WhatsApp Image 2021-06-28 at 10.46.52 AM
WhatsApp Image 2021-06-28 at 10.46.52 AM

Taklimat Keselamatan Latihan Dan Pembelajaran Dalam Talian

webadmin
28 Jun 2021 11:53am
A
A
A

Cabaran pandemik Covid-19 telah mengubah corak latihan dan pembelajaran di dalam dunia pendidikan termasuklah kepada seluruh staf dan pelajar di universiti.

Semua latihan, kursus, program atau pembelajaran secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan seperti biasa dan pembelajaran di dalam talian perlu diadaptasi.

Kaedah norma baharu ini juga menuntut hampir semua staf dan pelajar universiti untuk berada di hadapan komputer, telefon atau gajet mereka di dalam tempoh yang lama setiap hari. Oleh itu, saranan keselamatan dan kesihatan yang baik wajar dipraktikkan untuk mencegah kesan kepada individu tersebut pada masa akan datang.

Panduan atau taklimat keselamatan adalah medium mudah yang boleh digunakan oleh kakitangan barisan hadapan untuk berkongsi maklumat kepada masyarakat mengenai kemungkinan masalah dan kebimbangan keselamatan setiap hari.

Di dalam dunia pekerjaan, taklimat keselamatan membantu organisasi mewujudkan budaya mengutamakan keselamatan dan kesihatan, mengurangkan risiko kesalahan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Melalui taklimat keselamatan, maklumat dan informasi berguna berkaitan keselamatan dan kesihatan di hadapan warga kerja dapat menyedarkan mereka tentang risiko dan bahaya semasa.

Di tempat kerja, taklimat keselamatan harian oleh penyelia kepada warga kerja membantu memupuk budaya keselamatan dan kesihatan yang baik. Ia juga membuktikan bahawa majikan telah menjalankan tanggungjawab menyampaikan kaedah kawalan di dalam sesuatu situasi cemas sesuai dengan kepatuhan Bahagian IV, Seksyen 15, Tugas am majikan kepada pekerjanya di dalam Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Berbeza suasananya dengan persekitaran latihan dan pembelajaran bersemuka, taklimat keselamatan kepada peserta kursus tidak kiralah staf atau pelajar bertujuan memastikan peserta dapat mengikuti kursus dengan selesa di samping mengambil langkah-langkah keselamatan dan pencegahan kepada sebarang kemungkinan berlakunya insiden atau risiko kemalangan. Sesi latihan dan pembelajaran sepatutnya menjadi satu waktu berfokus untuk menjana ilmu dan mengasah kemahiran.

Dahulunya, kaedah tradisional iaitu latihan secara bersemuka sering juga dilaksanakan bukan di persekitaran yang mana seseorang peserta itu telah biasa dengannya.

Suasana bilik latihan sama ada di pusat latihan atau di bilik seminar hotel contohnya disarankan untuk mengutamakan pemakluman taklimat keselamatan supaya faktor-faktor yang boleh menyebabkan berlakunya risiko kemalangan atau kecederaan dapat dikurangkan.

Selain taklimat keselamatan, video atau penerangan berkaitan pelan kecemasan perlu diulang siar kerana seandainya situasi cemas berlaku, keadaan boleh dikawal. Situasi kecemasan yang tidak terjangka menimbulkan keadaan huru-hara disebabkan oleh lokasi bilik latihan yang mungkin pertama kali dikunjungi para peserta.

Pada hari ini, latihan dan pembelajaran norma baharu menggunakan platform dalam talian sama ada format webinar atau medium talian yang lain menghimpunkan sejumlah peserta yang ramai untuk mengikuti latihan dalam tempoh yang ditetapkan.

Latihan dan pembelajaran dalam talian tidak terlepas daripada risiko dan masih memerlukan taklimat keselamatan untuk tindakan pencegahan yang boleh menyebabkan berlaku  kecederaan atau risiko keselamatan kepada peserta kursus.

Antara perkara yang boleh dititikberatkan pada taklimat keselamatan latihan dan pembelajaran dalam talian termasuklah perkara melibatkan peringatan tentang posisi kedudukan dan tempat duduk yang perlu sentiasa berada dalam keadaan selesa dan ergonomik.

Pemilihan jenis kerusi yang bersesuaian dan fleksibel serta selamat digunakan adalah penting untuk memastikan postur tubuh berada dalam keadaan selesa.

Pencahayaan di skrin komputer atau gajet perlu ditetapkan pada tahap lima puluh peratus. Ini bagi mengelakkan keletihan visual kepada mata sepanjang program berlangsung. Bunyi daripada gajet juga perlu ditetapkan pada kadar 50 peratus terutama apabila menggunakan headphone atau earphone. Sekiranya bunyi yang terlalu kuat ditetapkan, ia boleh mengganggu keselesaan telinga sepanjang latihan berlangsung.

Pergerakan ataupun senaman ringan selama lima hingga sepuluh minit setiap satu jam juga adalah perkara yang boleh dilakukan bagi memastikan konsentrasi peserta kursus sentiasa berada pada tahap maksima. Lebih-lebih lagi sekiranya pengisian latihan dan pembelajaran tersebut berat sehingga menyebabkan peserta kursus tidak berganjak daripada tempat duduk, maka pergerakan ini mampu merehatkan tubuh badan di samping kekal fokus kepada sesi tersebut.

Selain itu, bagi mengelakkan ketegangan mata, amalan peraturan 20-20-20 juga boleh dimuatkan dalam taklimat keselamatan.

Jeffrey R. Anshel merupakan pengarah Corporate Vision Consulting, Encinitas diCalifornia lulusan daripada Illinois College of Optometry. Beliau telah menulis banyak artikel mengenai pengaruh pemakanan terhadap penglihatan, faktor tekanan yang mempengaruhi prestasi visual dan masalah penglihatan komputer.

Dr. Anshel telah menerbitkan beberapa buku, termasuk Visual Ergonomics Handbook. Di dalam artikelnya yang bertajuk Visual Ergonomics in the Workplace: Improving eyecare and vision can enhance productivity, 2006, beliau menekankan di antara saranan praktikal penjagaan mata sewaktu melihat skrin komputer adalah merehatkan mata seketika.

Salah satu strategi yang disarankan adalah pendekatan "3-B": berkedip, bernafas dan berehat. Beliau memperkenalkan peraturan 20-20-20 untuk mata berehat setiap 20 minit dengan mengalihkan pandangan kepada suatu objek yang berjarak 20 kaki selama 20 saat.

Dengan cara ini mata akan berada dalam keadaan sentiasa selesa dan mengelakkan rasa mengantuk serta ketegangan yang boleh menyebabkan keletihan pada mata. Pihak Cyber Security Malaysia dalam Buku CyberSAFEparenting - Ke Arah Kesejahteraan Siber yang diterbitkan pada tahun 2019 turut mengeluarkan pemakluman sama sebagai tips menjaga kesihatan mata khususnya kepada kanak-kanak.

Semua peserta kursus juga penting untuk diingatkan supaya suasana persekitaran tiada gangguan bunyi, kehadiran fizikal manusia atau haiwan yang mungkin boleh mengganggu fokus.

Sebagai contoh, ada ketikanya peserta kursus berada di rumah dalam keadaan yang selesa, akan tetapi terdapat gangguan bunyi seperti salakan haiwan dari luar rumah atau kerja-kerja renovasi di rumah jiran yang boleh mengganggu ketenteramannya secara peribadi atau didengari oleh peserta lain.

Penganjur atau peserta itu sendiri boleh menekan butang audio untuk tetapan senyap supaya tidak mengganggu fokus peserta lain. Kadar pencahayaan lampu di dalam pejabat atau di rumah juga perlu bersesuaian tanpa silau berlebihan atau pencahayaan yang buruk.

Selain itu, penggunaan suhu penghawa dingin di dalam bilik yang optimum disarankan sekitar 24 darjah celsius.

Di samping itu, penggunaan skrin latar belakang yang sesuai adalah dicadangkan bagi memelihara privasi peserta kursus dan ahli keluarga lain di rumah atau pejabat.

Akhir sekali, penganjur dan peserta perlu sentiasa mematikan butang kamera dan mikrofon terutamanya jika ingin ke tandas, bercakap di telefon atau berkomunikasi dengan orang lain supaya tidak mengganggu perjalanan kursus.

Latihan dan pembelajaran dalam talian merupakan norma baharu di dalam situasi pandemik Covid-19 dan mungkin perlu dilaksanakan lebih lama lagi.

Konklusinya, Taklimat Keselamatan Latihan Dan Pembelajaran Dalam Talian mungkin terlihat kecil, tetapi ia sangat signifikan dengan kepatuhan keselamatan untuk mengelakkan atau mengurangkan risiko terhadap kesihatan dan keselamatan dalam jangka masa panjang.

Maklumat penulis

Ts. Mohd Rafizi Rahmad - Timbalan Pendaftar Kanan di Institut Kepimpinan & Pembangunan (ILD) UiTM Bandar Enstek Nilai

Ts. Dr. Nurul Fariha Lokman - Ketua Bahagian Pengurusan Fasiliti di Institut Kepimpinan & Pembangunan (ILD) UiTM Bandar Enstek dan juga Pensyarah Kanan Pengajian Kejuruteraan Awam UiTM Shah Alam

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan