Cikgu-Fazli
Cikgu-Fazli

Terima Guru Anugerah Ikon Pendidikan Digital, Cikgu Fazli mahu terus bantu pelajar

Adlan Farhan Azwan
28 Jun 2022 09:30am
A
A
A

Muhd Fazli Dollah, 41 ingin meneruskan perjuangannya dalam membantu pelajar meningkatkan ilmu pengetahuan selepas menerima Anugerah Guru Ikon Pendidikan Digital pada Majlis Apresiasi Pendidikan Digital Daerah Kuala Nerus, Terengganu, baru-baru ini.

Muhd Fazil yang merupakan guru Biologi Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) berkata, beliau meletakkan harapan tinggi supaya anugerah ini mampu menyuntik semangat warga pendidik lain untuk terus bekerja keras dan memberikan sumbangan terbaik dalam melonjakkan mutu pendidikan negara.

“Idea menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran digital itu bermula selepas negara dilanda pandemik Covid-19 apabila pelajar tidak dibenarkan ke sekolah.

“Risau pelajar tidak mendapat ilmu yang secukupnya terutama bagi mereka yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kebetulan saya mengajar subjek Biologi dan Sains Tingkatan Lima, jadi saya mengambil inisiatif membina bahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) menerusi platform YouTube dan berkongsi nota menerusi saluran Telegram.

“Saya tidak mengharapkan sebarang balasan hanya untuk berkongsi ilmu, tetapi dengan anugerah yang diterima ini saya terkejut dan berasa dihargai lebih-lebih lagi saluran saya dikunjungi ribuan pelajar,” katanya yang ditemui pada majlis tersebut.

Anugerah itu diberikan kepada 10 guru daerah berkenaan yang menghasilkan bahan PdP digital untuk membantu pelajar dan guru sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain anugerah tersebut, turut diberi penghargaan ialah Anugerah Guru Pendidikan Digital Terbaik dan Anugerah Sekolah Model Pendidikan Digital yang dimenangi 10 sekolah iaitu Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kemunting, SMK Tengku Mizan Zainal Abidin, SMK Batu Rakit, SESMA, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gemuroh, SK Kompleks Seberang Takir, SK Seberang Takir, SK Batu Rakit dan SK Tok Jiring.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang merasmikan majlis itu.

Artikel berkaitan

Berperanan membentuk masa depan negara, 4 guru dianugerahkan Tokoh Guru peringkat Daerah Klang

Khalifa guru Malaysia pertama dinobatkan sebagai pemenang Global 2022 Cambridge Dedicated Teacher Awards

Tanpa mereka, mana mungkin saya dinobatkan sebagai penerima Guru Cemerlang Pendidikan Khas - Cikgu Kumaresan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan