Ahmad Zahid saran utamakan kualiti, teruskan Menu Rahmah di kampus
Operator atau pengendali makanan di kampus universiti awam disaran supaya mengutamakan penyediaan makanan yang seimbang dan sihat serta tidak hanya berfokus pada keuntungan semata-mata.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa sama, inisiatif Menu Rahmah juga perlu diteruskan di setiap universiti bagi memanfaatkan lebih ramai pelajar dengan penyediaan makanan yang bernutrisi.
"Saya harap, bukan hanya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), malah jualan Menu Rahmah di kampus lain juga mesti diteruskan. Jangan ambil untung sangat. Ia adalah barakah termasuk doa pelanggan (pelajar) terhadap kualiti makanan dan harga yang munasabah," katanya ketika berucap merasmikan pembukaan Kuali Cafe@UKM di Bangunan Pusanika UKM hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, operator makanan juga perlu menumpukan aspek pengurusan sisa makanan yang terbaik agar ia tidak mengganggu ekosistem alam sekitar.
Sementara itu, Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman dalam kenyataan berasingan berkata, beliau berharap agar Kuali Cafe@UKM itu bukan sahaja menjadi satu destinasi untuk menikmati hidangan yang lazat dengan kepelbagaian menu, tetapi juga menjadi sebuah ruang untuk warga UKM berkongsi pengalaman, membina kenangan, memahat memori indah dan merapatkan lagi silaturahim.
Beliau berkata, pembukaan Kuali Cafe@UKM adalah sangat tepat pada waktunya untuk melengkapkan lagi rejuvenasi Pusanika UKM dan sebagai sebuah destinasi yang akan menyatukan cita rasa semua warga UKM dengan kepelbagaian sajian yang menarik dan lazat. - Bernama