WhatsApp Image 2021-06-25 at 17.21.57 (1)
WhatsApp Image 2021-06-25 at 17.21.57 (1)

Telefon bimbit tidak mencukupi bukan alasan untuk tidak belajar

Isu pelajar tidak mengikuti kelas secara dalam talian bukan lagi masalah baru dalam kalangan masyarakat pada hari ini.

Masalah tidak mempunyai kelengkapan asas seperti komputer riba dan telefon pintar serta capaian internet juga bukan masalah baharu yang perlu dibincangkan.

Ini kerana, keadaan ini telah berlarutan sejak proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mula dilaksanakan.

Ramai pelajar seolah-olah lupa status mereka sebagai pelajar sekolah. Sikap malas dan tidak ingin bekerjasama sebenarnya merugikan diri mereka sendiri.

Persoalannya, jika tempoh PdPR dilanjutkan adakah pelajar ini tidak perlu belajar? Lalu bagaimana dengan tahap pendidikan mereka dan adakah mereka perlu berhenti belajar?

Persoalan-persoalan ini telah menimbulkan kerisauan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kulai 1, Cikgu Saerah Husin, apabila seramai 122 orang murid tidak mengikuti proses pembelajaran secara dalam talian.

Melalui penelitian data yang dibuat, Cikgu Saerah berkata, kebanyakan pelajar ini mempunyai masalah capaian internet dan kekurangan kelengkapan asas seperti komputer riba dan telefon pintar di mana mereka terpaksa berkongsi dengan ahli keluarga yang lain.

“Apa yang membuatkan kami risau, jumlah pelajar yang tidak mengikuti PdPR adalah dalam kalangan pelajar darjah 4, 5, dan 6.

“Suka saya kongsikan di sini, satu-satunya jalan penyelesaian kepada masalah ini, ibu bapa perlu tahu latihan atau tugasan yang cikgu-cikgu berikan kepada murid-murid, tidak perlu diselesaikan serta-merta kerana tugasan itu boleh diselesaikan bila-bila masa, di mana 90 peratus tugasan yang diberikan semasa kelas berlangsung adalah tugasan yang terdapat dalam buku aktiviti ataupun buku teks,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, kekurangan kemudahan elektronik itu, bukan alasan untuk para pelajar tidak mengikuti proses pembelajaran yang berlangsung sepanjang pandemik Covid-19 ini.

Ini kerana, guru-guru telah membuat rakaman suara agar murid-murid lebih faham mengenai tugasan yang diberikan.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Rakaman suara ini sudah tentu boleh didengari dan dirujuk pada bila-bila masa. Ini jelas menunjukkan, masalah bilangan telefon tidak mengcukupi bukan penghalang untuk murid-murid menjalani proses pembelajaran kerana pihak sekolah telah memberi kelonggaran dari segi masa untuk murid-murid menyiapkan tugasan pada waktu kelapangan.

“Ibu bapa sebagai pembimbing anak-anak di rumah pula, perlu bertanggungjawab dalam menerangkan tugasan yang diberikan oleh para guru agar anak-anak lebih memahami apa yang harus mereka lakukan,” tambahnya lagi.

Ibu bapa perlu menjadi suri teladan (role model) dalam usaha menggalakkan anak-anak untuk mengikuti kelas yang berlangsung.

Situasi yang kritikal ini tidak wajar dibiarkan begitu sahaja kerana tahap pembelajaran anak-anak kini berada di tahap yang cukup berbahaya untuk masa depan mereka.

Oleh itu, ibu bapa perlu bekerjasama dengan para guru dalam membantu menyelesaikan masalah ini demi memastikan tidak ada pelajar yang tercicir dalam proses pembelajaran.

Ini kerana setiap murid berhak mempelajari apa yang mereka perlu pelajari.

Sumber: Pesanan Khas Isu PdPR 2021, Sekolah Kebangsaan (SK) Kulai 1.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp
Artikel Disyorkan