yeoh li tian
yeoh li tian

Yeoh Li Tian atlet muda berbakat, sasar Grand Master

Rasyidah Zulkifi
05 Jul 2022 12:28pm
A
A
A

Siapa sangka perjalanan karier jaguh catur negara, Yeoh Li Tian sudah memasuki 20 tahun. Jika dihitung, ia satu tempoh jangka masa yang boleh dibanggakan oleh atlet berusia 23 tahun ini apabila pelbagai kejayaan dan pengalaman manis sudah diperoleh termasuk meraih pingat emas dalam kejohanan antarabangsa.

Menurut Li Tian, dia bersyukur apabila kehadirannya dalam dunia sukan catur negara terus mendapat sokongan padu sehingga hari ini.

“Saya bersyukur dikelilingi insan yang selalu menyokong dan memberi inspirasi untuk saya terus ‘berjuang’ selama penglibatan di dalam sukan ini.

“Jujurnya, karier sebagai seorang atlet catur sejak berumur 3 tahun adalah pilihan sendiri dan pastinya mendapat sokongan padu daripada kedua orang tua.

“Tambahan pula bapa, Yeoh Chin Seng juga merupakan bekas atlet catur negara dan segala-galanya mudah bagi saya,” ujarnya ketika ditemui, baru-baru ini.

Tambah Li Tian, sepanjang bergiat aktif dalam sukan tersebut, setiap pertandingan yang disertai memberinya makna tersendiri.

Ini kerana setiap pertandingan tidak semuanya sama, ada memori yang tersendiri untuk dikenang.

Bagi anak bongsu daripada dua beradik ini, sepanjang bergiat aktif sebagai atlet catur negara, apa yang difikirkannya hanyalah untuk membawa nama negara ke mata dunia.

Bercerita lebih lanjut mengenai penglibatannya dalam sukan catur, anak muda itu menjelaskan, orang yang bertanggungjawab memperkenalkan sukan tersebut kepada dirinya sudah pasti bapanya.

Disebabkan sering didedahkan dengan sukan catur, akhirnya Li Tian berjaya menyertai pertandingan buat pertama kalinya ketika berumur 5 tahun.

Seterusnya tiga tahun kemudian, ketika berumur 8 tahun, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini berjaya mewakili negara.

Dia yang merupakan antara pemain catur terbaik ketika berumur 10 tahun telah mendapat tajaan khidmat kejurulatihan di China selama tiga bulan.

“Selain mendapat bimbingan daripada atlet catur senior, bapa yang banyak mengajar kemahiran-kemahiran bermain catur dan sehingga hari ini dia bukan sahaja sentiasa berada di sisi malah merupakan jurulatih saya.

“Yang pasti, saya berbangga berada di bawah bimbingannya bukan kerana dia ahli keluarga tapi merupakan juara catur peringkat kebangsaan 1993.

“Bapa juga merupakan wakil negara ke World Chess Olympiad 1994 dan pernah menjadi Naib Presiden II Persekutuan Catur Malaysia (MCF),” tuturnya lanjut.

Perjalanan karier

Hari ini menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam jurusan Sains Data di Universiti Malaya (UM), ulas Li Tian, catur bukanlah profesion sepenuh masa bagi dirinya.

Dia hanya akan mula berlatih dan memberi tumpuan sepenuhnya dalam sukan tersebut sekiranya akan menyertai kejohanan-kejohanan besar.

Bukan memilih atau ‘sombong’ tetapi Li Tian menjelaskan catur bukanlah permainan yang popular di negara ini.

“Agak sukar bagi atlet tempatan untuk serius dalam sukan ini kerana ia memerlukan modal yang besar.

“Sekiranya ingin menjadi pemain terbaik, setiap atlet memerlukan perbelanjaan yang banyak supaya dapat bertanding di luar negara dan inilah cabaran utamanya,” katanya.

Berharap agar satu hari nanti sukan tersebut akan menjadi antara sukan yang popular di dalam negara, Li Tian mencadangkan agar kerajaan memperuntukkan bajet khas untuk perkembangan sukan catur dalam kalangan atlet tempatan.

Grand Master

Walaupun sudah banyak menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa, Li Tian sebaris nama yang mula meniti di bibir peminat-peminat sukan tanah air apabila berjaya mencipta sejarah pada kejohanan Sukan SEA Filipina 2019.

Kejayaan membawa pulang pingat emas , Li Tian antara atlet catur yang memberi persaingan cukup sengit kepada pihak lawan.

Dengan kemenangan itu juga, dia disasarkan untuk meraih gelaran Grand Master oleh Persekutuan Catur Malaysia (MCF).

Sekiranya berjaya, gelaran tersebut adalah yang tertinggi dalam sukan catur dan yang pertama untuk negara.

Walaupun Li Tian dilihat sudah memenuhi kriteria yang diperlukan untuk melayakkannya membawa gelaran tersebut, tetapi bagi anak muda ini, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai.

“Sukan ini melibatkan pemikiran yang tajam juga strategi menyerang dan bukan sekadar merujuk kepada apa yang dilihat atas papan catur.

“Selain itu, saya berpendapat bakat adalah elemen yang memainkan peranan penting kerana seorang atlet senior pernah berkata, jika seseorang ingin menjadi pemain profesional, mesti berada di peringkat Grand Master seawal umur 12 tahun,” tambahnya.

Jadi untuk memperoleh gelaran tersebut, pemain perlu mengumpul ‘three norms’ dan untuk Li Tian, dia hanya perlu melengkapkan three norms untuk melayakkannya mendapat gelaran Grand Master.

Pastinya menjadi harapan Li Tian untuk mendapatkan gelaran tersebut buat dirinya dan juga negara.

Artikel berkaitan

6 tip jadi pemain catur

Strategi buah catur Batrisya

17 tip wajib tahu jika anda hendak mula bermain catur

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan