Putri Auni Khadijah (empat dari kanan) bersama ahli keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang kejayaannya. Foto: Ihsan Facebook
Putri Auni Khadijah (empat dari kanan) bersama ahli keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang kejayaannya. Foto: Ihsan Facebook

Anak Kelantan wakili Malaysia di pentas hafazan antarabangsa! 'Doakan kejayaan Putri Auni Khadijah'

05 Aug 2025 05:30pm

"Apa yang dibaca ini bukan datang daripada saya, tetapi ia hadir daripada ALLAH SWT." 

Demikian luahan penuh rasa syukur dan rendah diri Putri Auni Khadijah Mohd Hanif, 18, peserta Malaysia kategori hafazan dalam Majlis Tilawah & Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Kali ke-65 1446H/2025 yang sedang berlangsung dari 2 Ogos hingga 9 Ogos di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).

Putri Auni Khadijah yang berasal dari Kelantan itu berkongsi rasa syukurnya sejurus selesai memperdengarkan hafazan, sambil menyifatkan segala kelancaran dan ketenangan yang diperoleh ketika membaca al-Quran adalah kurniaan daripada ALLAH.

"Pertama sekali, alhamdulillah, syukur kepada ALLAH. Apa yang saya buat ini bukan datang daripada saya, tapi datang daripadaNya.

"Saya tak mampu nak baca dengan lancar, nak baca dengan tenang, saya tak mampu. Tapi kita berdoa. Maksudnya, ALLAH yang bagi saya kelancaran dan ketenangan waktu saya baca tadi.

"Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan saya," ujarnya dalam satu video yang dimuat naik di Facebook rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Terdahulu, Putri Auni Khadijah yang merupakan mahasiswa Program Asasi Sains, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan alumni Maahad Tahfiz Abu Bakar, Tanah Merah, Kelantan diumum johan kategori Hafazan 1 - 30 juzuk dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1446H/2025 Mei lalu.

Dia memperoleh markah sebanyak 97.85 peratus dan menjadi peserta termuda hafizah bagi kategori itu berserta tafsir.

Sementara itu, Putri Auni Khadijah berkata, kecintaannya terhadap al-Quran ditanam sejak kecil dan semakin subur hasil sokongan serta dorongan ahli keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakangnya.

"Kejayaan hari ini adalah hasil sokongan kuat bapa, Mohd Hanif Hasan, ibu, Tengku Lela Marsita Tengku Ariff dan adik-beradik lain. Terima kasih semua," ujarnya seperti dipetik portal tempatan.

Dia yang bercita-cita untuk menjadi pengajar al-Quran berharap dapat terus menyebarkan ilmu dan kecintaan terhadap kitab suci itu kepada generasi akan datang.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp