Pemergian Allahyarhamah ditangisi seluruh rakyat Malaysia. Kredit foto: Facebook Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Pemergian Allahyarhamah ditangisi seluruh rakyat Malaysia. Kredit foto: Facebook Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Alumni UPSI ditemukan maut di ladang kelapa sawit, warga maya turut berduka

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
16 Jul 2024 10:09am

"Takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah Nur Farah Kartini Abdullah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.”

Demikian catatan menyentuh hati di Facebook Universiti Pendidikan Sultan Idris susulan kematian alumni mereka di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Gedangsa, Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor, Selangor pada Isnin.

Hantaran yang dimuat naik oleh admin Facebook itu ternyata mendapat perhatian ramai di mana warga maya mula membanjiri ruangan komen dan merakamkan ucapan takziah sekali gus menitipkan doa kepada keluarga Allahyarhamah.

Antara yang berkongsi ucapan itu ialah;

Dr Ishak Johari: Al-Fatihah. Salam takziah dari seluruh alumni UPSI Sarawak.

Teo Arra: Moga rohnya dicucuri rahmat, ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal solehah. Salam takziah buat ahli keluarga arwah.

Yunus Sauman: Semoga ALLAH muliakan rohnya di alam sana dan memasukkannya ke dalam syurga Firdaus.

Azizah Malik: Semoga dapat keadilan untuk arwah.

Thommity AJ: Satu kehilangan yang sangat besar. Semoga keluarganya tabah menghadapi ujian ini.

Siti Nor: Semoga ALLAH ampunkan dosanya dan meletakkan dia dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Terdahulu, Allahyarhamah, 25, yang merupakan alumni graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) Dengan Kepujian ialah pekerja di sebuah syarikat kereta sewa di Tanjung Malim, Perak.

Beliau telah dilaporkan hilang setelah menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan, 10 Jun lalu.

Berita kehilangan Allahyarhamah yang berasal dari Miri, Sarawak telah mendapat liputan meluas dan usaha mencarinya giat dijalankan.

Kira-kira jam 6 petang Isnin, negara dikejutkan dengan kematian Allahyarhamah yang ditemui mati di ladang kelapa sawit di Felda Gedangsa.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, Allahyarhamah dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp