapat ditingkatkan sekiranya pihak KPM meletakkan ia sebagai sebahagian daripada garis panduan PdPR,” katanya.

Sementara itu, Guru Sejarah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi (SMKBBB), Bangi, Selangor, Rosmini Ahmad pula berpendapat siaran DidikTV KPM menjadi satu lapangan kepada guru-guru untuk berkongsi kreativiti masing-masing terutama membabitkan aspek persembahan pengajaran.

Medium ini dapat digunakan sebaik mungkin sebagai lapangan kepada guru-guru untuk berkumpul, mempersembahkan teknik pengajaran masing-masing dan berkongsi pengalaman mengenai pendekatan penyampaian PdP secara berkesan.

”Pelbagai slot yang disediakan DidikTV pula memberi peluang kepada murid-murid untuk mendapatkan ilmu pengetahuan secara terus dan interaktif.

Rosmini

”Sebagai contoh, slot Teroka yang lebih menjurus kepada penglibatan murid untuk meneroka cabang ilmu yang lebih luas selain maklumat daripada buku teks dengan mencari info tambahan atau membuat eksperimen sendiri.

”Bagi saya, DidikTV ini merupakan medium PdP terbaik kepada murid-murid meneruskan pembelajaran di rumah sekali gus boleh menjadi satu sumber untuk mendapatkan maklumat secara terus menerusi televisyen,” ujar beliau.

Alternatif

Bapa kepada dua orang anak, Hasrulnisham Hashim berkata, siaran DidikTV sangat membantu anak-anak di rumah dalam meneruskan sesi pembelajaran kerana ia dikendalikan oleh guru-guru pakar dan berpengalaman.

”Memandangkan saya dan isteri bekerja dan masa yang terhad untuk memantau PdPR anak-anak, siaran DidikTV ini boleh digunakan sebagai alternatif untuk mereka mendapatkan ilmu tambahan selain apa yang dikongsikan guru secara dalam talian.

”Kaedah pengajaran yang berkonsepkan kelas maya itu juga amat menarik dan menjadikan proses belajar itu seperti berada di dalam bilik darjah yang sebenar,” kongsi beliau.

Hasrulnisham

Kesimpulannya, tidak kira apa juga kaedah pembelajaran yang diperkenalkan oleh KPM, sokongan berterusan daripada barisan guru, ibu bapa dan murid-murid sangat diperlukan supaya objektif pelaksanaan sesuatu perkara itu dapat dicapai seterusnya memberi manfaat kepada semua pihak.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan