Urutan ringkas peristiwa Israk Mikraj, guru dan pelajar perlu hadam dan fahami dengan baik!
Urutan ringkas peristiwa Israk Mikraj, guru dan pelajar perlu hadam dan fahami dengan baik!

Urutan ringkas peristiwa Israk Mikraj, guru dan pelajar perlu hadam dan fahami dengan baik!

Roshlawaty Md Raieh
11 Mar 2021 01:25pm
A
A
A

Urutan ringkas peristiwa Israk Mikraj, guru dan pelajar perlu hadam dan fahami dengan baik!

GPS Bestari menerima kiriman maklumat berkenaan peristiwa Israk dan Mikraj menerusi satu grup WhatsApp, hari ini.

Grup WhatsApp yang dikenali sebagai 5 Al A’Araf 2021, Sekolah Rendah Agama Integrasi Kafa Al-maaruf Johan Setia itu berkongsi maklumat penting tentang satu perjalanan kilat Nabi Muhammad pada malam hari atas kudrat dan iradat Allah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa.

Menurut info itu lagi, Nabi Muhammad naik ke langit hingga sampai ke Sidratul Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.

Untuk peristiwa lanjut, kami kongsikan berkenaan peristiwa Israk Mikraj ini secara ringkas.

Semoga ia membawa manfaat kepada kita semua.

*****

Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada bulan Rejab iaitu 27 Rejab setahun sebelum hijrah menurut jumhur ulama.

Ia juga berlaku setelah kewafatan isteri baginda Rasulullah SAW, Saidatina Khadijah R.A. dan bapa saudaranya, Abu Talib.

Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku dalam satu malam dimana boleh dibahagikan kepada dua fasa:

1)    Israk - Perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.

2)    Mikraj - Perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha di langit yang ketujuh.

Israk

Nabi Muhammad SAW dibawa oleh Malaikat Jibril a.s. dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan menunggang Buraq.

Sebelum baginda memulakan perjalanannya, hati baginda dibersihkan oleh Malaikat Jibril a.s. dengan air suci Zam Zam.

Sepanjang perjalanan apabila sampai tempat-tempat yang tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat.

Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

1)    Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.

2)    Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah.

3)    Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan).

Semasa dalam perjalanan, baginda telah melalui pelbagai peristiwa antaranya ialah baginda melihat kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka.

Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

Diringkaskan kisah ini setibanya di Masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq.

Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu.

Rasulullah SAW memilih susu lalu diminumnya.

Kata Jibrail: Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Mikraj

Peristiwa Mikraj pula bermula daripada Masjid Al-Aqsa kemudian baginda diangkat ke langit dengan menaiki tangga daripada syurga.

Rasulullah SAW bersama Malaikat Jibril A.S naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Baginda menaiki daripada langit pertama hingga ke sepuluh dan di setiap langit baginda bertemu dengan para nabi dan melalui pelbagai peristiwa antaranya baginda dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70 ribu orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Di langit kesepuluh (tanpa ditemani malaikat Jibril) Rasulullah SAW dapat menyaksikan Allah SWT dengan matanya sendiri, lalu baginda sujud.

Dari pertemuan itu, baginda menerima wahyu dan perintah dari Allah SWT iaitu penerimaan ibadah solat.

Yang mana ketika itu, baginda diperintahkan solat sebanyak 50 waktu. Kemudian dikurangkan menjadi 10 waktu. Akhirnya, dikurangkan sebanyak 5 waktu. 5 waktu yang kini kita lakukan setiap hari iaitu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.

Selepas Mikraj

Setelah itu, baginda pulang ke Masjidil Haram. Kemudian, baginda menyampaikan wahyu dan perintah Allah solat 5 waktu itu kepada umat di Mekah.

Ketika itu ada yang percaya dan ada yang tidak percaya sehingga ada yang murtad dari Islam. Tetapi,  sahabat baginda Saidina Abu Bakar As-Siddiq apabila dikhabarkan kepadanya tentang peristiwa ini, beliau sedikit pun tidak ragu bahkan membenarkan malah lebih membenarkan sekiranya ada yang lebih hebat lagi dari peristiwa Isra’ dan Mikraj ini. Sejak itu beliau diberi gelaran ‘As-Siddiq’ yang memberi maksud ‘Yang Membenarkan’.

Kesimpulannya, peristiwa ini berlaku hanya untuk baginda menerima perintah solat lima waktu yang mana solat itu sangat penting dalam kehidupan sehari-hari kita.

Ketika hari penghitungan kelak, solat inilah yang akan disoal dahulu sebelum yang lainnya. Hanya lima waktu dalam satu hari. Tetapi walaupun hanya sebanyak lima kali sehari, itu pun masih ramai umat manusia yang  melangar perintah Allah ini.

Cuba bayangkan betapa sedihnya baginda melihat umatnya yang meninggalkan solat.

Ia umpama tidak menghargai pengorbanan dan kesusahan Rasulullah ketika menerima perintah tersebut.

Semoga kita tergolong dalam umat yang membuatkan Rasulullah tersenyum melihatnya.

Artikel menarik

UniSZA bangun studio al-Quran hasil wang zakat

KPT bangunkan portal mudahkan mahasiswa cari rumah sewa sekitar kampus

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan