WhatsApp Image 2021-07-13 at 13.22.56 (3)
WhatsApp Image 2021-07-13 at 13.22.56 (3)

Teroka potensi diri, pelajar harus tampil berkeyakinan

A
A
A

Keadaan semasa dengan ramai generasi muda yang berbakat memberi satu tamparan hebat buat sesetengah individu yang kurang berkeyakinan untuk menonjolkan diri di khalayak ramai.

Senario ini sering berlaku dalam kalangan pelajar sekolah yang lebih memilih untuk memencilkan diri.

Berasa diri tidak berguna adalah salah satu punca fikiran mereka dikuasai andaian-andaian negatif.

Bagaimanapun, tidak mudah untuk mengubah persepsi pemikiran golongan pelajar ini di mana tahap keyakinan diri mereka sangat rendah.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Menurut Kaunselor, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Hulu Selangor, Dr Hajah Nur Liyana Mohd Ibrahim, setiap manusia dilahirkan dengan keistimewaan tersendiri dan potensi diri perlu diteroka serta digilap agar ia terus bersinar untuk kebaikan diri sendiri.

“Potensi diri yang dimiliki oleh setiap individu adalah berlainan, maka ketahuilah potensi diri dengan jelas dan seseorang pelajar perlu merujuk pakar atau kaunselor untuk mengetahui lebih lanjut mengenai potensi diri yang dimiliki,” ujarnya.

Berhubung perkara ini, para pelajar perlu menjalani Ujian Psikometrik bagi mengenali kelebihan, minat dan bakat yang terpendam dalam diri.

Melalui ujian ini pelajar dapat mengetahui dan mencungkil bakat serta potensi yang ada dalam diri.

“Para pelajar juga boleh mengenali potensi diri dengan cara meneroka benda baharu seperti belajar muzik, memasak, melukis serta menggunakan kemudahan internet untuk meneroka lebih jauh lagi mengenai dunia semasa,” katanya lagi.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Mengulas mengenai potensi diri dalam proses pembelajaran, beliau berkata, penguasaaan terhadap mata pelajaran tertentu dapat menerangkan potensi diri individu.

Para pelajar akan lebih jelas mengenai kelebihan yang dimiliki dengan melihat mata pelajaran yang mendapat skor tertinggi.

Sebagai contoh, jika seorang pelajar cemerlang dalam mata pelajaran Sejarah, maka minat dan kelebihannya lebih tertumpu kepada teori.

Bagaimanapun, menurut psikologi, potensi diri berkait rapat dengan faktor keturunan.

Selain melakukan Ujian Psikometrik para pelajar juga boleh merujuk kepada ibu bapa dalam proses mengenali potensi diri.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Ini kerana, ibu bapa merupakan individu yang paling dekat dengan diri seseorang di mana merekalah yang memerhati proses pembesaran dan tingkah laku anak-anak.

“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelajar juga boleh meneroka aktiviti yang melibatkan alam sekitar seperti panjat gunung, luncur air, kayak dan sebagainya agar minda lebih terbuka, bak kata orang tidak cuba maka tidak tahu, kalau sudah suka mesti nak buat selalu,” tambah beliau.

Oleh itu, tidak salah sekiranya seseorang pelajar melakukan perkara di luar kebiasaan demi mencari potensi diri yang terselindung sejak sekian lama sekali gus mampu meningkatkan keyakinan dalam diri.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan