1139223
1139223

Wany Hasrita kongsi pengalaman belajar bidang sains perubatan, simpan hasrat untuk sambung belajar

Nor Azma  Muhamat Laila
26 Jul 2021 05:49pm
A
A
A

Ramai sudah mengetahui penyanyi yang popular dengan lagu Menahan Rindu, Wany Hasrita adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan dari Management & Science University (MSU).

Mungkin ramai yang tidak tahu cerita di sebalik tercetusnya minat Wany dalam bidang perubatan sehingga mendorongnya untuk menyambung pengajian dalam program Diploma Pembantu Perubatan di MSU.

Berkongsi perkara tersebut, Wany atau nama sebenarnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, berkata semuanya bermula ketika beliau menonton filem Buli lakonan Datuk Afdlin Shauki.

Menurut Wany, bertitik tolak daripada filem itu, minat untuk menjadi doktor atau lebih tepat lagi sebagai pakar psikiatri mula menebal dalam dirinya sehingga sanggup mencari pelbagai maklumat mengenai kerjaya berkenaan dan peluang pengajian yang perlu diikuti bagi merealisasikan cita-cita itu.

“Untuk menjadi pakar psikiatri, saya perlu terlebih dulu menjadi doktor dan bagi membolehkan ia menjadi kenyataan, saya perlu menyambung pengajian dalam bidang perubatan menyebabkan saya membuat permohonan mengikuti program Asasi Sains tetapi tidak berjaya.

“Namun, saya tidak berputus asa sebaliknya terus mencari peluang pengajian lain sehinggalah memperoleh maklumat berkenaan program Diploma Pembantu Perubatan di MSU dan seterusnya menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan di universiti sama dan berjaya memperoleh segulung ijazah pada 2017,” katanya kepada GPSBestari.

Tolak jadi doktor

Nasib tidak begitu menyebelahi penyanyi yang popular dengan lagu Canggung itu kerana tidak dapat meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya untuk bergelar doktor berikutan masalah tertentu yang tidak dapat dielakkan.

“Memandangkan kos pengajian dalam bidang perubatan agak mahal, saya korbankan cita-cita untuk bergelar doktor kerana tidak mahu menyusahkan ibu, Norita Jaafar yang ketika itu diberhentikan kerja (retrenchment).

“Sebagai anak, saya turut terpukul dengan situasi tersebut. Maklumlah, selama ini kos pendidikan dan sara hidup kami terletak pada bahu ibu.

“Tidak mahu terus dibelenggu masalah kesempitan hidup, saya membuat keputusan menerima tawaran menjadi artis rakaman di syarikat Fantasia Music City (FMC),” luah Wany yang menzahirkan kesyukuran apabila niatnya untuk menyara ibu dipermudahkan ALLAH SWT.

Berkongsi laluan pengajian dalam bidang perubatan atau sains perubatan, penerima trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 itu sempat menitipkan pesanan supaya pelajar di luar sana memilih aliran sains untuk membolehkan mereka menceburi kerjaya sebagai doktor.

“Pelajar juga kena pastikan mereka mendapat keputusan cemerlang dalam subjek sains seperti Fizik, Kimia dan Biologi serta Matematik Tambahan supaya mampu bersaing dengan pelajar lain ketika membuat permohonan ke asasi sains, matrikulasi atau ijazah sarjana muda kelak.

“Minat memang sangat penting tetapi dalam masa yang sama, kesungguhan juga perlu ada kerana menjadi doktor atau petugas barisan hadapan pada hari ini sangat memerlukan keazaman yang tinggi, pengorbanan masa dan tenaga terutama dalam tempoh pandemik Covid-19,” ujar Wany lagi.

Fokus aspek praktikal

Berdasarkan pengalaman Wany sepanjang mengikuti pengajian dalam bidang sains perubatan, Ikon Kemanusiaan Syria Care itu berkata, beliau sentiasa seronok apabila dapat menjalani latihan praktikal terutama membabitkan kerja-kerja menjahit luka pesakit.

“Setiap bidang pengajian mempunyai kesukaran tersendiri termasuklah perubatan atau sains perubatan. Oleh itu, saya berpendapat belajar aspek teori saja tidak mencukupi sebaliknya pelajar perlu mahir dalam aspek praktikal kerana dari situ kita akan faham dan mampu menyelesaikan masalah apabila berada dalam situasi sebenar.

“Saya memang kagum dan bangga dengan komitmen yang ditunjukkan semua petugas barisan hadapan negara kita dalam menguruskan kes Covid-19 kerana mereka bukan saja bertindak sebagai doktor tetapi dalam masa yang sama menjadi sahabat dan ahli keluarga ketika pesakit berdepan waktu sukar atau kritikal,” tutur beliau lagi yang bercadang menjadi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Meskipun sudah lama meninggalkan bidang pengajian, minat Wany Hasrita dalam bidang perubatan tidak pernah luntur malah gadis manis itu tetap dengan kemahuannya untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana kerana ingin bergelar pensyarah satu hari nanti.

“Saya masih lagi mencari bidang yang bersesuaian untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana tetapi ia tetap ada kena mengena dengan perubatan kerana minat itu sudah sebati dalam diri ini.

“Bercakap mengenai keutamaan saya apabila sambung belajar kelak, semuanya bergantung kepada rezeki yang ditetapkan oleh ALLAH. Sekiranya ketika itu rezeki lebih menjurus kepada bidang akademik, sudah tentu ia akan jadi perkara pertama yang akan diberi perhatian,” kongsi Wany Hasrita mengakhiri perbualan.

BIODATA

Nama Penuh: Nurshazwany Hasrita Hasbullah

Nama Popular: Wany Hasrita

Tarikh Lahir: 24 Disember 1992

Umur: 29 tahun

Asal: Bagan Datuk, Perak

Tempat lahir: Kuala Lumpur

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan, Management & Science University (MSU)

Pekerjaan: Penyanyi, pelakon dan pengacara

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan