Yayasan Peneraju terus lahirkan World Prize Winner dalam peperiksaan CAT dan ACCA
Yayasan Peneraju terus lahirkan World Prize Winner dalam peperiksaan CAT dan ACCA

Yayasan Peneraju terus lahirkan World Prize Winner dalam peperiksaan CAT dan ACCA

webadmin
16 Mar 2021 09:01am
A
A
A

Inisiatif Yayasan Peneraju yang menumpukan pada pembangunan dan pengukuhan keupayaan bakat Bumiputera ke arah kelestarian yang lebih baik telah melahirkan dua Top Affiliates ACCA Malaysia dan 67 penerima anugerah ‘Prize Winners’, yang terdiri daripada dua penerima ACCA Global Prize Winners, 28 ACCA Malaysia Prize Winners, 29 CAT Global Prize Winners dan 8 CAT Malaysia Prize Winners sejak program profesional tersebut diperkenalkan pada tahun 2012.

Pencapaian tersebut menjadikan Yayasan Peneraju sebagai salah satu badan biasiswa terbesar yang menghasilkan penerima anugerah CAT dan ACCA di peringkat global dan tempatan, serta jumlahnya diramal meningkat dalam beberapa bulan pada tahun akan datang.

Iffah Chek Peei, 22, adalah pelajar tajaan Yayasan Peneraju, muncul sebagai Top Affiliate di mana beliau berjaya menamatkan peperiksaan ACCA Disember 2020 pada percubaan kali pertama, dan menduduki tempat ke-2 bagi anugerah Top Affiliate ACCA Malaysia baru-baru ini dan tempat ke-19 di dunia.

Beliau merupakan salah seorang calon yang memperoleh markah gabungan tertinggi untuk empat kertas profesional strategik ACCA iaitu Strategic Business Leader (SBL), Advanced Financial Management (SBR), Advanced Financial Management (AFM) dan  Advanced Taxation (ATX).

Ketika ditanya mengenai pencapaiannya yang luar biasa itu, Iffah mengatakan,  falsafahnya adalah jangan mudah menyerah kalah dan bekerja keras.

 “Kejayaan tentu saja akan datang secara semula jadi, walaupun ia tidak semudah itu. Terus lakukan yang terbaik. Walaupun kursus ACCA begitu mencabar dan memerlukan komitmen tinggi untuk lulus, ia pasti akan memberikan peluang pekerjaan yang lebih terjamin pada masa depan.

“Dengan tekad yang kuat, saya berjaya menamatkan pengajian tepat pada waktunya dan saya sangat berterima kasih atas peluang yang diberikan oleh Yayasan Peneraju dan Sunway TES yang begitu bersungguh-sungguh memastikan penerima faedah dilengkapi dengan pengetahuan teknikal dan kemahiran insaniah yang sangat berguna apabila kami memulakan kerjaya profesional kelak.

Kepada mereka yang berminat untuk mengikuti program ACCA, nasihat saya adalah anda memerlukan disiplin dan keinginan yang kuat untuk belajar di bidang perakaunan supaya dapat berjaya dalam kursus ini,” tambahnya.

Anak kelahiran Melaka itu dinobatkan sebagai penerima anugerah World Prize Winner untuk Foundations in Taxation” (FTX) pada bulan Jun 2018 dan pada bulan Mac 2020, beliau sekali lagi dinobatkan sebagai penerima anugerah Malaysia Prize Winner untuk Advanced Financial Management (AFM).

Pada peperiksaan Disember 2020, beberapa calon lain turut memperoleh pengiktirafan membanggakan.

Nur Aniess Shamida Samsul Kamil, 20, dari Kedah, dinobatkan sebagai penerima anugerah CAT World Prize Winner untuk dua kertas iaitu Foundation in Taxation (FTX) dan Foundation in Financial Management (FFM) di mana beliau memperoleh 90 dan 93 markah untuk kedua-dua kertas tersebut.

Sementara Nur Amirul Harith Hishamuddin, 20, asal Melaka, adalah penerima anugerah ACCA Malaysia Prize Winner untuk Taxation (TX) dengan 93 markah.

Manakala Aisy Afiqah  Amran, 19, dari Selangor, adalah penerima anugerah CAT Malaysia Prize Winner untuk Management Information (MA1) dengan memperoleh 96 markah.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Mohd Muzzammil Ismail berkata, Yayasan Peneraju telah membiayai hampir 5,000 akauntan profesional Bumiputera untuk masa depan dan akan terus memberi peluang kepada lebih 10,000 akauntan profesional menjelang tahun 2025.

Setakat 1 Julai 2020, akauntan Bumiputera hanya merangkumi 9.17% atau 1,983 dari keseluruhan 21,631 akauntan profesional yang berdaftar dengan Malaysian Institute of Accountants (MIA) dan usaha perlu ditingkatkan untuk menarik lebih ramai penyertaan bagi menggandakan bilangan akauntan profesional Bumiputera.

Yayasan Peneraju merupakan satu inisiatif di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat Bumiputera ke arah negara berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik, pensijilan TVET, profesional dan spesialis.

Meraikan ulangtahun ke-9 pada bulan Februari, Yayasan Peneraju telah merealisasi aspirasi lebih dari 36,000 penerima faedah dari seluruh Malaysia melalui 276 program pembiayaannya, dengan agihan peruntukan sebanyak RM822 juta sepanjang tempoh sembilan tahun penubuhannya.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan