Pemergian Allahyarham Muhammad Afiq Afnan (kiri) dan Allahyarhamah Nuralysa Zaliqa (kanan) bukan sekadar satu berita kehilangan, tetapi meninggalkan luka yang dalam buat keluarga, sahabat dan pensyarah yang menyaksikan sendiri ketabahan kedua-dua arwah sepanjang melawan penyakit.
Pemergian Allahyarham Muhammad Afiq Afnan (kiri) dan Allahyarhamah Nuralysa Zaliqa (kanan) bukan sekadar satu berita kehilangan, tetapi meninggalkan luka yang dalam buat keluarga, sahabat dan pensyarah yang menyaksikan sendiri ketabahan kedua-dua arwah sepanjang melawan penyakit.

2 pelajar UUM meninggal dunia akibat kanser, warga maya menangis

17 Feb 2026 04:43pm

Tatkala seluruh umat Islam bersiap menyambut Ramadan yang penuh keberkatan, khabar duka menyelubungi warga Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila dua mahasiswanya kembali ke rahmatullah selepas bertarung dengan kanser.

Pemergian mereka bukan sekadar satu berita kehilangan, tetapi meninggalkan luka yang dalam buat keluarga, sahabat dan pensyarah yang menyaksikan sendiri ketabahan kedua-dua arwah sepanjang melawan penyakit.

Pelajar Semester 2, Sarjana Muda Kaunseling di Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Allahyarham Muhammad Afiq Afnan Shamsuri dilaporkan meninggal dunia selepas berjuang melawan kanser tumor.

Dalam usia muda, beliau dikenali sebagai seorang pelajar yang tenang dan sentiasa komited dalam pengajian.

Manakala pelajar Semester 7, Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa dengan Kepujian serta penghuni INASIS Luar Kampus (Off Campus), Allahyarhamah Nuralysa Zaliqa Mohd Yuswan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor selepas berjuang melawan kanser darah.

Berita pemergian kedua-dua insan ini dikongsi menerusi hantaran rasmi di Facebook UUM yang menyifatkan kehilangan tersebut sebagai satu kehilangan besar kepada seluruh komuniti universiti.

Naib Canselor UUM, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed turut menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua arwah.

"Pihak universiti amat berdukacita atas pemergian ini dan mendoakan agar roh kedua-dua Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

"Semoga seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan, ketabahan dan dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Bestari merakamkan ucapan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga dan warga UUM atas kehilangan ini.

Semoga roh kedua-dua Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan insan beriman. Al-Fatihah.

 

 

Ringkasan AI

  • Dua mahasiswa UUM meninggal akibat kanser
  • Kehilangan meninggalkan luka dalam pada keluarga dan sahabat
  • Muhammad Afiq Afnan Shamsuri meninggal karena tumor dan Nuralysa Zaliqa Mohd Yuswan akibat kanser darah
  • Universiti dan Naib Canselor menyatakan dukacita dan takziah
  • Doa agar kedua-dua arwah diberi rahmat dan keluarga dikuatkan
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp