pexels-photo-8923741
pexels-photo-8923741

Tulisan anak-anak sukar dibaca? Ini yang mak ayah perlu lakukan segera. Penting!

Roshlawaty Md Raieh
14 Aug 2021 06:21am
A
A
A

Kesibukan ibu bapa dalam mencari rezeki seharusnya tidak dijadikan alasan untuk tidak melihat perkembangan pembelajaran anak-anak.

Ini kerana, terdapat beberapa masalah yang mungkin dialami oleh mereka, tanpa disedari mak ayah. Misalnya, tulisan anak-anak sukar untuk dibaca oleh orang lain.

Cikgu Shahrul menerusi akaun Facebooknya baru-baru ini, memuat naik perkongsian tentang Dysgraphia.

Artikel itu menerangkan tentang masalah tulisan yang dialami murid-murid tanpa disedari oleh keluarga masing-masing.

Untuk selanjutnya, mari ikuti perkongsian beliau yang cukup penting untuk ibu bapa ambil perhatian yang sewajarnya.

*****

Pernahkah anda membaca tulisan anak anda?

Adakah tulisan anak boleh dibaca? Bagaimana anak anda membezakan tulisan 'h' dan 'n'? Apa beza 'u' dangan 'a'...

Luangkan masa meneliti tulisan anak anda agar anda tidak menyesal kemudian hari...

Hari ini berpeluang melihat hasil tulisan tangan anak-anak cikgu.  Alhamdulillah ketiga-tiga anak cikgu boleh menulis dengan baik. Cuma anak kedua cikgu tulisannya agak berbeza dari abang dan adiknya. Mungkin kerana tulisannya menggunakan tangan kidal.

Cikgu cuba mengkaji jika ada berlaku keganjilan semasa Ilman (nama anak kedua cikgu) menulis huruf-huruf yang tertentu.

Namun dari pemerhatian cikgu, tulisannya mula berubah apabila Ilman mengejar masa. Makin laju dia tulis makin tidak teratur bentuk tulisannya. Kena perbetulkan dari awal, risau nanti guru-guru di sekolah tidak boleh baca apa yang ditulisnya.

Pada hari ini cikgu ingin memberi penjelasan tentang masalah tulisan di kalangan murid terutamanya murid Sekolah Rendah.

Masalah ini perlu diatasi sebelum terlambat dan perlu diberi penekanan yang lebih terperinci oleh ibu bapa agar anak-anak tidak merasa malu untuk menunjukkan tulisannya pada kita suatu masa nanti.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Apakah itu Dysgraphia?  

Dysgraphia adalah ketidakupayaan pembelajaran berasaskan otak yang mempengaruhi penulisan.

Seperti semua gangguan pembelajaran, Dysgraphia adalah perkara biasa di kalangan individu yang mempunyai masalah ADHD.

Dysgraphia adalah gangguan neurologi ekspresi bertulis yang merosakkan kemampuan menulis dan kemahiran motor halus.

Ini adalah ketidak upayaan pembelajaran yang mempengaruhi kanak-kanak dan orang dewasa, dan mengganggu hampir semua aspek proses penulisan, termasuk ejaan, lukisan, jarak kata dan ukuran dan ekspresi dalam bentuk tulisan dan lukisan.

Gejala Dysgraphia

Dysgraphia biasanya mula disedari apabila kanak-kanak mula belajar menulis.

Walau bagaimanapun, kadang kala gangguan ekspresi bertulis ini mungkin tidak dapat diketahui pada masa awal persekolahan kerana kemampuan menulis kanak-kanak terus berkembang dari masa ke semasa.

Dysgraphia mungkin juga tidak dapat didiagnosis sehingga dewasa.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Menurut National Center for Learning Disabilities (NCLD) 8 gejala Disgraphia termasuk:

✎ Masalah semasa membuat bentuk huruf.

✎ Cengkaman ketat, canggung, atau menyakitkan pada pensil.

✎ Kesukaran mengikuti garis atau tulisan berada dalam jarak yang jauh.

✎ Jarak tidak konsisten antara huruf, perkataan, dan ayat

✎ Menggunakan campuran huruf besar dan huruf kecil

✎ Masalah dengan struktur ayat atau mengikut peraturan tatabahasa ketika menulis, tetapi tidak ketika bercakap.

✎ Kesukaran mengatur atau mengartikulasikan pemikiran di atas kertas

✎ Perbezaan yang ketara antara pemahaman lisan dan tulisan mengenai sesuatu topik

Gejala Dysgraphia biasanya berubah dari masa ke semasa. Kanak-kanak dengan Disgraphia umumnya menghadapi masalah dengan aktiviti yang melibat penulisan dan menunjukkan gangguan motor halus yang lain, sementara Disgraphia pada remaja dan orang dewasa muncul sebagai kesukaran dengan tatabahasa, sintaksis, pemahaman, dan secara umum meletakkan pemikiran di atas kertas.

Adakah Dysgraphia akan menyebabkan kanak-kanak mengalami Disleksia?

Dysgraphia dikaitkan dengan kesukaran menulis, sedangkan disleksia dikaitkan dengan kesukaran membaca.

Kedua-dua gangguan pembelajaran mempunyai beberapa gejala, seperti kesukaran mengeja, yang boleh menyukarkan diagnosis.

Adalah mungkin bagi seseorang untuk mengalami disgraphia dan disleksia pada masa yang sama namun untuk dianogstik yang lebih tepat perlu dibuat ujian bertulis pada kanak-kanak tersebut.

Apa yang menyebabkan Dysgraphia?

Dysgraphia biasanya berlaku dengan dua cara berikut:

Dysgraphia yang dikaitkan dengan kecederaan otak, penyakit, atau keadaan biasa individu: yang menyebabkan individu tersebut (biasanya sebagai orang dewasa) kehilangan kemahiran yang ada sebelumnya dalam penulisan.

Dysgraphia perkembangan - merujuk kepada kesukaran memperoleh kemahiran menulis.

Jenis Dysgraphia ini paling sering dipertimbangkan pada masa kanak-kanak.

Punca Disgraphia perkembangan tidak diketahui, tetapi para penyelidik telah mengenal pasti beberapa punca yang sesuai dengan keadaan neurologi tertentu:

1) Motor Dysgraphia: Kekurangan koordinasi motor halus dan persepsi visual telah lama dikaitkan dengan dysgraphia dan mungkin menjelaskan kesukaran untuk menghasilkan tulisan. Individu dengan dysgraphia motor biasanya menunjukkan tulisan tangan yang tidak dapat dibaca dan lambat, kemahiran melukis dan menyurih yang lemah, dan pergerakkan jari yang perlahan (ukuran biasa kemahiran motor halus).

2) Dysgraphia Spatial: kemungkinan berkaitan dengan masalah persepsi spatial, yang mempengaruhi jarak huruf dan kemampuan menggambar. Individu dengan disgraphia spatial berusaha untuk membentuk tulisan tangan dan menggambar, namun dari segi ejaan dan pergerakkan jari biasanya normal.

3) Dysgraphia linguistik mempengaruhi kemahiran memproses bahasa yang diperlukan dalam proses penulisan. Ini sangat mempengaruhi teks yang ditulis secara spontan (yang belum dapat ditiru atau disalin), yang sering tidak dapat dibaca. Menggambar, menyalin, dan ejaan lisan tidak dipengaruhi oleh Dysgraphia linguistik.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Mengapa diagnosis Dysgraphia diperlukan?

Walaupun kita berada pada zaman digital, tulisan tangan adalah kemahiran penting yang diperlukan untuk berjaya di dalam pembelajaran di sekolah dan seterusnya.

Dengan masalah Dysgraphia, kemahiran menulis asas kanak-kanak menjadi sukar, ini menyebabkan pelajar lebih cenderung ketinggalan daripada rakan sebaya tanpa gangguan pembelajaran.

Masalah menulis juga dikaitkan dengan usaha dalam bidang akademik yang berterusan dan persepsi diri menjadi rendah, yang boleh berterusan hingga dewasa.

Keadaan ini diburukkan lagi kerana menulis sering membantu otak untuk mengingat, mengatur dan memproses maklumat.

Apabila tindakan fizikal pelajar menulis sangat mencabar, seorang kanak-kanak tidak dapat "menunjukkan apa yang mereka tahu" dengan berkesan.

Pelajar yang mengalami Dysgraphia mungkin gagal dalam peperiksaan hanya kerana mereka tidak dapat menterjemahkan pemikiran dan jawapannya di atas kertas.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Rawatan Dysgraphia

Dysgraphia dan gangguan pembelajaran lain adalah keadaan sepanjang hayat yang sukar untuk disembuhkan.

Memandangkan sifat yang ditunjukkan oleh pengidap Dysgraphia, usaha pemulihan dan "latihan lebih banyak" saja tidak mencukupi.

Antara kaedah yang boleh digunakan untuk membantu mereka yang mengalami Dysgraphia adalah:

- Menggunakan pensil yang lebih besar dengan cengkaman khas, atau alat tulis lain

- Menggunakan kertas dengan garisan yang timbul untuk membantu menjarakkan perkataan

- Mengizinkan atau meminta tambahan masa untuk menyiapkan tugasan yang berkaitan dengan penulisan

- Membolehkan kaedah alternatif lain untuk mempamerkan hasil pembelajaran, seperti tindak balas lisan atau rakaman

- Menggunakan alat bantu teknologi elektronik, seperti program penukaran suara ke teks.

Kesimpulan

Jika anak anda mempunyai tulisan tangan yang boleh dianggap sebagai tulisan buruk, bawa mereka untuk berjumpa pakar psikiatri untuk memastikan sama ada mereka mempunyai gangguan ADHD atau tidak.

Jika ada, mulakan pelan rawatan yang boleh membantu anak anda untuk memperbaiki tulisan tangan mereka ke arah yang lebih baik.

Semoga perkongsian cikgu ini dapat memberi pemahaman dan membantu ibu bapa melihat tulisan tangan anak sepanjang proses pembelajaran dalam talian sebelum masalah tulisan ini mengganggu pembelajaran anak.

Sumber: Facebook Personal Home Tuisyen CIKGU Shahrul

Artikel berkaitan 

Penjagaan suara kalangan guru-guru, ini tip penting yang perlu dititikberatkan 

Alumni MRSM berjaya ikuti PhD berkembar, ikuti tip yang dikongsikan di sebalik kejayaan itu

Mahasiswa UNITEN berkongsi ilmu bersama 50 anak yatim Pahang


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan